Saturday, August 25, 2007

Belajar Mengaji

Saya mula belajar mengaji (ketika berusia 7 tahun) di rumah ustaz Mat Din dan Makcik Rahmah. Rumah Pak Din di tingkat 5, Blok 22, Queen’s Close, Singapura. Rumah saya di tingkat 11, Blok 23. Saya boleh nampak rumah Pak Din daripada dapur emak. Untuk ke kelas mengaji, Mak buatkan saya sepasang baju warna ungu muda, sedondon blaus dan kain. Mak letak lace warna cokelat di bahagian leher dan lengan baju itu.

Tudung saya kain jarang warna merah jambu. Saya sudah lupa warna baju dan tudung Kak Long. Kami pergi mengaji selepas solat maghrib. Turun lif, naik lif, sekejap saja sudah sampai ke rumah Pak Din. Anak jiran kami, Comel yang sebaya saya ikut pergi mengaji bersama kami.

Pak Din kawan sekerja ayah saya. Siang hari dia bertugas sebagai askar. Sebelah malam dia buka kelas mengaji. Habis membaca Muqaddam (Juz Amma), saya beralih ke kitab suci Al-Qur’an. Masa itu baru naik darjah 2. Ayah yang merasa bangga dengan pencapaian saya, memberi upah 50 sen. Ketika itu 50 sen agak lumayan, dapat beli kuaci hitam 20 peket (5 sen = 2 peket)!

Naik darjah 4, keluarga saya berpindah ke JB. Di Jalan Mesra tempat kami tinggal, tiada orang mengajar Al-Qur’an. Jadi saya tidak belajar mengaji. Naik darjah 5, kami berpindah ke Taman Istimewa. Di situ ada seorang guru Al-Qur’an, namanya Pak Noh. Orang tua itu menyuruh saya mulakan bacaan dari awal walaupun saya sudah sampai juzuk ke 5. Selain Pak Noh, isterinya, Mak Jah, turut mengajar saya.

Sayangnya tidak sampai 6 bulan mengaji di rumah Pak Noh, ayah saya bertukar kerja lagi dan kami berpindah ke Melaka. Di kampong, saya sambung mengaji dengan Tok Amin di serambi rumah nenek. Beberapa orang sepupu dan kawan-kawan saya mengaji bersama. Ketika itu saya berusia 11 tahun.

Tok Amin garang dan panas baran. Ketika mengajar, asyik mahu marah. Sebelum duduk membaca di depannya, Tok Amin menyuruh kami ‘meneras’. Sepanjang sesi mengaji, Tok Amin melarang kami bercakap. Aktiviti harian yang bermula pukul 3:00 petang itu menjadi satu perkara yang paling saya tidak suka.

Macam mana mahu suka kalau hati kecut memanjang? Tok Amin yang garang itu suka baling-baling rotan. Sepupu saya, Bakar lembab mengaji. Dialah yang selalu kena sebat dengan Tok Amin.

“Tok Amin tak habis-habis nak marah kita. Dia tertelan bom agaknya,” bisik saya kepada Bakar selepas kami habis mengaji.

“Dia tu tertelan bom dengan roket, torpedo dan kereta kebal,“ jawab Bakar meluahkan rasa hatinya.

“Agaknya emak Tok Amin beranakkan dia dalam gunung berapi atau pun dia tu beranak kembar dengan harimau,” saya menokok.

Kami ketawakan Tok Amin. Kasihan orang tua itu, teruk kena umpat. Entah kenapa Tok Amin terlalu garang. Apabila sudah naik angin, mulutnya mesti mengata... bodoh, bengap, malas!!! Aduh, bagai mahu meletup dada kami yang menunggu giliran membaca Al-Qur’an di depannya.

