Sejak kecil saya minat menulis tetapi bakat itu tidak dikembangkan. Walau pun tersemat di sudut hati untuk bergelar penulis pada suatu hari, selama bertahun-tahun saya tidak berusaha menulis secara serius kecuali menulis… DIARI.
Diari-diari sejak usia belasan tahun masih tersimpan dalam almari. Kalau semua itu boleh dipanggil buku, sudah banyak buku yang saya hasilkan! Selain diari, saya menulis anekdot iaitu kisah-kisah benar tentang kehidupan yang saya lalui, dalam bentuk cerita pendek.
Di sudut hati wujud impian untuk membukukan himpunan anekdot yang ada dalam simpanan saya yang diberi tajuk 'Bukan Agendaku'. Manalah tahu ada penerbit yang sudi menerbitkannya dalam bentuk sebuah novel. Manalah tahu, bisik hati kecil. Kata orang, belum cuba belum tahu. Sebagai contoh, siri novel ‘Diari Ibu’ tulisan Puan Rohani Din. Saya salah seorang daripada ribuan peminatnya.
Saya pernah menghantar manuskrip ‘Bukan Agendaku’ kepada Creative Enterprise. Editor yang saya temui meminta tempoh 3 bulan untuk menilainya. Namun kerana tiada khabar berita setelah 3 bulan berlalu, saya mengambil keputusan untuk menarik balik manuskrip itu.
Kali kedua saya menghantarnya kepada PTS, namun seperti yang anda ketahui, PTS hanya menerbitkan novel berkonsep jibunsyi dan mengguna kaedah surah Yusof. Sekali lagi manuskrip itu ditolak.
Kali ketiga, saya menghantar ‘Bukan Agendaku’ kepada Jemari Seni. Maklum balas yang saya terima ialah ia tidak sesuai dengan konsep novel yang mereka terbitkan. Ya, untuk kali ketiga, manuskrip sulung saya ditolak lagi oleh pihak penerbit.
Ketika berusaha menawarkan manuskrip ‘Bukan Agendaku’ kepada 3 penerbit itu, buku ‘Bagaimana Bisnes Keluarga Berjaya’ sempat disiapkan. Seperti kata Sifu PTS, buku-buku seperti ‘bBKb’ berkonsep kuih tempah iaitu PTS sudah menilai dan menerima sinopsisnya sebelum ia ditulis. Lalu jadilah buku ‘bBKb’ itu buku pertama saya berada di kedai-kedai buku.
Cerita-cerita yang dicoret dalam 'Bukan Agendaku' adalah asam garam kehidupan insan biasa. Dalam menjalani kehidupan, kekadang kita perlu mentertawakan diri sendiri… Itulah yang saya rasa sebenarnya.
Kisah-kisah itu adalah sebahagian daripada perjalanan hidup saya dalam meniti usia dan perubahan kerjaya. Walau pun saya menulis tentang kisah benar, kebanyakan nama yang saya gunakan sudah diubah. Demikian juga dengan nama tempat dan waktu berlakunya. Sebenarnya saya sekadar ingin bercerita. Bukan apa-apa pun.
Sebelum diserang sakit jantung lewat tahun 2001 dahulu, saya seorang yang terlalu memandang serius kepada kehidupan, baik dalam kerjaya, perhubungan sesama insan dan sebagainya. Sehingga saya terlupa menikmati hidup ini secara santai.
Sewaktu terlantar di wad CCU, saya mulai sedar yang sejak sekian lama saya terlupa menikmati kicauan burung di waktu pagi, terlupa menikmati secawan kopi dan terlupa meraikan perkara-perkara kecil dalam kehidupan. Sejak pulih, saya mula menikmati kehidupan ini, hari demi hari, dengan rasa penuh sedar, bukan sekadar melaluinya semata-mata.
Sesungguhnya kehidupan di dunia ini bukanlah satu perjalanan yang mudah. Tapi apakan daya, kita ini hanya insan. Walau apa pun takdir yang ditentukanNya, perlulah kita berlapang dada menerimanya. Tiada gunanya kita memecahkan kepala mempertikaikan kenapa dan mengapa.
Kita ini hanya insan yang diwajibkan berusaha dan berikhtiar, kemudian berserah diri bulat-bulat kepada kehendak Yang Maha Kuasa. Dalam mengharungi kehidupan ini, senjata paling berkuasa yang kita miliki adalah doa. Berdoalah, mudah-mudahan Allah jadikan untuk kita semua kesudahan hidup yang baik.
No comments:
Post a Comment