Hari Isnin, saya sibuk memasak sejak pagi. Menjelang 1.00 tengahari, saya hubungi Bibah, bertanya bila dia hendak datang. Kata Bibah, dalam tempoh ½ jam dia akan sampai. Sambil menunggu Bibah, saya menyediakan meja makan. Namun sejurus kemudian, Bibah menelefon saya, suaranya terketar-ketar bercampur marah.
“Lela, I’m calling it off. Aku tak mahu jumpa lelaki tua itu!!!”
Saya terkejut mendengar Bibah tiba-tiba naik angin.
“Baru sekejap tadi Zaman hantar aku SMS. Dia tulis mesej ini… “xxxxxxxxxxxxxxxxxxx?” suara Bibah nyaring bernada geram.
“Bukan itu saja, dia tulis lagi mesej ini… “xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx? Hei, kenapa dengan orang tua itu, hah???” jerit Bibah di corong telefon.
Untuk sesaat-dua saya tergamam. “Dia dah gila ke???” tanya saya.
“Dia ingat aku ni siapa? Perempuan tepi jalan???” Bibah melepaskan geram.
“Bib, sorry, Bib. Aku tak tahu nak cakap apa. Aku tak sangka Zaman buat macam ini.”
Saya minta Bibah forwardkan mesej Zaman itu, tetapi malang, Bibah sudah memadamnya. Katanya dia terlalu geram dan terus mendelete mesej Zaman itu.
“Kau pasti mesej tu daripada Zaman?” tanya saya lagi.
“Ya, Lela. Nombor handset dia yang keluar pada skrin,” jawab Bibah.
Sebaik saja Bibah meletak telefon, saya hubungi Zainal yang dalam perjalanan pulang daripada pejabat. Saya ceritakan semuanya, dari A hingga Z. Zainal suruh saya bertenang dan jangan buat tuduhan melulu terhadap Zaman. Katanya isu itu perlu diselidiki dahulu. Sejurus kemudian Zainal sampai ke rumah, diikuti teksi yang dinaiki Zaman dari KL.
Melihat kami berdua di depan rumah, lelaki India itu tersenyum lebar sambil beri salam. Walau pun sakit hati mengenangkan mesejnya kepada Bibah, saya mempelawa dia masuk. Zaman segak berbaju kemeja lengan panjang warna biru dan berseluar slack rona gelap. Dia hulurkan sebuah kotak hadiah kepada saya.
“I bought this for you and Zainal,” kata Zaman. “And this one is for Habibah.”
Zaman keluarkan sekotak hadiah lagi dan memberinya kepada saya.
“Look at it, Laila. Is it okay?”
Zaman sudah menulis sesuatu di atas kotak hadiah yang ditujukan kepada Bibah itu… “To Habibah. With love and friendship that never sink. From K. Zaman.”
Hadiah itu cantik, berupa sebuah jam meja diperbuat daripada kaca dan bertulis petikan ayat-ayat suci Al-Qur’an. Saya mencuri pandang wajah Zaman. Betul-betul dia buat saya keliru. Melihat gelagatnya ketika itu, memang tidak masuk akal untuk menuduh dia menghantar mesej tidak senonoh kepada Bibah.
Saya beredar ke dapur. Sambil menyediakan minuman, saya memasang telinga… mencuri dengar perbualan antara Zainal dan Zaman.
“Where’s your girlfriend?” tanya Zainal.
“Well, I’m supposed to ask you. Where is she?” jawab Zaman kehairanan.
“I heard she’s not coming today because of the SMS. She said it’s dirty,” kata Zainal.
“What SMS? I don’t send her any message today,” jawab Zaman.
“I don’t know. I thought you’re supposed to know,” kata Zainal.
Tiba-tiba saya dengar suara Zaman memanggil nama saya…
“Laila, what SMS is Zainal talking about? Come here, Laila. Please don’t hide in the kitchen!”
Saya keluar daripada dapur dengan senyuman kelat. Dengan berhati-hati saya bertanya kenapa dia hantar SMS seperti itu kepada Bibah. Zaman menafikan sekeras-kerasnya. Dia minta saya hubungi Bibah untuk bertanyakan hal itu. Saya ikut saja arahannya macam orang suruhan.
“I didn’t do it. I’m not a ruffian, my dear lady. Please forward the message to me,” kata Zaman sebaik saja dapat bercakap dengan Bibah.
Bila dapat tahu mesej itu sudah terdelete, bertambah berapi-apilah kemarahan Zaman.
“How could you accuse me without evidence?”