Masa membaca, suara saya terketar-ketar. Kekadang sampai terkeluar air mata sebab terlalu takut. Saya selalu buat helah, kononnya uzur. Kekadang saya ponteng sampai dua minggu atau beri alasan uzur dua kali sebulan. Mahu kelentong tapi tersalah fakta! Semuanya kerana mahu mengelak berjumpa Tok Amin. Akhirnya kelas mengaji di serambi nenek itu lengang sebab semua orang ponteng memanjang.

Semasa di tingkatan satu, keluarga saya berpindah semula ke Singapura. Terus saya ‘pencen’ belajar mengaji. Setakat membaca memang boleh tapi bab tajwid masih lintang-pukang. Ketika di UiTM dulu, Kak Seha yang selalu buat sesi usrah mengajak kami satu dorm membaca surah Yasin pada malam-malam Jumaat. Lama-kelamaan bacaan saya lancar. Semasa ada kes orang minyak dan histeria di kampus, surah Yasinlah menjadi senjata pelindung semangat saya.

Andainya Tok Amin tidak garang, saya teringin mendalami bacaan Al-Qur’an dengannya. Dia bukan saja handal bab mengaji tapi suaranya merdu. Saya selalu mendengar Tok Amin mengaji pada bulan Ramadan. Setiap hari dia membaca 2 ke 3 juzuk. Ketika solat, Tok Amin membaca surah-surah panjang. Suaranya mengasyikkan dan mendayu-dayu. Sayang sekali dia tidak pandai turunkan ilmunya itu.

Semasa Tok Amin muda dahulu, dia masuk peraduan mengaji di merata masjid di seluruh negeri Melaka. Dia bukan saja pandai mengaji tapi handal berzanji. Silapnya Tok Amin tidak tahu kaedah yang betul mengajar ilmu yang dimilikinya.

Datuk saya sebelah ayah, seorang imam di masjid Telok Mas. Antara kerja utamanya mengajar orang mengaji. Dengar cerita, datuk saya itu pun garang. Saya dengar bermacam cerita tentang dia mendera anak-anak muridnya tapi akhirnya mereka semua menjadi dan pandai mengaji.

Mak dan Ayah saya pun pandai mengaji tapi mereka tidak mahu mengajar anak-anak sendiri. Alasan mereka ialah tidak tahan hati sebab asyik hendak naik angin. Kata orang pun di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Bapa borek, anak-menantu rintik!

“Kau dah pandai mengaji?” tanya Duan, sepupu saya yang bertugas sebagai peguam.

“Bolehlah juga sikit-sikit. Maklumlah, belajar dulu tak khatam,’ jawab saya.

“Kenapa kau tak khatam?” tanya Duan lagi.

“Dulu aku pindah-pindah sekolah, mengaji tidak kekal setempat. Tok Amin, masa mengajar kita dulu garang sangat, kau ingat tak? Aku asyik takut, macam mana mahu pandai. Itu sebab aku tak khatam,” saya membuka cerita lama.

Duan mencemikkan mukanya, mengejek saya.

“Sampai ke Amerika kau boleh pergi belajar, mengaji tak khatam kau salahkan Tok Amin? Tolonglah, kak oi!” Duan yang bermulut laser itu membidas saya.

“Pergilah belajar sendiri. Kau kan dah besar panjang. Ikhtiarlah, cari cikgu lain. Kau nak tunggu siapa lagi???”

Kata-kata Duan itu melekat terus di hati saya. Walau pun pedas tapi cukup benar, tepat terkena ke batang hidung. Saya terasa diri ini hipokrit besar. Kak Long saya dulu pun kurang pandai mengaji, tapi dia sudah lama belajar semula dan amat pandai membaca Al Qur’an. Suara Kak Long lunak. Dia mengaji berlagu macam bacaan Imam Subais yang terkenal di Masjidil Haram.

