"Katakan hari ini saya serahkan bisnes saya kepada tuan untuk mengurusnya. Saya beri tuan gaji RM50,000 sebulan. Bagaimana? Tuan mahu terima?" tanya Datuk Maznah Hamid yang digelar The Iron Lady itu.
Saya mengangkat kening dua kali kepada En. Roslan Isa, editor PTSPro yang menemani saya menemuramah beliau di pejabat Securiforce akhir bulan lalu. En. Roslan yang murah senyuman itu bertambah lebar tersenyum apabila saya membesar-besarkan mata kepadanya.
"Soalnya di sini bukanlah sama ada tuan mahu atau tidak, tapi adakah tuan mempunyai skil yang mencukupi untuk menggalas tanggung-jawab berat itu. Hendak mengurus bisnes saya tuan perlu berani. Hari-hari di sini macam hendak pergi perang. Kami uruskan duit orang berjuta-juta, melibatkan senjata api, berdepan dengan kumpulan gengster dan macam-macam lagi," kata Datuk Maznah. "Ada kalanya pelanggan menalipon jam 2:00 atau 3:00 pagi, minta tolong tenangkan hatinya sebab dia tidak boleh tidur," cerita beliau lagi.
Untuk menceburi bisnes, kata Datuk Maznah, seseorang itu perlu memiliki banyak skil. Yang beliau maksudkan di sini ialah kemahiran 'soft skills'. Antara yang terpenting ialah skil menjual diri dan skil memujuk (selling skills and skills of persuasion).
"Kalau tuan tiada skil menjual diri yang bagus, janganlah terus hendak buat bisnes. Nanti tuan susah. Prinsip saya ialah kita boleh menjual apa saja, kepada sesiapa saja, di mana-mana pun, dengan harga apa pun sekiranya kita boleh menjual diri kita dahulu," katanya lagi.
Tamat sesi temuramah bersama Datuk Maznah petang itu, kedua belah cuping telinga saya bagaikan keluar asap berkepul-kepul! Ini kerana semangat sudah terbakar dan membara!!! Di sebelah ini ialah gambar beliau bersama anaknya, Reza. Jumpa lagi!
Iron-Lady itu sebenarnya adalah mentor@Radio saya di era 90an dahulu... slot motivasi setiap pagi Rabu 7.30 pagi Radio 1 (sekarang Klasik Nasional). Slot 5-10 minit beliau sebagai santapan minda dalam kesesakan pagi untuk ke pejabat.
ReplyDeleteSatu perkara yang masih melekat di minda sehingga kini ialah formula kejayaan bisnesnya:
"Nasib Baik (good luck) = Siapsiaga (preparedness) + Masa Keemasan (right timing)"
Dalam proses penerokaan kejayaan, NASIB BAIK dan NASIB adalah dua perkara yang berbedza.