Perkembangan awal kilang Bak banyak saya ketahui melalui surat. Berikut antara isi kandungan surat-surat yang Bak utuskan…
20 September, 1984.
Kilang baru Bak selamat dirasmikan Datuk Seri Adib Adam pada 3 September, 1984. Majlis perasmian mula pukul 3:00 petang. Meriah, ada masuk TV dan radio. Belanja majlis pun besar, boleh buat dua kali majlis kahwin kau. Pokai Bak dibuatnya. Bak dan Mak sangat rindukan kau. Ingat pesan Bak, jangan lupa matlamat kamu berdua ke sana. Jangan leka membuang masa.
Bersama surat itu Bak kepilkan keratan akhbar ‘Suara Melaka’ yang melaporkan berita perasmian kilang barunya. Di ruangan ‘Usahawan Kita’ tertera tajuk ‘Bekas Tentera Buka Industri Kawat’. Ada gambar Bak berbaju overall warna cokelat, siap bertopi dan di atasnya tertera tajuk kecil, ‘Saya sentiasa menjaga mutu pengeluaran’.
Sebagai anak saya amat bangga dengan Bak. Sikapnya yang terjal dan tahan lasak menempuh jatuh bangun bisnes, Bak memang layak menjadi usahawan. Surat Bak seterusnya berbunyi begini . . .
24 Oktober, 1984.
Lori besar Bak dah sampai. Baru dua hari. Dengan lori besar bolehlah bawa muatan lebih banyak. Semalam lori besar tu sudah pergi ke Jerantut. Bawa seribu gulung kawat duri. Kalau lori kecik Bak dulu, manalah muat. Sekarang ni, pesanan kawat duri banyak. Bak terlalu sibuk, hari-hari banyak kerja.
Pekerja-pekerja di kilang banyak karenah. Baru masuk kerja seminggu sudah mahu berhenti. Masa minta kerja, mereka merayu-rayu. Sudah dapat kerja, tak tahan penat pulak. Bak rasa, anak Melayu sekarang ramai yang malas berusaha. Kalau mahu rezeki datang menggolek, manalah dapat? Agaknya sikap sesetengah anak Melayu memang susah nak diubah. Sebab itu orang kata Melayu bodoh dan malas.
Manalah Bak tak baran, sudah dua kali Bak jemput jurutera Jepun datang mengajar pekerja-pekerja ni. Tapi mereka tak pandai-pandai jalankan mesin. Kedua-dua mesin Chainlink tu masih belum dapat beroperasi sepenuhnya. Duit Bak dah banyak habis, tapi budak-budak tu masih tak pandai juga.
Dalam surat seterusnya bertarikh 12 November, 1984, Bak menulis tentang rancangan membesar perniagaannya. Di bawah Kumpulan ZY yang Bak rancang itu, terdapat industri kawat, industri paku, Zubir Hardwares, Zubir Transport dan Zubir Imports, Exports & Marketing Services. Berselirat kepala Bak dengan berbagai bisnes baru.
Paling mengejutkan, nama saya dan Zainal turut tertera dalam master plan yang dirangka Bak. Bak sengaja mewarwarkan perkara itu supaya suatu hari nanti kami dapat berkhidmat untuk syarikat keluarga sendiri. Dalam surat seterusnya, Bak menulis tentang pembelian mesin-mesin baru.
20 April, 1985.
Bak ke Busan, Korea baru-baru ni. Urusan membeli mesin-mesin paku. Ini produk baru yang sedang Bak usahakan. Bak sudah menempah sembilan buah mesin paku. Jumlah tu kecil sangat, tapi cukuplah untuk permulaan. Sekarang ni Bak dalam kapal terbang Thai Airlines, menuju ke Osaka. Bak ke sana mengurus pembelian mesin Hexagonal Wire Netting.
InsyaAllah, mesin-mesin tu akan sampai ke kilang kita pada bulan Ogos atau September depan. Bak selalu banyak kerja. Nanti anak Bak balik Malaysia, tolong ringankan kerja-kerja Bak ya. Betapa susah Bak nak bangunkan bisnes kita ni. Semua ini bakal Bak wariskan kepada semua anak-anak Bak. Nanti kalau Bak dah mati, anak-anak Bak semua menangis sebab tak tau nak menguruskan perniagaan ini. Bak buat semua ini untuk masa depan anak cucu Bak.
Beberapa bulan kemudian menyusul lagi surat Bak. Dalam kesibukannya, masih sempat dia menulis dan meluahkan apa yang terpendam di hatinya.
27 Januari, 1986.
Bak tidak meminta sesuatu apa pun dalam bentuk material daripada anak-anak Bak. Cuma Bak harapkan doa-doa kamu semua agar Bak dapat jalankan segala tanggungjawab Bak dan membayar semua hutang di bank sebelum Bak meninggal dunia. Dengan cara itu anak-anak Bak tidak dibebani hutang kalau sesuatu berlaku ke atas Bak.