Sesungguhnya bukan mudah bagi orang dewasa untuk belajar mengaji semula. Andai hati tidak cekal, usaha itu pasti terbantut di tengah jalan. Beberapa bulan kemudian saya mengambil keputusan untuk mengaji semula dengan seorang Ustazah yang saya jemput khas ke pejabat. Kak Long yang perkenalkan dia. Ustazah itu baik orangnya tapi mulutnya pedas. Pertama kali mengajar, dia suruh saya baca surah Al-Fatihah. Selesai saya membaca dia pun beri komen…

“Awak ni mengaji macam budak-budak. Sebutan awak tak berapa betullah. Kenapa? Awak tak belajar ke dulu?” leter Ustazah itu.

Saya tersenyum kambing. Ustazah itu minta saya sambung bacaan lagi. Baru sebaris saya membaca, dia sudah menegur…

“Banyak salah bacaan awak ni. Lecehlah macam ni, banyak sangat saya nak kena ajar,” dia membebel.

Keesokan harinya, Ustazah itu tidak datang mengajar saya. Alasan diberi kepada Kak Long, anaknya tiada orang mahu jaga. Agaknya dia menyampahkan saya. Wallahualam. Sebenarnya saya pun tidak selesa sebab panas telinga mendengar bebelan Ustazah itu. Andainya saya ini budak kecil, sudah pasti dia pulas telinga saya!

Selang beberapa bulan, saya membuat bancian di pejabat. Rupa-rupanya ramai staf saya tidak pandai mengaji. Saya mengambil keputusan menjemput seorang Ustaz mengajar kami setiap Sabtu. Ustaz itu seorang qari yang pernah mewakili Melaka ke tilawah Al Qur’an peringkat kebangsaan. Belajar ramai-ramai tentulah seronok, tapi kami lebih banyak ketawa. Ustaz itu mengajar kami daripada peringkat asas supaya kami kenal sebutan huruf yang betul.

“Hah, Abang yang depan ini baca dulu,” Ustaz memberi arahan .

“Alif, Ba , Ta, Tha, Jim, Ha, Kho, Dal , Zal, Gho,” Wak Khamis membaca laju.

“Bukan ‘Gho’. Sebut ‘Ro’,” tegur Ustaz.

“Ra”, Wak Khamis mengikut .

“Bukan ‘Ra’. Sebut ‘Ro’” Ustaz membetulkan lagi.

“Re,” Wak Khamis mengikut.

“Bukan ‘Re’, Bang. Sebut ‘Ro’” Ustaz membetulkan.

“Saya sebut ‘Gho’ tadi, salah. ‘Ra’ salah. ‘Re’ pun salah. Habis yang betul apa, Ustaz?” Wak Khamis garu kepalanya.

“Abang sebutlah betul-betul. Cuba bezakan bunyinya,” Ustaz itu menegur.

“Re,” Wak Khamis mencuba lagi .

“Macam ni, bang. Kalau ‘Ra’, rasa. Kalau ‘Re’, reban. Kalau ‘Ro’, roket,” Ustaz menerangkan panjang lebar.

“Lidah saya ni dah keraslah, Ustaz,” kata Wak Khamis tersipu-sipu.

Kami ketawakan Wak Khamis macam mahu pecah perut. Begitulah siksanya mengajar orang tua mengaji. Tidak sampai sebulan mengajar kami, Ustaz itu minta berhenti kerana ada tugasan lain. Sebagai ganti, dia perkenalkan Ustaz Abdul Rashid. Ustaz baru ini baik orangnya. Dia mengajar lebih 5 tahun di pejabat saya. Walau pun hanya 4 ke 5 orang saja yang kekal mengaji, Ustaz Rashid tetap datang setiap minggu.

Di samping mengaji seminggu sekali di pejabat , saya belajar tambahan dengan seorang guru lain, namanya Ustazah Norhani. Dia mengajar saya menghaluskan bacaan. Apabila khatam, saya belajar lagi dengan Ustaz Rumainoor. Ustaz ini mengajar mengikut kaedah QIRAATI .

