Ketika usia Som awal 30an, dia menjalin hubungan dengan lelaki sudah beristeri. Mereka bercadang hendak kahwin tapi asyik bertangguh. Dalam tempoh 10 tahun mereka berkawan, Som sempat berkenalan dengan isteri teman lelakinya. Dengan bakal anak-anak tirinya pun Som biasa bergaul. Som dikenalkan kepada keluarga teman lelakinya sebagai rakan sepejabat merangkap adik angkat.
Walau pun mahu memperisterikan Som, teman lelakinya takut berterus-terang dengan isteri. Dipujuknya Som supaya bersabar. Apabila usia menjangkau 40an, Som mendesak mereka bernikah di Thailand. Tindakan nekad Som berhasil. Berita mereka menikah akhirnya terhidu oleh madu Som dan bermulalah episod ‘perang telok’ antara mereka.
Sudah lebih 5 tahun berlalu, namun madunya masih tidak mahu berdamai dengan Som. Setiap kali saya, Som dan kawan-kawan lama kami bertemu, pastilah terkeluar cerita perang antara dua madu itu. Som menangis kesedihan menceritakan dirinya dihina dan dimaki-hamun.
Malangnya dia tidak mendapat simpati seperti diharapkan. Tanpa berselindung kawan-kawan kami menyalahkan Som kerana merampas suami orang. Som berkecil hati dibelasah dengan kata-kata pedas. Melihat saya diam seribu bahasa dan tidak turut mengutuknya, Som kerap mengadu hal kepada saya.
Sebenarnya saya tidak sampai hati mendengar tangisan sedih Som. Setiap kali dia mengadu, saya nasihati dia supaya bersabar banyak-banyak. Melihat reaksi saya itu, Som menganggap saya ini penyokong kuatnya.
Saya tidaklah anti poligami sebab hal itu termasuk di dalam hukum-hakam Allah. Namun saya tetap tidak rela dimadukan. Kalau ditakdirkan Somlah yang menjadi madu saya, insyaAllah, akan separuh mati dia saya kerjakan. Saya akan korek biji mata dia. Saya akan pijak perut dia.
Pendek kata, kalau saya di tempat madu Som itu, saya pun akan ‘main pedang’ dengan Som. Tapi Som tidak tahu rahsia hati saya ini. Sampai kini dia masih menganggap saya sahabatnya yang very understanding. Saya sedar saya bersikap hipokrit. Sorrylah Som, minta ampun ya!!!
Pada tahun 2000, emak saya berpindah ke rumah baru. Sebelum itu, dia bersama dua orang adik saya tinggal bersama saya di Taman BBU. Lebih satu dekad kami hidup di bawah satu bumbung, iaitu sejak Bak meninggal dunia tahun 1989. Dalam tempoh 11 tahun hidup bersama Mak, tentulah saya sudah sebati dengan kehadirannya di rumah kami.
Apabila Mak hendak berpindah, hati saya bagaikan pecah seribu. Namun Mak ada alasan munasabah. Zio ketika itu sudah hampir mendirikan rumahtangga. Ayza sudah besar panjang. Kata Mak sudah tiba masanya dia berpindah dan mempunyai rumah sendiri. Di pendekkan cerita, Mak dan adik-adik saya berpindah juga akhirnya.
Rumah baru Mak di Taman BBI, tidak jauh dari Taman BBU. Tanpa saya duga, perpindahan Mak menjadi satu isu. Ada jiran kami datang bertanya mengapa Mak berpindah setelah sekian lama tinggal bersama saya. Ada yang membuat andaian mengata saya berselisih faham dengan Mak menyebabkan dia merajuk membawa diri.
“Hati orang tua, Lela. Kalau merajuk pun, tak akan dia nak mengaku. Kesian Mak Cik Juriah. Apa hal sebenarnya ni? Apa dah berlaku? Hati orang tua kena jaga baik-baik, Lela. Bukan senang tau.”
Pertanyaan dan nasihat tidak diundang seperti ini kerap ditujukan kepada saya. Walau pun saya menafikan berlaku perselisihan faham antara saya dengan Mak, sesetengah jiran tidak percaya. Ada yang sanggup bersusah-payah mencungkil ‘rahsia’ mencari kepastian. Suatu hari seorang jiran bertemu OG, adik lelaki saya. Ikutilah dialog mereka…
Jiran : G, aku dengar Mak kau dah pindah rumah. Apa hal ni?
OG : Hal apa pulak? Mak aku dah beli rumah baru. Dia pindah le.
Jiran : Alah, hati orang tua, G. Dia tu merajuk, tak?
OG : Merajuk dengan siapa?
Jiran : Dengan Kak Ngah kau tu le. Mana kita tahu, kan?
OG : O ya, aku terlupa. Hari tu, memang ada kes sikit.
Jiran : Itulah, aku dah agak G. Mesti ada sebab Mak kau pindah. Apa kesnya?
OG : Hari tu, Mak aku bergaduh dengan Kak Ngah. Dia kata Mak aku macam-macam. Mak aku naik hantulah. Dia lempang kakak aku. Kak Ngah menjerit minta tolong. Zainal datang, terus karate tengkuk Mak aku. Mak aku jatuh tergolek. Lepas tu, Mak aku bangun, terus dia flying kick Zainal. Terpelanting Zainal, langsung terperosok bawah katil. Malam tu, kita orang adik-beradik buat repot polis. Besoknya barulah Mak aku pindah. Habis semua barang-barang dia angkat.
Jiran : Hei, kau cakap apa ni, G???
OG : Aku cerita hal yang betul le ni. Kan tadi kau tanya apa pasal Mak aku pindah dari rumah Kak Ngah?
Jiran : Eh, aku ni tanya je. Kau marah ke, G?
OG : Apa pulak marah? Kau kan nak dengar cerita kontroversi. Aku cakap tak ada apa-apa, kau tak percaya.
Jiran : Jangan le marah, G. Aku ni bukan apa. Aku ambil berat hal emak kau. Mak Cik Juriah tu dah tua, G. Kesian kat dia. Hati dia kita kena jaga.
OG : Ah, kau tu bukan kesian kat Mak aku. Kau ni kepoci. Suka jaga tepi kain orang. Suka prasangka buruk kat orang. Lain kali, jangan suka buat serkap jarang. Tak baik tau.
Jiran : Alamakkk, sorrylah, G. Jangan marah le. Jom kita minum kopi.
Sejak peristiwa tersebut tiada siapa pun bertanya lagi mengapa Mak berpindah ke rumah baru. Begitulah kalau buku sudah bertemu ruas.
No comments:
Post a Comment