Zainal membawa pulang dua pucuk surat bersetem Bangladesh. Surat pertama dikirim Md. Sattar Ali dari Saleka, Driapur, Meherpur. Kandungannya pendek berbunyi begini…
Assalamualaikum. Bos. Apa kabar. Saya harap awak ada baik dan cihat. Saya pun samah-samah baik dengan famili. Bos ada tau, Sattar sekarang tidak ada kirja. Saya sekarang duduk romah. Langsung tidak kirja. Duit pun sudah habish. Nanti Bos bole bagi kirja, Sattar masamana pun bole masuk Malaysia. Bos tolong bagi kirja saja. Kalau Bos bole tolong saya nanti Sattar bole pirgi. Bagi salam kaun-kaun sumah. Saya pon ada posa. Saya harap awak kilang bole kirja sumah baik. Bole kaya lagi. Sampi sini. Mayah-mayah kirim salam Norelah Bos. Nanti Bos hantar surat sama saya. Cipat cikit. Ini saya tunggu surat Bos. Daripada Md. Sattar Ali.
Surat kedua daripada Md. Repon dari Kanaidanga, Mohispur, Jehnidah seperti berikut…
Jaynal Bos. Salam. Apa kabar. Saya harap awak cihat. Saya sini selalu cihat. Masamana awak punya famili, anak isteri bapak emak adik abang ada cihat. Sekarang awak buat apa kirja. Bos ada tau, saya sekarang duduk romah. Tidak kirja. Jalan-jalan. Bos bole tolong saya. Dulu kirja Malaysia hantar duit abang ipa romah dekat. Sekarang itu semua pakai habish. Saya duduk romah kosong kosong. Duit tadah. Saya mau masuk Malaysia, awak bole tolong. Selepas saya hantaran passport foto kope. Kasi salam famili isteri anak and all. Saya tulish surat apa-apa salah minta maff. From Md.Repon.
Zainal menggeleng kepala, “Kesian dia orang ni. Tak habis-habis dengan masalah duit. Baru 3 bulan balik dah sibuk nak datang Malaysia lagi,” rungut Zainal.
“Duit sudah habish. Kosong kosong. Bos ada tau?” saya mengajuk cakap Sattar dan Repon. “Masa ada duit boros sangat. Abang tak ingat masa dia orang nak balik dulu? Asyik beli barang kemas. Rantai, gelang, anting-anting,”
“Apa pula tak ingat,” jawab Zainal.
“Semua orang mereka nak belikan barang kemas. Emak, kakak, adik, makcik, nenek, mak mertua, kakak ipar. Hah, bila duit habis, gigit jari sendiri,” saya membebel.
“Kalau tadah itu rantai, nanti sumah orang nangish. Bos ada tau?” Zainal pula mengajuk cakap Sattar.
Kami ketawa terkenangkan 16 rakyat Bangladesh yang pernah bekerja di KZ. Hanya dua orang menghantar khabar setelah balik ke sana. Yang lain hilang lesap. Sebelum balik berjanji bukan main, mahu telefon, kirim surat dan berjanji hendak sambung silatulrahim sampai bila-bila. Nombor satu Abdul Manan Bishamondal yang menangis hiba di KLIA. Tapi bila sudah jumpa sanak famili, dia terus lupa semua janji.
Namun kami tidak berkecil hati. Pasti mereka sibuk dan banyak urusan. Bukan mudah memulakan hidup baru selepas 6 tahun mereka tinggalkan Bangladesh. Keadaan di sana bukan macam di Malaysia. Sistem pengangkutan di sana mundur, peluang pekerjaan kurang, selalu pula banjir. Bagi yang banyak bawa balik duit, merancang beli beca atau buka kedai runcit. Tapi kalau tidak kawal belanja, bukit emas pun boleh gondol. Bila duit sudah habis, jadi macam Sattar dan Repon.
Semasa baru datang dulu, pekerja Bangla itu macam rusa masuk kampong. Serba-serbi di sini tampak canggih di mata mereka, waima Melaka yang sederhana ini pun dianggap moden sangat. Manan yang dikira paling advanced antara mereka kerana pernah tinggal di Dhaka, pun tidak tahu hendak buka tali pinggang keledar. Hendak buka tin Coke tidak reti. Apatah lagi yang datang dari ceruk desa Bangladesh, memang ‘kampong’ habis.
Pekerja-pekerja Melayu berlagak masa itu sebab mereka dianggap moden oleh orang-orang Bangla. Kesemua pekerja Bangla di tempatkan di sebuah rumah sewa di Ayer Keroh Heights. Setiap pagi berpimpin-pimpin tangan mereka datang ke tempat kerja. Janggal bagi orang lelaki jalan berpegang tangan, tapi mereka 8 pasangan buat selamba.
Mereka tidak faham Bahasa Melayu. Bahasa Inggeris boleh sebut sepatah dua. Bercakap dengan mereka macam itik bercakap dengan ayam. Pening kepala Hanif, ketua operator yang ditugas melatih mereka. Suatu ketika Hanif yang tinggi 5 kaki itu naik baran lalu ditamparnya pipi Syafiqul yang jauh besar. Hanif hilang sabar sebab Syafiqul bengap dan asyik buat salah ketika menjalankan mesin.
Sudah puas diajar masih tidak faham. Apabila kena penampar Hanif, Syafiqul menangis mengongoi. Dia tunduk mencium kaki Hanif dan minta ampun. Hanif bukan semakin reda, tapi terus marah berapi dan menunjal dahi Syafiqul. Lagaknya macam emak tiri zaman dulu-dulu. Garang gila.
Belakang parang di asah, lama-lama tajam. Berkat tunjuk-ajar Hanif, semua pekerja Bangla kami cekap menjalan mesin. Dalam tiga bulan ada yang boleh bercakap Bahasa Melayu walaupun berterabur dan lintang-pukang. Bagi yang faham BM serba-sedikit, merekalah jadi penterjemah kepada kawan-kawan yang lain.
Saya sendiri terkena kejutan budaya Bangla. Kejutan pertama saya melihat Mukhlasar cuci gigi pakai abu dapur. Suatu pagi Ahad pulang dari warung roti canai, saya dan Zainal singgah di rumah sewa mereka. Kami hendak tengok apa mereka buat pada hari cuti. Mukhlasar keluar dari dapur sambil menggenyeh giginya dengan jari. Relaks saja dia buat kerja (gosok gigi) sambil menyapa kami.
Kawan-kawannya (berkain pelikat dan bersinglet) sedang makan. Saya tidak pasti mereka makan sarapan atau makan tengahari. Jika sarapan, hidangannya berat sebab mereka makan nasi. Bukan nasi putih tapi nasi baryani. Jika hidangan tengahari, waktu itu baru pukul 9:00 pagi. Di tengah tikar atas lantai, mereka letak kuali besar beralas kain buruk. Tidak pernah seumur hidup saya tengok orang hidang makanan dengan kualinya sekali.
Mereka masak gulai kari bersama kentang lenyek. Berbiji-biji telur rebus siap berkupas kulit, tergolek-golek dalam gulai pekat itu. Di sebelah kuali diletak periuk nasi besar. Itu saja hidangan yang ada tapi mereka makan bertambah-tambah. Mungkin kari telor itu sedap sangat. Waallahualam.
Pekerja Bangla kami kuat makan nasi. Setiap seorang boleh habiskan satu mangkuk tambah nasi setiap kali makan. Beras satu guni seberat 50 kg, mereka 16 orang boleh habiskan tidak sampai seminggu. Orang Melaka ada perkataan khas bermaksud ‘kuat makan’. Bunyinya agak kasar iaitu ‘mentedarah’.
Saya belajar sepatah dua bahasa Bangla dan yang masih ingat… goru – lembu, namas – solat, namki – nama dan gobian-gobian – curi-curi lari. Suatu ketika Zainal membelanja Manan dan Sattar makan di sebuah restoran. Sambil makan mereka berbual.
“Saya sakap sikit Bos jangan marah, bole?” Tanya Manan.
“Cakaplah,” jawab Zainal.
“Sana Bangla, Bos tak bole ini masam tau,” kata Manan.
“Tak boleh apa?” tanya Zainal.
“Saya kirja punya orang. Mana bole samah Bos ini masam makan?”
“Apa pasal tak boleh?” tanya Zainal lagi.
“Kirja punya orang low standard, Bos,” jawab Manan tersipu-sipu.
“Bos, Manan sakap ini masam,” Sattar pula menyampuk.
“Sana Bangla, kalu itu Bos makan, orang kirja tengoklah. Mana boleh samah-samah makan ini masam. Bos ada tau?”
Darjat di antara pekerja dan majikan terlalu besar di Bangladesh. Seorang ‘bos’ dianggap ‘orang kaya’ dan tidak boleh duduk semeja dengan kuli-kuli yang miskin. Pendek kata kuli tidak layak sama sekali duduk makan bersama bosnya.
“Sini Malaysia, tak ada kasta,” jawab Zainal.
“Tapi Bos, ini masam lagi baiklah. Saya manyak suka,” kata Sattar.
“Bos baik, awak pun mesti mau baik. Jangan buat hal macam-macam,” jawab Zainal.
“Tadah Bos. Mana saya ada buat masam-masam?” Manan dan Sattar menjawab serentak.
Suatu ketika kami kekurangan tenaga kerja di tapak projek. Cara mengatasi isu itu ialah ‘meminjam’ beberapa pekerja Bangla di kilang. Apabila hal ini diberitahu, kesemua mereka tidak mahu, sampai bertegang-tegang leher. Apabila Zainal kata upah kerja di tapak projek lebih tinggi, berebut-rebut mereka hendak pergi. Seorang pun tidak mahu menjalankan mesin lagi.