Dia mengguna 3 buah buku rujukan tulisan H . Dachlan Salim Z. Melalui tunjuk ajar Ustaz Rumainoor, saya benar-benar faham hukum tajwid. Dari situlah saya menghayati Al-Qur’an sepenuh hati. Perasaan cintakan Al-Qur’an benar-benar timbul di hati nurani saya selepas boleh membacanya dengan baik.

Suatu masa dahulu saya hanya memiliki senaskah Al-Qur’an. Apabila sudah menghayatinya, saya membeli beberapa naskah baru. Ketika pertama kali menjejak kaki ke Masjidil Haram dan Masjid Nabawi dulu, saya terpegun melihat beribu-ribu Al-Qur’an tersusun rapi di atas rak-rak dan dibaca orang sepanjang masa, siang dan malam. Di kedai-kedai menjual Al-Qur’an di sana, pilihan ada berbagai-bagai jenis, bentuk dan saiz. Apabila mengunjungi tanah suci, kedai-kedai seperti itulah yang paling saya minati.

Saya ingin berkongsi cerita mengenai seorang kawan yang sama-sama menunaikan haji dengan kami dulu. Namanya Haji Saleh dan isterinya, Hajah Sari. Anak lelaki pasangan itu belajar di Jepun, kemudian berkahwin dengan teman wanitanya, orang Jepunlah.

Yang uniknya, Haji Saleh mengajar sendiri menantunya itu mengaji Al-Qur’an. Oleh kerana dia menggunakan kaedah baru seperti Qiraati yang mudah difahami, Sarah Michi, menantu Jepun Haji Saleh dan Hajah Sari itu, kini pandai mengaji. Dia khatam Al-Qur’an hanya beberapa bulan setelah memeluk agama Islam. Saya kagum sungguh dengan usaha Haji Saleh yang murni itu.

Selain kelas Al-Qur’an, kini ada kelas ‘Lughatul Qur’an’ atau pun kelas memahami bahasa Al-Qur’an. Selain membaca, kita sewajarnya faham apa yang kita baca supaya hikmah Al-Qur’an dapat kita terjemahkan dalam kehidupan sehari-hari.

Saya bersyukur kepada Allah kerana diberiNya ilmu boleh membaca wahyu-wahyuNya. Hasrat yang tersimpan di hati ini ialah kalau saya bercucu nanti, saya mahu mengajar mereka mengaji Al Qur’an. InsyaAllah.

Mudah-mudahan saya tidak bersikap panas baran macam Tok Amin! Saya sudah merasa betapa susahnya hendak memahami sesuatu kalau fikiran kita takut dan risau memanjang. Ada orang kata, guru zaman dulu-dulu memang garang tapi anak murid mereka menjadi. Namun bagi saya, cara itu tidak sesuai diamalkan di zaman ini dan masa akan datang.

Bak kata Dr. Tuah Iskandar, pakar motivasi yang terkenal itu, otak manusia berfungsi paling baik ketika ia berada dalam keadaan alpha iaitu arus minda ketika tenang dan cool. Dalam keadaan tenang, otak lebih tajam dan mudah ‘menangkap’ apa yang di pelajari.

Oleh itu tidak perlulah gunakan kaedah yang kasar dan keras macam yang dipraktik guru-guru mengaji zaman dulu. Saya berdoa semoga impian murni saya tercapai jua suatu hari nanti. InsyaAllah.

2 comments:

  1. Salam akak.
    Saya bakal mengajar mengaji wanita dewasa di rumah saya selepas raya ni. Saya bukanlah ustazah, cuma boleh membaca Al-Quran dan tajwid sahaje, jadi sayang pula jika tak kongsikan ilmu dengan orang lain.

    Cumanya, saya tak pasti cara mcm mana nak ajar mereka ni. Untuk mengajar saya akan menggunakan iqra' sebab nak ajar dari awal, tapi cara mana yane paling berkesan? Samada nak buat cara halaqah, atau baca sorang2, atau saya baca dulu mereka ikut ke, macam mana?

    Terima kasih.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete