Saturday, August 18, 2007

Mimah The Carpenter

Dia memandu Mazda buruk berwarna kuning. Orangnya manis dan peramah. Saya diperkenalkan dengannya oleh Munir, seorang kontraktor, 10 tahun lalu. Wanita berusia 40an itu seorang tukang perabot. Dia mahir membuat kabinet dapur, keperluan rumah dan pejabat. Sejak mula bertemu, Mimah sudah mesra. Saya terpegun dengan kehebatannya bertukang.

Dia selalu memakai kemeja atau baju T berlengan panjang, berseluar jeans dan tudung kepala terikat kemas di bawah dagu. Gayanya bercakap dan berdiri macam lagak seorang lelaki, tapi wanita itu sebenarnya seorang isteri dan ibu beranak 8.

“Saya kerja dengan tauke Cina, Kak. Saya buat kabinet untuk hotel, kondo. Macam-macam lagilah,” Mimah bercerita. “Saya suka buat kerja ni. Tauke pun sayang saya. Dia selalu bagi saya buat overtime. Saya nak cari duit lebih, Kak. Anak saya ramai. Tapa, laki saya bukan boleh harap. Dia malas kerja.”

“Suami kerja apa?” tanya saya.

“Tukang kebun sekolah. Sebelah malam dia bawa beca. Itu pun selalu tak cukup, Kak. Kalau saya tak bantu cari duit, memang dapur kita orang tak berasap,” Mimah ketawa berdekah-dekah macam orang lelaki!

Itu bukan kali pertama Mimah singgah ke pejabat saya. Dia rajin datang waktu petang, kira-kira jam 5:30. Kalau saya tiada di pejabat, dia balik saja. Kalau kebetulan saya ada lapang, dia ajak saya pergi berjogging. Atau pun dia bawakan saya pisang dan keledek goreng. Katanya dia balik kerja dan singgah sebentar untuk berbual-bual dengan saya.

Menurut Mimah, dia mahu berkawan dengan saya. Dia mahu belajar buat bisnes. Mulanya saya rasa janggal. Namun Mimah buat selamba duduk tercongok di depan meja saya. Mulutnya yang peramah itu tidak henti-henti berceloteh.

“Satu hari nanti saya nak buat bisnes sendiri. Saya nak jadi tauke macam Kak Lela,” kata Mimah.

“Saya bukan tauke. Saya kerja makan gaji, kuli juga. Ini bukan syarikat saya. Ini syarikat keluarga,” saya membetulkan persepsi Mimah.

“Nak buat bisnes almari kabinet ke?” tanya saya sambil mengemas meja.

“Kerja ni aje yang saya pandai buat. Dah bertahun-tahun saya buat perabut, semua hal saya dah tahu. Mana nak dapat kayu, plywood, table-top cover, asesori, harga bahan semua saya dah tahu. Nak ukur, nak potong, nak buat bentuk apa pun saya tahu.”

Market macam mana?” tanya saya lagi.

“Sekarang ni pun dah ada orang tempah kabinet pada saya. Tapi saya buat hujung minggulah. Saya sewa tempat tauke dengan mesin-mesin sekali. Tapi lecehlah, Kak.”

“Kenapa?” tanya saya.

“Semua kerja saya tu kena bagi siap sebelum hari Isnin. Kalau tak, tauke saya bising. Dah beberapa hari minggu saya tak rehat sebab nak siapkan tempahan orang. Saya balik rumah dah tengah malam. Kalau saya ada bengkel sendiri di rumah, senanglah sikit. Tiap-tiap malam saya boleh buat kerja.”

Saya biarkan Mimah menceceh sendiri. Sebenarnya kehadirannya merimaskan saya. Kerja saya sendiri tidak habis, kena dengar masalah dia pula. Tapi demi menghormati tetamu, saya layan dia bercakap.

“Habis tu tunggu apa lagi? Buatlah bisnes kecik-kecik dulu,” kata saya.

“Masalahnya modal, Kak. Saya tak ada modal nak beli mesin. Lagi pun saya tak ada tempat. Soyok kat dapur saya tu kecik. Nak buat bengkel tak muat. Kalau hujan semua basah.”

“Kau tak ada tabung? Pecahkan tabung kau tu, duitnya buatkan modal. Takkan tak ada simpan duit sikit pun,” saya mengajaknya keluar lalu mengunci pintu pejabat.

“Nak makan pun tak cukup, macam mana nak simpan duit, Kak? Tabung saya semua dah kena korek,” Mimah tergelak sendiri.

