Pipinya gebu ketika kecil dulu. Anas, teman sekelasnya semasa di tahun satu menggelarkan dia Donut.
“Pipi kau ni macam donut. Tembam. Meh sini, aku nak gigit pipi montel kau. Nyam, nyam!”
Anas yang nakal mengetap giginya ke arah pipi Ayza yang menjeling, kemudian secepat kilat mencapai pembaris, terus terkedek-kedek mengejar Anas. Budak lelaki itu lari lintang-pukang menyelamatkan diri.
“Kau kata aku Donut? Kau ingat aku ni kuih? Kau tu buah nenas. Anas, buah nenas! Nenas! Nenas! Nenas!” Ayza mencekak pinggang. Lidahnya dijelir-jelir ke arah Anas.
Memang lucu bila terkenangkan kisah lama bagaimana gelaran Donut mula melekat pada diri Ayza, adik bungsu saya. Dulu memang dia marah berapi-api apabila dipanggil Donut tapi kini tidak lagi. Dalam keluarga kami, hanya saya yang kekal memanggilnya dengan gelaran itu.
Jarak umur antara saya dan Ayza berbeza 20 tahun. Ketika dia dilahirkan, saya sudah berada di semester 5 di UiTM. Kebetulan Mak melahirkan dia semasa cuti semester bermula dan saya sempat menjaga Mak dalam pantang.
Sebagai anak bungsu, Ayza paling manja dalam keluarga kami. Dia disayangi dan dilayan macam Sang Puteri. Donut kami ini pandai menyanyi ketika kecil dulu. Saya masih ingat suaranya yang serak-serak basah ala-ala Donald Duck, menyanyikan lagu kesukaannya di taman bunga Mak…
Tepi gunung, air terjun
Ramai orang, bermain
Tempat tinggal, tukang kebun
Yang anaknya, Mahani
Ketika Ayza masih kecil, hubungan dia dengan saya rapat sekali. Saya selalu memanjakan dia dengan membawanya round-round naik kereta ke bandar Melaka pada hujung minggu. Saya tahu dia amat sayangkan saya. Ketika Ayza berusia 4 tahun, saya mendirikan rumah tangga. Sebulan selepas itu saya dan suami berangkat ke luar negara melanjutkan pelajaran kami.
Mungkin kerana lama berjauhan dengannya, Donut kemudian renggang sedikit dengan saya. Lebih-lebih lagi setelah melahirkan Alum, saya memberi tumpuan kepada anak sendiri. Namun jarak usia yang berselang 5 tahun menjadikan Ayza dan Alum bagaikan kakak dengan adik. Kini Ayza sudah berumah tangga dan dialah ibu Etuy. Saya masih suka memanggilnya ‘Don’ atau ‘Nut’ - singkatan bagi Donut.
..Ketika Ayza masih kecil, hubungan dia dengan saya rapat sekali. Saya selalu memanjakan dia dengan membawanya round-round naik kereta ke bandar Melaka pada hujung minggu. Saya tahu dia amat sayangkan saya....
ReplyDeleteYa, memang amat saya sayangkan awak.. :) Ben seni cok seviyorum, Leyla ablam..
Thank you, my dear. I love you too. Ha, kau buat KN jiwang-jiwanglah, Nut...
ReplyDelete