Semasa kecil di Singapura, saya tinggal berjiran dengan keluarga orang Bawean. ‘Bak’ adalah panggilan untuk bapa bagi mereka. Mungkin kami adik-beradik terikut-ikut cara orang Bawean itu kerana kami juga memanggil ayah kami ‘Bak’.
Semasa muda ayah saya bekerja sebagai askar. Dia menjadi yatim piatu sejak berusia 11 tahun dan bersekolah Melayu setakat darjah 5. Bak mengambil peluang menyambung pelajaran semasa bertugas di Singapore Armed Forces (SAF). Semasa berhenti dari SAF, ayah saya berpangkat Pegawai Waran Kelas 2. Dia kemudian beralih angin ke JB dan menjadi Pengurus Tadbir di sebuah syarikat perkapalan.
Sejak muda Bak sudah biasa membuat dua kerja sebagai punca pendapatannya. Konsep multiple-stream-income menjadi amalan Bak. Semasa di Singapura dulu, siang hari Bak menjadi askar. Sebelah malam dia bertugas sebagai Book-Keeper di Singapore Polo Club.
Selain itu Bak giat berniaga secara kecil-kecilan. Bak berniaga kain-baju, pinggan–mangkuk dan mesin jahit letrik. Flet kecil kami di Toa Payoh bukan saja menjadi tempat tinggal, tapi bagaikan sebuah kilang mini. Di situlah kami sekeluarga membantu Bak mengusahakan produk dagangannya. Antaranya ialah kain potong…
Kain potong ialah kain yang sudah siap di potong sepanjang dua, tiga atau empat ela. Bak membelinya dalam buntilan-buntilan besar di Sungai Road, sebuah tempat membeli-belah secara borong yang terkenal di Singapura pada tahun 70an dulu. Kain-kain potong yang Bak beli masih baru tetapi sedikit berlapuk sebab lama tersimpan di gudang.
Saya dan Kak Long menolong Mak mencuci kain-kain potong itu. Di flet pada masa itu, kami menggunakan galah untuk menyidai pakaian - bergalah-galah kami menyidai kain-kain yang sudah dicuci. Apabila kering, kami menggosok, melipat dan memasukkannya dalam bungkusan plastik.
Stok kain-kain potong itu kami masukkan dalam kotak dan dibungkus dengan kertas minyak. Langkah seterusnya, Bak membuat iklan kecil di Utusan Malaysia atau Berita Harian. Ikan-iklan itu bertajuk ‘JUALAN MURAH – KAIN POTONG’.
Pada masa itu, kain baju Singapura menjadi tumpuan orang-orang di Malaysia kerana kualitinya baik dan harganya amat murah. Iklan-iklan Bak mendapat sambutan hangat. Selang beberapa hari iklan-iklan itu tersiar, kami mendapat pesanan. Semuanya datang melalui pos bersama money order.
Bak menyewa dua mail-box di Pejabat Pos Toa Payoh. Peti surat pertama diperuntukkan untuk saya dan JB. Yang kedua, untuk Kak Long dan OG. Kami empat beradik ditugaskan Bak memeriksa peti-surat itu setiap hari. Balik dari sekolah, berebut-rebutlah kami pergi ke Pejabat Pos Toa Payoh untuk memeriksa peti surat masing-masing. Siapa yang mendapat pesanan Bak berikan komisyen.
Kain-kain potong itu kami hantar kepada pelanggan melalui pos berdaftar. Itu termasuk dalam tugas kami adik-beradik. Apabila tiba bulan puasa, bertambah banyak pesanan untuk kain-kain potong yang masuk ke peti surat kami.
“Kita kaya!” Kami bersorak kegembiraan setiap kali mendapat pesanan tempahan kain potong itu.
Selain berniaga kain potong, Bak mengimport mesin jahit letrik (rupanya seperti mesin jahit SINGER) daripada Taiwan. Setiap kali barangan sampai dari pelabuhan, flet kami penuh dengan kotak-kotak berisi mesin letrik. Pada masa itu mesin letrik adalah produk baru dan belum sepopular sekarang.
Bak terima banyak permintaan dan menjual secara terus kepada pelanggannya di rumah-rumah mereka. Emak sayalah yang menjadi promoter dan mengajar para pembeli kami cara-cara mengoperasi mesin jahit berkenaan, membuat sulaman dan jahitan lubang butang.
Hampir setiap hujung minggu Bak dan Mak berulang-alik dari Singapura ke JB dan Melaka memasarkan mesin-mesin jahit itu. Apabila perniagaan sambilan itu bertambah maju, Bak membuat keputusan berhenti kerja makan gaji dan berniaga sepenuh masa.
Oleh kerana pelanggan Bak kebanyakannya daripada Melaka, Bak membuat keputusan berniaga di sana. Berpindahlah kami sekeluarga ke Melaka dan Bak membuka sebuah kedai menjual barang-barang letrik di Jalan Hang Tuah.
Namun entah kenapa sejak mula membuka kedai, bisnes Bak macam terbantut. Bak mengubah-suai produk dagangannya beberapa kali. Daripada mesin jahit, beralih menjual barang-barang letrik yang lain, menjual kaset dan katrij lagu, akhirnya kedai kami menjadi sebuah restoran. Malangnya masih bisnesnya tidak jalan. Keadaan itu berlarutan hampir dua tahun.
Memang pening kepala Bak tapi semangatnya tidak patah. Suatu hari Bak mengambil keputusan drastik menjual semua peralatan di restoran kami. Tiga bulan kemudian, Bak membuka sebuah bengkel besi di halaman rumah kami di Kampong Permatang Duyong.
Entah di mana Bak belajar mengimpal besi saya pun kurang pasti. Yang peliknya bisnes welding itu maju sejak awal lagi. Ada-ada saja orang datang buat tempahan bingkai tingkap, pintu, katil besi, perabut taman dan sebagainya. Setiap hari ayah saya berpakaian sut overall sibuk bekerja di bengkelnya.
Masa itu Bak belum mempunyai lori untuk mengangkut barang-barang. Bak meletak carrier di atas bumbung Mazdanya dan menjadikan ia seperti lori kecil. ‘Lori’ itu ke hulu ke hilir mengangkut tempahan ke rumah-rumah pelanggannya.
Di samping kimpalan, Bak membuat kerja kontrak am. Antaranya, membekal kereta tolak pungut sampah, memasang pembentung dan longkang serta membina jejantas di Kluang, Johor. Selain menggaji pekerja, adik-adik saya, JB dan OG membantu Bak. Tidak lama kemudian, Bak cuba mengusahakan industri membuat pagar rangkai Chainlink.
Dia membeli sebuah mesin terpakai yang beroperasi secara manual dan menghasilkan pagar rangkai Chainlink untuk bekalan kepada Jabatan Pertanian Melaka. Daripada pagar rangkai Chainlink, Bak menambah produk lain iaitu kawat duri.
Mungkin kerana rezekinya ada di bidang itu, perniagaan Bak terus berkembang. Bengkel kimpalan Bak bertukar wajah menjadi perusahaan alatan memagar. Impian besar ayah saya ialah memiliki sebuah kilang.
Impian itu Bak realisasikan dua tahun kemudian apabila bisnesnya semakin maju. Bak memindahkan operasinya ke sebuah kilang yang lebih sesuai di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh.
Ayah saya satu-satunya pengilang Bumiputera pada tahun 1980an yang mengusahakan industri berbagai jenis alatan memagar seperti kawat duri, kawat rangkai chainlink, kawat concertina, kawat jaring ‘hexagonal’ dan paku. Industri itu dimonopoli orang-orang Cina tapi Bak mencubanya.
Puan,
ReplyDeleteSaya kaku kalau berniaga. Akhirnya saya akan bagi percuma sahaja.
Assalamualaikum Prof,
ReplyDeleteSaya faham sangat isu ini. Rujuk buku saya 'Bagaimana Bisnes Keluarga Berjaya' muka surat 113.
Assalammualaikum
ReplyDeleteLela, maka lahirlah sebuah jibunsyi... You are a born story teller..sorry speaking London.