“Saya pernah tanya orang bank, nak buat loan. Dia orang kata kena buat bisnes dulu. Dah jalan bisnes, baru boleh buat loan. Tapi bank nak cagaran. Saya ni apa yang ada. Satu harta pun tak ada. Sekolah setakat darjah 6, menulis pun tak pandai sangat. Akak tolonglah beri pendapat. Saya nak ubah nasib dan masa depan. Dah puas saya hidup susah. Kalau saya tak buat sesuatu dari sekarang, susah nak besarkan anak-anak saya. Tapa bukan peduli, Kak. Dia asyik beli nombor ekor. Risau saya.”

Hati saya lembut, pantang dengar cerita orang perlukan bantuan, cepat saja timbul kasihan. Dalam acuh tidak acuh, saya terus ‘pinjamkan telinga’ mendengar luahan perasaan Mimah.

“Saya nak ajak Akak kongsi berniaga. Kita buat bengkel perabot kat belakang rumah saya. Akak keluar modal, saya keluar tenaga. Mula-mula saya buat part-time. Kalau dah maju, saya buat full-time. Saya berhenti kerja dengan tauke. Tolonglah saya, Kak. Bisnes ni bagus, boleh untung. Dapat pahala Akak tolong orang susah macam saya.”

Mimah terus ambil peluang menceritakan rancangan dalam kepalanya. Panjang lebar. Mungkin sudah lama dia menuggu saat sesuai untuk sampaikan rancangan bisnes itu. Walau pun tidak bersekolah tinggi, saya akui dia agak bijak dan tahu banyak perkara tentang bisnes yang ingin diceburinya. Tidak saya duga Mimah yang tampak sempoi itu mempunyai impian jelas.

“Apa pendapat Akak? Bagus tak rancangan saya?” tanya Mimah.

“Bagus!” jawab saya.

“Habis tu, boleh?”

“Boleh apa?” tanya saya.

“Alamak, Akak janganlah buat-buat tak faham. Boleh tak kita kongsi berniaga? Kak Lela keluar modal, saya keluar tenaga. Bolehlah Kak, tolonglah saya. Saya nak ubah nasib. Tak mahu susah sampai ke tua.”

Sejak memberitahu hasratnya, bertambah kerap Mimah datang dan mengecek saya. Setiap kali singgah ke pejabat, itulah topik dibincangkan. Namun saya tidak beri keputusan. Kalau difikirkan secara waras, kenapa saya kena bantu Mimah. Dia bukan ahli keluarga saya, kawan rapat pun bukan. Cuma kenalan biasa.

Saya bincangkan hal itu dengan Zainal. Walaupun urusan dengan Mimah melibatkan wang saya sendiri, saya perlukan pandangan suami. Kata Zainal, lebih baik jangan ambil risiko. Lagipun saya bukan bank. Bukan tanggungjawab saya beri orang pinjaman untuk buat bisnes.

Mimah tidak berputus asa. Dia tetap datang ke pejabat saya. Selain soal bisnes, dia berkongsi masalah lain, soal rumahtangganya dan kurang pengetahuannya dalam soal agama. Kata Mimah dia tidak tahu mengaji Al-Qur’an, malah bab solat pun tidak faham sangat. Saya fikir dia main-main, rupanya sungguh-sungguh dia tidak tahu.

Suatu ketika, saya bercadang menghantar staf-staf KZ menghadiri kursus Team Building di Sungai Lui. Apabila Mimah dapat tahu, dia beria-ia hendak turut-serta. Tapi katanya dia tiada duit. Timbul rasa kasihan di hati saya lalu bersetuju bayarkan yuran kursus untuknya. Mimah gembira bukan kepalang. Dia ambil cuti 4 hari.

Selain aktiviti experential, ada acara solat malam beramai-ramai. Ustaz yang membimbing solat hajat berpesan - berdoa dan mohon apa-apa dihajati ketika sujud di rakaat akhir. Mintalah apa-apa pun, kata Ustaz. Ketika solat itulah saya terdengar Mimah berdoa dalam sujudnya.

“Ya Allah, tolonglah aku. Hidup aku susah sangat. Aku nak buat bisnes tapi tak ada modal. Aku nak ubah nasib. Tolonglah aku. Tapa tak boleh harap, asyik pergi dangdut. Anak-anak aku dah besar, nak pakai belanja banyak. Mana aku nak cari duit?? Ya Allah, tolonglah aku. Lembutkan hati Kak Lela, biar dia setuju pinjamkan aku duit. Amin.”