Saya tidak sedap hati membaca isi kandungan surat itu. Seolah-olah ada sesuatu yang tak kena. Menurut Mak yang saya hubungi melalui telefon, Bak selalu sakit. Tambah menggusarkan hati saya, bersama surat itu Bak kepilkan salinan surat daripada pihak bank. Ia berbunyi begini . . .
Tuan Haji Zubir,
Pihak bank berbangga dengan pencapaian dan perkembangan yang ditunjukkan syarikat tuan. Bagaimana pun kami dapati tuan sebagai tunggak utama dalam syarikat sering mengalami kesihatan kurang memuaskan. Terus-terang kami katakan, pihak bank merasa kurang yakin terhadap daya saing syarikat tuan, sekiranya tuan secara mengejut menyerahkan segala aspek pengurusan syarikat kepada staf-staf yang sedia ada.
Tuan dinasihatkan mengambil langkah-langkah yang baik untuk membaiki kesihatan diri. Pihak bank mencadangkan tuan pergi bercuti seminggu dua untuk berehat. Tuan perlu memastikan kedua-dua anak dan menantu tuan yang sedang belajar di luar negara itu menamatkan pelajaran mereka secepat mungkin. Tunjuk ajar yang segera dari tuan adalah perlu dalam selok belok pengurusan syarikat tuan. Pasukan pelapis ini amat penting disediakan lebih awal.
Kandungan surat bank itu membuat saya termenung panjang. Berhari-hari saya memikirkannya. Mengapakah Bak melampirkan surat bank itu? Apakah tujuan sebenarnya? Kenapa dengan Bak? Ketika itu hanya tinggal 6 bulan sebelum saya dan Zainal menamatkan pengajian ijazah pertama kami. Mengikut perancangan, kami akan menyambung pengajian sarjana selama dua tahun lagi.
Bak mahu kami balik ke Malaysia sebaik saja selesai majlis konvokesyen. Kata Bak, saya dan Zainal tidak perlulah mengambil MBA. Hendak menunggu kami balik dua tahun kemudian terlalu lama bagi Bak. Beria-ia sangat dia meminta kami pertimbangkan cadangannya itu.
“Kau baliklah cepat,” pujuk ayah saya. Serba-salah saya dibuatnya.
“Kalau kau balik, dapat kau bantu kerja-kerja Bak. Kalau apa-apa terjadi pada Bak, kelam-kabut bisnes kita nanti. Bak mahu latih kau ambil-alih tugas-tugas ni.”
Saya terdiam. Saat itu saya langsung tidak dapat beri kata putus. Antara hasrat Bak dan cita-cita saya sendiri, yang mana perlu diutamakan? Hati saya berbelah bagi. Hendak menolak permintaan Bak, lidah terasa kelu. Akhirnya saya beritahu Bak saya akan bincangkan dahulu hal itu dengan Zainal. Sebenarnya, jawapan saya sudah ada. Saya mahu meneruskan pengajian.
Saya bingung. Ibarat ditelan mati emak, dibuang mati bapa. Saya akhirnya membuat keputusan menurut permintaan Bak. Bukan tidak sedih dan terkilan. Bukan hati tidak ralat. Tapi demi kasih terhadap Bak, saya terpaksa.
Zainal juga begitu. Kerana tidak mahu berjauhan dengan saya dan Alum, dia bersetuju mengambil keputusan yang sama. Katanya dia ikhlas. Keputusan itu diambil dengan kemahuannya sendiri. Dia tidak akan sesalkan sesiapa di kemudian hari, baik saya mahupun Bak. Setelah kami mencapai kata sepakat, Zainal menghubungi pihak JPA.
Mulanya pihak JPA mendesak kami teruskan pengajian sehingga selesai. Namun akhirnya permohonan kami dipertimbang dan diberi kelulusan. Dua minggu selepas majlis konvokesyen, kami tiga beranak kembali ke Malaysia.
Pada pertengahan tahun 1986 kekosongan jawatan di jabatan-jabatan kerajaan amat kurang, maka JPA bersetuju melepaskan kami daripada kontrak wajib berkhidmat dengan kerajaan. Saya dan Zainal diberi pelepasan penuh, tidak perlu membayar balik wang biasiswa kami. Syukur kepada Allah. Kalau tidak, parah kami hendak membayar balik hutang biasiswa itu.
Bagai pucuk dicita ulam mendatang, bagai orang mengantuk disorongkan bantal, begitulah reaksi Bak. Dia mengambil saya mengisi jawatan Financial Controller, juga menjadi P.A. Bak. Kepada Zainal Bak tawarkan jawatan di bahagian sales dan dia menerimanya.
Memang tidak diduga kami berdua akhirnya bertugas dalam satu pejabat di syarikat ayah saya. Walaupun hanya sebuah organisasi kecil, syarikat Bak sudah ada struktur pengurusan teratur. Bilangan pekerjanya hampir enam puluh orang, sebahagian besar operator mesin.
Jualan tahunan purata mencecah RM3 juta masa itu. Pelanggan-pelanggan utamanya termasuk MINDEF, KDN, FELDA, FELCRA, RISDA, Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Jabatan Pertanian dan agensi kerajaan di seluruh Semenanjung Malaysia. Bak juga berurus-niaga dengan FELDA NIAGA di Sabah.