Saya dan Zainal terpinga-pinga melihat Zaman semakin naik angin dan menengking Bibah. Zaman marah dituduh yang bukan-bukan oleh Bibah. Dia pula menuduh Bibah sengaja mengada-adakan SMS itu kerana mahu mengelak berjumpa dengannya. Katanya dia sungguh malu dengan saya dan Zainal.
“Laila, for one second, did you believe I was that kind of person?” tanya Zaman berkali-kali.
Saya menggeleng. Entahlah. Kalau bukan Zaman yang menghantar SMS itu, masakan Bibah sengaja membuat-buat cerita? Selama saya mengenali Bibah, dia tidak pernah memfitnah sesiapa. Bibah yang saya kenal bukan begitu sikapnya. Dikerat jari sepuluh pun saya tidak akan percaya. Zaman ternyata kesal apabila saya mempertahankan Bibah.
“Look at her, Zainal. Laila is on Bibah’s side,” rungut Zaman.
Untuk redakan keadaan, Zainal cadangkan kami makan dahulu. Saya sajikan hidangan. Selepas makan, kami solat zohor berjemaah. Kemudian Zaman minta saya hubungi Bibah semula.
“Laila, can you please call her for me? I’m really upset about this. I have to talk to her again,” kata Zaman.
“I’ll call only if you promise not fight with her,” jawab saya tegas.
Zaman berjanji untuk bercakap lembut dengan Bibah dan saya mendailkan nombor telefon. Sebaik menyambut panggilan saya, Bibah menyatakan kesal kerana bertengkar dengan Zaman. Saya beritahu dia Zaman hendak bercakap dan minta Bibah bertenang. Saya hulurkan gagang telefon kepada Zaman.
Mula-mula suara lelaki itu perlahan saja, kemudian semakin meninggi. Selang beberapa minit Zaman mula bertikam lidah dengan Bibah. Saling tuduh-menuduh. Zaman bertegang-tegang leher menafikan dia menghantar SMS berbau lucah itu.
“Kita jangan campur, nanti tambah kalut. Biarkan dia orang berdua selesaikan sendiri,” kata Zainal. Dia menarik tangan saya supaya duduk bersamanya di sofa.
Suara Zaman berdegar-degar di telefon. Dia dan Bibah bagaikan musuh ketat.
“She’s still not finished with me. That cranky lady won’t listen to my explaination,” Zaman mengeluh.
“I told her I’m a foreigner. I’m here to do business, not to look for trouble. I’m glad I don’t have to see her dirty face today and forever,” kata Zaman sambil menggeleng kepala.
Ada benarnya kata-kata Zaman itu. Apa guna dia cari masalah dengan Bibah sedangkan dia orang asing di Malaysia. Tapi, masakan Bibah berdusta??? Saya dan Zainal tambah keliru. Zaman benar-benar sedih.
Sambil mengusap-usap dahinya, dia bercerita tentang anak-anak buahnya di India. Kata Zaman, mereka memanggil dia ‘Mamak’ yang bermaksud Pakcik. Anak-anak buahnya itu selalu bertanya dia tentang bakal ‘Mammi’ atau Makcik mereka.
“And just last week, I told them their ‘Mammi’ is coming soon,” kata Zaman.
Di wajahnya jelas terbayang rasa kecewa. Zaman mengambil bungkusan hadiah yang dibawanya untuk Bibah lalu bertanya kepada saya, apa perlu dibuatnya dengan benda itu. Mulanya dia mahu membuangnya tapi setelah berfikir sejenak, dia meminta saya berikan juga hadiah itu kepada Bibah.
Selepas solat asar, Zaman meminta diri untuk balik ke KL. Kami menghantarnya ke perhentian teksi. Sedih saya melihat Zaman pulang dengan perasaan hampa. Sedih juga hati saya terkenangkan Bibah yang merasa terhina diaibkan.
Pesan saya kepada anda, berhati-hatilah apabila diminta mencarikan jodoh untuk kawan, saudara-mara atau sesiapa jua. Usahlah terlalu ghairah hendak membantu dalam soal berisiko tinggi ini. Tersilap haribulan, kita mungkin kehilangan kawan karib atau terputus silaturrahim dengan mereka yang ingin kita tolong itu.
Sehingga kini SMS yang diterima Bibah itu masih diselubungi misteri. Entah siapa diantara mereka berdua yang bercakap benar dan entah siapa yang berdusta. Hanya Allah s.w.t. jua yang Maha Mengetahui. Yang pasti, Zaman sudah dikelentong hidup-hidup oleh komputer ‘Tajul Muluk’nya!!!
No comments:
Post a Comment