Mimah berdoa dalam Bahasa Melayu! Berkali-kali diulang doa itu berselang-seli dengan esakan tangis. Di malam penuh syahdu itu, saya tidak kusyuk bersolat di sebelahnya. Tidak pernah saya dengar orang berdoa dalam solat, bercakap dalam Bahasa Melayu. Kasihan Mimah, dia tidak tahu dalam solat tidak boleh bercakap!

Balik daripada kursus itu bertambah tebal rasa kasihan saya terhadap Mimah. Kenangkan dia beria-ia mahu perbaiki masa depan keluarganya, saya tidak tergamak putihkan matanya. Mimah cuma perlukan RM10 ribu sebagai modal.

Dia mahu dirikan bengkel kecil dan beli mesin-mesin asas seperti sliding moving cutter, bench drill, rotary hammer, air compressor dan lain-lain peralatan kecil. Untuk modal pusing, dia boleh gunakan wang deposit tempahan yang di terimanya daripada pelanggan. Beria-ia Mimah memujuk saya. Hati saya bagaikan kerak nasi yang direndam.

Saya mengambil keputusan membantu Mimah dan bersetuju jadi rakan kongsinya. Bisnes kami diberi nama “Murni Furniture” dan pemilikan saham dibahagi sama rata. Mimah 50%, saya 50%. Mengikut perjanjian, Mimah bertanggungjawab mencari pelanggan dan membuat perabot. Saya mengurus akaun dan kewangan selain keluarkan modal RM10 ribu itu.

Untuk jimatkan kos, kami bersetuju hanya kerja-kerja bertukang perabot dibayar upah. Tugas-tugas lain tidak bergaji. Saya tidak kisah kerana yang memerlukan wang ialah Mimah. Biarlah dia dapat menambah pendapatan melalui kerja-kerja bertukang yang dilakukan setiap malam.

Kami juga bersetuju, modal asas sebanyak RM10 ribu yang saya pinjamkan itu akan dibayar balik secara berperingkat sehingga selesai. Keuntungan bersih akan dibahagi sama rata pada hujung tahun, InsyaAllah.

6 bulan pertama, bisnes part-time itu berjalan lancar. Setiap petang saya singgah ke bengkelnya untuk melihat Mimah bekerja. Mulanya dia bertukang seorang diri. Apabila tempahan banyak, dia mengambil seorang pembantu sambilan.

Mimah pandai berjimat-cermat, kayu sebesar 3 ke 4 inci tidak terbuang, malah semua digunakan sepenuhnya di mana perlu. Jualan Murni Furniture meningkat daripada RM3 ribu ke RM5 ribu sebulan, kemudin melonjak antara RM10 ribu ke RM15 ribu.

Selain menempah perabot baru, pelanggan menghantar perabot lama mereka untuk di baiki dan disapu cat varnish baru. Pendek kata Mimah tidak pernah putus kerja, ada saja aktivitinya.

Menjelang akhir 1997 apabila kegawatan ekonomi menimpa negara, jualan Murni Furniture tiba-tiba merosot teruk. Keadaan itu berlarutan sehingga 1998. Pada masa itu tiada orang dapat bonus, apa lagi naik gaji. Maklumlah zaman meleset. Semua orang berhati-hati dalam berbelanja. Akibatnya semua bisnes ketika itu suram dan sejuk. Jualan Murni Furniture menjunam rendah daripada biasa.

Kata Mimah, pelanggan hanya mahu dia baiki perabot-perabot lama mereka. Mimah minta izin supaya kerja kecil-kecil membaiki perabot tidak dikira sebagai hasil jualan Murni Furniture. Sebaliknya Mimah minta semua itu dianggap ‘duit kopi’ dia sebab amaunnya kecil. Saya bersetuju. Kasihan Mimah, dia asyik tidak cukup duit belanja untuk keluarganya.

Namun diluar pengetahuan saya, Mimah ambil kesempatan. Dapat tempahan baru pun dikiranya sebagai bisnes dia sendiri. Dia tidak masukkan ke buku tempahan Murni Furniture. Mula-mula saya tidak perasan tapi apabila kerja saya menjaga akaun, lambat laun dapat saya kesan aktivitinya melalui bil-bil pembelian bahan mentah.

