Sebelum 1976, adik-beradik saya empat orang saja - Kak Long, saya, JB dan OG. Perbezaan umur antara kami berempat berselang satu ke lima tahun. Semasa kami kecil dulu, Bak pernah mengajar sebuah lagu karangannya sendiri.
Lagu itu Bak beri judul ‘Lagu Semangat’. Kami selalu di suruh menyanyikan lagu itu, lebih-lebih lagi apabila berselisih faham sesama sendiri. Selagi belum bermaaf-maafan antara satu sama lain, Bak pastikan lagu itu diulang berkali-kali. Senikata lagu itu berbunyi begini. . .
Lina, Lela, JB, OG, empat beradik
Mesti berpakat baik-baik
Berbudi, jangan lokek
Apabila kami berempat meningkat remaja, adik-beradik bertambah dua orang lagi. Zio lahir 1976, Ayza lahir 1980. Perbezaan umur antara saya dan Zio 16 tahun, sementara dengan Ayza, 20 tahun. Dengan kehadiran mereka berdua ‘Lagu Semangat’ kami diubahsuai menjadi…
Lina, Lela, JB, OG, Zio, Ayza, enam beradik
Mesti berpakat baik-baik
Berbudi, jangan lokek
Kini kami tinggal lima beradik sahaja. JB (nama sebenarnya Mazby) meninggalkan kami pada 23 Febuari, 1984. Dia ketika itu berusia 20 ½ tahun, terlibat dalam kemalangan maut dengan sebuah lori.
Secara kebetulan tragedi sedih itu berlaku pada hari jadi saya dan tarikh itu kekal terpahat di batu nisan JB. Suratan takdir ini tidak pernah diduga menimpa kami. Pemergian JB satu kehilangan besar terutama buat Bak yang ibarat hilang tangan kanannya. JB yang menjadi harapan Bak membangunkan bisnesnya pergi lebih dulu.
Sebagai kenangan, saya bersetuju dengan permintaan Bak menamakan anak saya bersempena nama arwah JB. Itu sebabnya nama Alum panjang berderet macam gerabak kereta api - Mazby Zubir Khairul Nazri Bin Zainal.
Lima tahun selepas pemergian JB, Bak meninggal dunia. Mengikut wasiat Bak, saya ditugas mengambil alih teraju pengurusan syarikatnya. Bak memberi tanggungjawab kepada saya menjaga Mak dan dua orang adik saya, Zio dan Ayza.
Saya diamanahkan memastikan mereka bertiga mendapat pembiayaan sara hidup sewajarnya. Zio dan Ayza diaturkan persekolahan mereka sehingga mampu berdikari. Zio ketika itu di tingkatan satu. Ayza di tahun tiga sekolah rendah.
Demi kasih terhadap Bak, saya bulatkan hati menerima amanahnya walau pun hati tidak pasti sama ada dapat melaksanakan dengan sempurna. Apa pilihan lain yang ada di tangan saya?
Kalau bukan saya, siapa lagi akan mengurus syarikat Bak? Wajarkah saya bersikap seperti enau melepas pucuk sendiri? Saya tidak mampu menolak hasrat Bak sekali pun terasa berat beban yang perlu di galas di bahu ini.
Bak selalu berpesan supaya saya membaca semula suratnya bertarikh 7 Ogos,1984. Surat itu, Bak namakan SURAT WASIAT, diberinya kepada saya pada hari saya berangkat ke Amerika dulu. Begini isi kandungan surat itu…
7 Ogos, 1984.
Anakku Norlela,
Bak serahkan kau dan suami ke hadrat Allah SWT. Semoga kamu berdua senantiasa dikasihi serta mendapat petunjukNya. Semoga kamu mendapat bimbingan serta sentiasa di bawah perlindunganNya. Semoga kamu diinsafkanNya.
Semoga kamu dipanjangkan umur. Semoga kamu mendapat ilmuNya. Semoga kamu dilimpahkan kurniaNya. Semoga kamu mengingati Allah dan taat segala suruhanNya. Semoga kamu menghayati umur yang dipinjamkan.
Semoga kamu sejahtera dengan segala kurniaan Allah. Semoga kamu mengenali dirimu. Semoga kamu mengenali ibubapamu. Semoga kamu mengenali bangsamu. Semoga kamu menginsafi dirimu. Semoga kamu menginsafi dirimu. . .
Semoga dapat kamu bezakan antara darah dan air. Semoga dapat kamu bezakan antara suami dan kenalan. Semoga dapat kamu bezakan antara hati dan perasaan. Semoga dapat kamu bezakan antara putih dan berwarna.
Semoga dapat kamu bezakan antara kampong halaman dan perantauan. Semoga dapat kamu bezakan antara lelaki dan perempuan. Semoga dapat kamu bezakan antara kesopanan dan biadab. Semoga dapat kau bezakan antara ikhlas dan kepentingan. Semoga dapat kamu bezakan... Amin Ya Rabbul Alamin.
Anakku Norlela,
Bak katakan kamu punyai enam adik beradik. Bak katakan kamu semua berpakat baik-baik. Bak katakan kamu berbudi sesama adik-beradik. Bak katakan kamu anak yang baik. Bak katakan kamu anak bertanggungjawab. Bak katakan kamu anak berakhlak. Bak katakan kamu anak solehah. Bak katakan kamu anak berilmu.
Bak katakan kamu akan bertanggungjawab terhadap ibumu. Bak katakan kamu akan membimbing adik-adikmu. Bak katakan kamu akan jayakan perusahaan keluargamu. Bak katakan kamu anak yang adil. Bak katakan kamu anak yang tidak tamak. Bak katakan kamu anak yang tidak lokek.
Bak harapkan kamu tidak mengubah bintimu. Bak harapkan kamu tidak mengubah positif keturunanmu. Bak harapkan kamu tidak mengubah wasiat bapamu. Allah bersamamu. Kata-kataku bersamamu. Harapanku bersamamu.
Bak,
Zubir Haji Yusoff
Membaca watikah wasiat Pak Zubir, rasa sebak...
ReplyDeleteMasih jelas terbayang betapa kegigihannya, menongkah ombak...
Betapa wawasannya, sukar dirobak!
Watikahnya bukan noltasgik,
Watikahnya strategik!
Watikah untuk bangsanya!