Namanya Juriah Binti Hashim, berusia 65 tahun, gemar berbaju Kedah, berkain batik dan rambut ditutupi snow cap putih. Orangnya comel, berkahwin ketika 16 tahun, minat tanam bunga, suka makan rambutan dan rajin baca novel. Dialah ibu saya.
Sejak muda ibu saya bersikap jujur kepada diri sendiri. Dia tidak pernah membaca buku-buku self-improvement seperti saya. Namun bersikap jujur kepada diri sendiri memang tabiat ori Mak. Pada diri saya sikap itu tidak ada secara semula jadi.
Bertahun-tahun saya berpendirian, menjaga hati orang lebih penting daripada hati sendiri. Saya meletak diri di tempat nombor 2 atau 3. Tidak hairanlah beberapa kali saya kecewa. Tapi itu dulu, kini saya tidak memaksa diri lagi.
Berbalik cerita Mak, dia tidak gemar kenduri-kendara. Apabila buat majlis baca Yasin atau Tahlil, jamuan disaji Mak ala-ala high-tea saja. Orang Melaka suka menjamu nasi dengan lauk-pauk serta kuih-muih ketika kenduri. Sesetengah orang menyedia ‘berkat’ untuk tetamu. Tapi ibu saya tidak ambil pusing. Baca Yasin dan Tahlil tidak sampai sejam, kata Mak, tapi menyedia jamuan sehari suntuk. Biasanya Mak buat cara lain iaitu mengganti sejadah, tirai, permaidani dan kipas di masjid-masjid.
Satu lagi tabiat Mak dia tidak angkat telefon apabila tidak mahu diganggu. Kekadang adik-beradik saya merungut panggilan mereka tidak berjawab. Mak ketawa dan mengaku mencabut wire telefon kerana mahu menonton telenovela. Mak kata, dia hanya cabutkan wire telefon waktu itu. Waktu lain tiada pula sesiapa telefon, jawab Mak lembut membuat kami ketawa sendiri.
Selepas Bak meninggal, Mak, Zio dan Ayza tinggal serumah dengan saya, 11 tahun lamanya. Mak berpindah apabila adik-adik sudah dewasa. Saya menangis bagai nak rak ketika Mak berpindah. Sangka saya Mak mahu menetap di rumah saya sampai bila-bila. Saya terlupa Mak sentiasa membuat pilihan sendiri dalam menentu hidupnya. Kini apabila hatinya tergerak hendak ke rumah saya, Mak telefon minta saya menjemputnya. Kekadang Mak datang jalan kaki. Jarak rumah kami lebih-kurang 500 meter.
Apabila Mak datang, saya tidak jadi kerja. Dari pagi sampai malam saya duduk dengan Mak. Zainal sudah masak dengan tabiat kami dua beranak. Kata Zainal, kalau sudah jumpa Mak, suami pun saya tidak pandang! Sesekali apabila Mak tidur di rumah, saya beralih tidur dengan Mak. Aduhai, sesekali dapat mengingat nostalgia ketika kecil dulu.
Antara saya dan Mak bagaikan ada telepathy. Gerak hati kami selalu sama. Contoh yang kerap berlaku dalam pemilihan pakaian. Apabila Mak ke kedai kain, pilihannya kerapkali serupa dengan apa yang saya beli, baik dari segi warna mahu pun corak bunga, walau pun kami membeli di tempat dan masa berlainan.
Bukan sekali dua saya dan Mak terkejut kerana kami berpakaian ‘boria’ ketika hendak keluar bersama. Biasanya saya ke rumah Mak dengan baju baru saya. Tiba di rumah Mak, kami dua beranak terpekik (O tidakkk!!!) melihat baju yang dipakai serupa. Dalam hal begini, sayalah yang kena balik ke rumah menukar baju lain.
Mak pernah membeli kain di Alor Setar secara sorok-sorok, dia tidak mahu saya tahu. Kemudian ketika hendak menunjuk baju baru itu, kami terkejut (Arrrggghhh!!!) kerana ia serupa dengan baju yang saya beli di Melaka.
Dalam soal masakan, acapkali kami memasak menu yang sama. Secara kebetulan kalau Mak teringin makan karipap, saya pula buat karipap hari itu. Atau Mak bercadang memasak soto, saya pula telefon beritahu dia di rumah saya ada soto. Mak selalu kata saya suka menirunya. Saya pun mengata Mak suka meniru saya. Sebenarnya rasa dan selera kami sama.
Hampir setiap pagi Sabtu saya dan Mak keluar ‘dating’. Sebelum ini kami ke Seremban (dua minggu sekali) menghadiri kelas Pengajian Usuluddin anjuran UMCCed. Selepas habis 3 modul, aktiviti bertukar. Kini kami bersarapan di kedai, kemudian ke pasar tani atau nurseri mencari pokok bunga.
Mak tidak pernah berselindung meluah rasa kasih dan sayangnya. Ketika sudah seusia saya (4.75 dekad) Mak masih memeluk menyatakan betapa dia sayangkan saya. Pelukan Mak erat sambil dahi saya dikucupnya. Hati amat tersentuh apabila Mak buat begitu. Buat Mak, saya panjatkan doa setiap hari agar hidupnya diberkati Allah ke akhir hayat.
This comment has been removed by the author.
ReplyDelete