Rupa-rupanya Mimah buat kira-kira sendiri. Semua tempahan baru yang dia kategorikan sebagai ‘kecik’ dikira jualan peribadi. Apabila saya bertanya hal itu, Mimah beri macam-macam alasan. Kononnya ibu saudara dialah yang menempah dan dia tidak sampai hati mahu ambil untung, jadi dikira jualan peribadinya. Dan entah apa-apa lagi alasan diberinya kepada saya.

Niat asal saya mahu membantu Mimah. Itu saja. Andai ada keuntungan, itu saya anggap sebagai bonus. Bukan matlamat utama saya mencari untung besar melalui Murni Furniture. Tapi apabila Mimah main sorok-sorok tempahan, hati saya mula tidak sedap. Rakan kongsi saya sudah pandai bersikap tidak telus. Setiap kali ditegur, Mimah tunjuk reaksi kurang senang.

Saya menyampah menghadapi situasi begitu. Pantang nenek moyang saya orang bersikap tidak jujur. Mahu tutup sebelah mata, hati saya tidak setuju. Kepercayaan saya terhadapnya mula luntur. Mimah tidak sepatutnya bertindak begitu terhadap orang yang membantunya. Untuk elakkan perselisihan faham, saya ambil keputusan menarik diri. Saya beritahu Mimah lebih baik dia berniaga seorang diri.

Tentang modal saya sebanyak RM10 ribu itu, kami bersetuju keluarkan wang di bank Murni Furniture sebanyak RM4 ribu sebagai sebahagian bayaran balik hutang kepada saya. Untuk baki sebanyak RM6 ribu lagi, Mimah minta tempoh untuk membayarnya secara ansuran. Dia cadangkan bayaran bulanan antara RM300 ke RM500. Kami berpecah kongsi secara baik dan saling bermaaf-maafan antara satu sama lain.

10 tahun berlalu, baki hutang daripada jumlah asal RM6 ribu itu masih belum dilangsai. Mimah beri bermacam alasan untuk bertangguh. Kononnya dia belum dapat duit daripada pelanggan, dia tidak ada tempahan baru dan entah apa-apa lagi.

Yang saya tahu Mimah sudah bertukar kereta beberapa kali. Daripada Mazda buruk, dia memandu Proton Wira, kemudian bertukar Proton Waja, CRV dan kini Odessey. Apabila saya melefon bertanya bila dia mahu buat bayaran ansurannya, Mimah beri alasan Tapa baru kena tangkap di kelab dangdut dan dia berhabis ribuan RM menebus suaminya itu.

Selang sebulan kemudian Mimah datang menghantar RM500 dan selepas itu senyap semula. Apaila saya telefon lagi, Mimah kata anaknya pula ditangkap basah, kena bernikah dan dia perlukan duit. Boleh dikatakan setiap kali saya telefon tidak pernah Mimah kata ada duit. Pernah suatu ketika Mimah bertanya saya…

“Apasal Akak ni? Kalau telefon saya tak ada cakap hal lain, asyik nak tanya pasal hutang. Akak dah tak ada duit lagi ke? Bisnes Akak okey ke tak?”

Soalan Mimah itu buat telinga saya berdesing.

“Jangan risaulah, Kak. Nanti saya bayar hutang Akak. Percayalah cakap saya. Kalau saya tak bayar, Tuhan turunkan bala. Demi Allah, Kak, kalau saya bohong, saya kena bala,” kata Mimah.

“Jangan cakap ikut sedap mulut, nanti badan kau yang binasa, “ saya ingatkan Mimah.

Mimah ketawa berdekah-dekah apabila saya menegurnya. Baru-baru ini saya lewati kawasan kampong Mimah. Sudah lama saya tidak ke sana. Yang buat saya terkejut beruk ialah keadaan rumah Mimah. Bukan lagi rumah papan separuh batu yang terdiri di tapak asalnya, tetapi kini tersergam indah sebuah rumah banglo.

Saya turun untuk singgah. Mimah menyambut saya dengan ramah-mesra dan dengan penuh bangga membawa saya masuk ke rumah barunya itu. Ruang tamu Mimah tampak sarat dengan perhiasan perabot kayu jati yang berkerawang dan bergantungan langsir berpaten scallop dengan lace benang emas.

“Tengoklah rumah saya, Kak. Hai, inilah hasil susah payah saya. Dah puas saya hidup susah. Akhirnya Tuhan beri juga saya senang,” Mimah berceloteh dengan ramah tamah sambil menyajikan saya minuman.