Majoriti pekerja Bangla suka membangkang cakap orang. Belum dengar penerangan dengan sempurna, mereka sudah menyangka bukan-bukan, membantah dan protes. Apabila sudah faham hal sebenar, mulalah merayu minta maaf. Mereka selalu memandang serong dan menyangka orang lain, waima majikan sendiri, hendak menipu.
Antara 16 orang Bangla itu, ada seorang tersangat nakal. Dia (saya beri nama samaran Faizuddin) bekas anggota polis dan pernah menjadi jurujual. Sudah beristeri dan ada dua anak. Sikapnya peramah, suka berkawan dan mudah mesra. Selepas waktu kerja, Faizuddin selalu duduk berbual dengan saya dan Zainal.
Faizuddin suka joli. Duit gajinya tidak pernah cukup dan meminjam wang teman-teman. Saya dapat tahu dia selalu pokai lalu merisik kawan-kawannya. Rupanya Faizuddin kaki tikam ekor. Dia beli nombor ramalan setiap minggu. Faizuddin juga ada ‘makwe’, gadis Bangla bekerja di sebuah kilang elektronik di Batu Berendam. Isterinya yang setiap bulan mengirim surat tidak tahu suaminya curang.
Semasa hendak balik, orang lain sibuk membeli barang kemas. Faizuddin memborong payung untuk buat buah tangan. Hampir 20 payung bermacam warna dibeli. Dia merasa tidak sedap hati tidak dapat beli rantai emas untuk isteri, lalu pergi meminjam wang ‘along’ RM1,000. Along itu tidak tahu Faizuddin hendak balik ke Bangladesh. Dia percayakan Faizuddin yang sanggup beri kad ATMnya.
Faizuddin suruh along keluar sendiri duit gajinya untuk bayar hutang itu. Dia nekad permainkan along. Semasa di KLIA, Faizuddin tidak cukup duit nak bayar cukai. Dia terbawa lebih muatan. Yang meberat beg-begnya adalah payung yang banyak itu. Kasihan Faizuddin.
Nozrul lain ceritanya. Dia rajin bekerja dan alim. Sayangnya selalu kena tipu kerana percayakan kawan. Nozrul pernah kirim duit kepada isteri RM6,000 tapi lesap sekelip mata. Dia tidak hantar melalui bank sebaliknya melalui kawan. Dia tidak sangka orang kampong sendiri sanggup pecah amanah.
Kasihan Nozrul tapi semua berpunca daripada sikapnya sendiri. Dia sudah kena ‘main’ 2 ke 3 kali tapi masih tidak yakin mengirim duit melalui bank. Suatu hari Nozrul terima surat tuntutan fasakh isterinya. Termenung dia berhari-hari. Isteri Nozrul letih menanti wang sara hidup yang tidak sampai-sampai lalu mohon bercerai.
Suatu hari di bulan Ramadan saya mengikut Zainal ke tapak projek MAB JB. Beberapa orang pekerja kami ditugaskan di lapangan terbang itu untuk kerja-kerja memasang pagar. Melihat mereka berjemur dalam panas terik, terdetik di hati saya rasa kasihan. Maklum bulan puasa. Apabila sampai waktu rehat, mereka terus menuju ke bawah pokok rendang. Dengan selamba mereka keluarkan bekalan makanan.
“Maaf Bos, kami semua ini tak puasa. Makan dulu ya.”
Beberapa orang pekerja Melayu memperlawa saya makan. Pekerja Bangla pun sama tidak berpuasa. Leka saya perhatikan gelagat pekerja yang tampak lapar dan kehausan itu. Mereka bukan makan ala-kadar tapi siap dengan kicap botol besar dan ulam-ulaman. Pada siang hari bulan puasa pun mereka ‘mentedarah’. Saya geleng kepala.
Daripada 8 yang bekerja di tapak projek hari itu, Nozrul seorang berpuasa. Sedang yang lain menjamu selera, dia bersihkan diri daripada tanah dan lumpur. Saya lihat dia berjalan ke paip air, ambil wudhu, bentang sejadah di bawah pokok dan dirikan solat zohor.
Ketika Nozrul hendak balik ke Bangladesh, saya sudah setahun berhenti kerja (kerana faktor kesihatan). Saya bukan lagi bosnya tapi dia menelefon saya untuk ucapkan Selamat Tinggal.
“Norelah Bos, ini Nozrul. Saya mau balik Bangladesh. Kasi maff sama saya. Manyak-manyak terima kasih, Bos.”
Sesungguhnya kemuliaan seorang manusia itu bukan terletak pada rupa, darjat dan harta. Mulianya manusia kerana sifat takwa kepada Allah dan hubungan baik sesama insan. Pada diri Nozrul ada contoh teladan yang baik. Saya doakan kini hidupnya bahagia. Mudah-mudahan Allah murahkan rezekinya walau di mana dia berada.
untuk menghayatinya, sebutlah ikut tajwid Melaka:
ReplyDeletemente-dagrrhah (baca e-tanda) = muntah-darah!...