Kesihatan Bak kembali merosot sejak awal 1989. Sudah lama Bak menghidap penyakit tiga serangkai - sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi. Dengan gaya hidup yang mementingkan kerja daripada kesihatan, kurang menjaga pantang ketika makan dan kuat merokok, penyakit Bak datang berulang kali.
Pada tahun yang sama Bak mengajak saya tunaikan fardhu haji. Itu kali ketiga bagi Bak. Semasa ke Mekah kali pertama tahun 1986, Bak pergi seorang diri. Tahun berikutnya Bak pergi dengan Mak dan 3 orang adik saya. Pada tahun 1988, Bak menghantar Kak Long bersama suaminya. Semua adik-beradik saya (termasuk JB yang telah meninggal dunia) sudah Bak naikkan haji kecuali saya seorang.
Hati saya berbelah bagi ketika Bak tawarkan peluang itu. Orang Islam jenis apa yang menolak peluang menunaikan haji? Sebenarnya saya mahu pergi bersama Zainal tapi masa itu tidak cukup duit bagi kami pergi berdua. Malah untuk saya seorang pun tidak mampu lagi.
Umur saya baru 29 tahun, mana ada agenda untuk naik haji. Bak kata dia akan tampung sebahagian kos perbelanjaan haji saya. Jadi masaalah tidak cukup duit tidak timbul lagi. Bak memanggil Zainal dan minta dia izinkan saya mengikut Bak dan Mak ke Mekah. Zainal yang tidak banyak hal itu senang saja membuat keputusan. Dia bersetuju mengizinkan saya pergi.
Alum yang ketika itu berusia 4 tahun masih tidak faham apa-apa, tapi turut mengangguk apabila datuknya minta dia benarkan ibunya ini pergi. Macam mana saya mahu berdalih? Bak bukan mengajak saya secara main-main. Dia beria-ia benar.
“Kalau kau tak nak ikut Bak, entahlah. Rasanya tahun depan Bak dah tak ada lagi.”
Bak memang suka bercakap tentang mati. Kadang-kadang dia guna taktik itu supaya orang lain mengalah dengannya. Bukan saya tidak tahu. Walau pun sudah lali, hati saya tetap berderau setiap kali Bak menyebut soal itu. Mana tahu masin mulut dia, pasti saya menyesal. Di pendekkan cerita, saya bersetuju pergi. Panggilan haji sudah sampai untuk saya ketika itu.
Sejak kami balik dari Mekah, Bak asyik keluar masuk hospital. Sekejap di Hospital Tawakkal, sekejap di Straits Hospital. Kata orang, setiap penyakit ada ubatnya kecuali mati, jadi kami terus berikhtihar membawa Bak berubat ke mana saja yang disarankan orang, termasuk rawatan secara tradisional. Malangnya Bak tidak menemui penawar bagi penyakitnya.
Ayah saya meninggal dunia di sebuah pusat rawatan traditional di KOMTAR, Johor Bahru pada pagi Jumaat , 15 September, 1989. Ketika itu Bak berusia 52 tahun, genap 52 hari setelah kami balik dari tanah suci. Innalillahi wa inna ilahir rojioon.
Ketika itu kami bermusafir di JB, jadi hanya saya, Zainal, Mak dan Uncle Zali berada di sisi Bak ketika dia menghembuskan nafas terakhir. Uncle Zali bergegas pulang ke Melaka untuk membantu keluarga kami menyediakan urusan pengebumian Bak, sementara saya, Zainal dan Mak menguruskan jenazahnya.
Jenazah Bak dibawa ke Masjid Abu Bakar yang terletak di atas bukit menghadap pantai Tanjung Puteri. Ketika membantu bilal dan Zainal memandi jenazahnya, hati saya pecah seribu. Sambil menjirus air ke tubuhnya, air mata jatuh berjujusan. Bak sudah tiada lagi. Bak sudah pergi buat selama-lamanya.
Air mata terus mengalir melihat jenazah Bak yang siap dikafan terbujur kaku di atas pangkin sementara menunggu sampainya kereta jenazah. Kepiluan hati Mak yang duduk di sisinya apa tah lagi. Begitulah berakhirnya riwayat Bak. Hanya doa yang tidak putus-putus dipanjatkan kepada Allah untuk rohnya.
Di sepanjang perjalanan pulang ke Melaka dengan jenazah Bak di sisi saya, segala kenangan pahit-manis bersamanya bermain-main di ruang mata. Saya terkenang masa-masa lalu ketika saya masih kecil, ketika saya remaja dan ketika bertugas di pejabat di sampingnya. Saat itu amat terasa di hati ini betapa saya kehilangan dia.
Namun yang pergi tetap jua pergi dan pasti tidak kembali. Jenazah Bak disemadikan petang itu di perkarangan masjid Kampong Telok Mas, kampong halamannya sendiri. Semoga roh Bak dicucuri rahmat. Amin Ya Rabbul ‘Alamin.
No comments:
Post a Comment