“Bengkel yang dulu tu, saya dah robohkan. Saya dah buat bengkel baru kat belakang sana tu. Marilah tengok bengkel baru saya,” Mimah menarik tangan saya.

Kami keluar menuju bangunan separuh batu di sebelah rumahnya. Memang sudah berubah corak hidup Mimah. Sudah banyak benar perubahan di sekeliling dirinya. Malah sudah layak pun dia bergelar tauke dengan berumah dan berkereta besar itu. Mimah ketawa riang-ria sambil mengakui orang-orang kampungnya sekarang memanggil dia ‘Mimah Tauke Perabot’.

“Terima kasihlah sebab Akak yang mula-mula tolong saya. Saya tak akan lupa budi baik Akak. Sampai mati pun saya ingat,” Mimah memeluk-meluk bahu saya.

Baru-baru ini apabila saya telefon dia lagi, Mimah kata dia sedang kesusahan kerana turun naik mahkamah syariah. Dia sedang mohon bercerai. Kononnya Tapa minta Mimah bayar entah berapa ribu RM sebelum bersetuju lafazkan talak. Mimah terus mengukir janji yang dia akan membayar hutang berbaki RM3 ribu itu pada bulan berikutnya. Wallahualam.

Saya sudah bosan menelefon Mimah. Menagih hutang dengannya macam minta sedekah. Sudah jenuh saya menelefon tapi janjinya hanya tinggal janji. Akhirnya saya ambil keputusan, andainya Mimah rasa mahu bayar, bayarlah. Jika tidak, tidaklah.

Saya tidak sekali-kali berhajat menghalalkan hutang itu. Demi Allah, sesen pun tidak akan saya halalkan selagi dia mampu membayar hutang itu. Andai dia sudah tidak mampu, lainlah cerita. Mungkin terpaksa saya halalkan juga. Mudah-mudahan Mimah tidak ditimpakan bala oleh Allah S. W. T. seperti yang pernah dimintanya sendiri.

Kata orang, buat baik berpada-pada. Berbuat jahat jangan sekali. Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian, no use! Orang yang lembut hati macam saya ini kena banyak beringat supaya tidak terkena lagi. Hajat di hati mahu cari pahala, tapi yang dapat mungkin dosa saja.

Kata orang, sekali terkena dua kali beringat. Namun saya sudah berkali-kali terkena baru kini mahu beringat. Kesimpulannya, lebih ramai orang yang kaki kapur apabila meminjam wang dan akhirnya rela memutuskan silaturrahim… Wallahualam.

14 comments:

  1. "...Demi Allah, sesen pun tidak akan saya halalkan, selagi dia mampu membayar hutang itu.."

    takut-takut, roh perabut si Mimah yang tak naik ke langit!

    ...sekadar senggol-senggol aje!

    ReplyDelete
  2. Tuan Sabtu,
    Sebenarnya betulkah tindakan saya itu? Harap dapat berikan nasihat. Kekadang saya ini ikut perasaan...

    ReplyDelete
  3. Selagi niat kerana Allah,
    kita kembalikan semula kepadaNya!

    Sedangkan Nabi kita pun tidak upaya merobah hati bapa saudara yang banyak membantu misi dakwah di episod Makkah, apatah lagi kita ini!

    Nabi juga berpesan, sebaik-baik umatku adalah yang sanggup memaafkan (termasuk menghalalkannya?...) kejahatan musuhnya. Kerja itu senang, tetapi susah diamalkan!

    Cerdik pandai kan pernah berkata: "Hendak senang (di dunia dan juga akhirat) bukannya senang; hendak susah pun bukannya susah!"

    Hanya Allah Maha Mengetahui.

    ReplyDelete
  4. Lela, dengan pertolongan Lela itu ramai yang dapat dibantu termasuk anak2 si Mimah. Lela ikhlas tolong dia. Apa-apa yang berlaku biarlah Mimah saja yang menjawab padaNya. Biarkan proses penghakiman diri kita di sana tidak tersangkut dengan orang lain. Hanya Allah yang Mengetahui.

    ReplyDelete
  5. Memang ramai yg berpelakuan macam ni...masa susah..sujud merayu, bila senang..lupa segala! BTW, tiada apa yang peliknya...semoga segala kebaikan yang pernah dicurahkan ..akan Allah gandakan..mungkin dengan cara yang berbeza...contohnya..rasa bahagia..yang mungkin tiada pada org lain!

    ReplyDelete
  6. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  7. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  8. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  9. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  10. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  11. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  12. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  13. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  14. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete