Kamarulzaman berasal dari Chennai, India. Dia seorang businessman. Kami bertemu pertama kali di Yangon, Myanmar ketika menyertai Malaysian Product Exhibition tahun 1996 dahulu. Ketika itu Zaman berusia 40an dan asyik berseloroh minta saya carikan dia calon isteri. Katanya dia mahu berkahwin dengan wanita Malaysia.
Pulang daripada pameran anjuran MATRADE itu, Zaman masih hubungi kami. Dia kirim poskad dan menelefon Zainal ketika singgah di KL atas urusan bisnes. Tahun lalu pada 17 Oktober, Zaman hubungi Zainal lagi. Dia hendak datang ke rumah kami. Katanya sudah biasa ke KL dan Penang, jadi tiada masaalah ke Bukit Beruang.
Pada hari dijanjikan tepat 4.00 petang sebuah teksi masuk ke halaman rumah. Zaman tampak lebih berusia (50an) tapi masih peramah dan ceria. Dia memakai sut bush jacket. Gayanya formal macam hendak ke mesyuarat penting. Sebaik keluar daripada teksi dia beri salam dan memeluk Zainal. Sudah lama tidak bersua-muka, gembira benar apabila berjumpa. Sambil melangkah ke ruang tamu, Zaman menegur saya.
“Laila, how are you? Have you found someone for me?”
“You mean you’re still single?” tanya saya.
“Yes, my dear,” jawab Zaman, kepalanya tergeleng-geleng.
“It’s been so long, Zaman. I've forgotten about it. Aren’t you old enough to look for the lady yourself?” saya ketawa dan terus duduk di sofa bersama mereka.
“I’m an aged person now. I don’t know how to do it anymore. I need help!” jawab Zaman dengan ketawa besar.
Saya minta diri untuk sediakan minuman. Zainal melayan Zaman berbual. Apabila saya timbul semula dengan minuman sejuk, perbualan berubah tajuk. Zaman bercerita tentang dirinya. Dulu pernah berkahwin 10 tahun tapi bercerai. Konon bekas isterinya mandul. Selepas bercerai dia berkenalan dengan wanita Oman. Ketika itu dia ada urusan bisnes di sana. Wanita Oman itu berusia 30an, janda dan ada dua orang anak perempuan kecil.
“We almost got married,” kata Zaman. “But her family asked me a very high mahar. Then we broke off.”
Selepas itu Zaman tidak bertemu sesiapa lagi. “I wish I had a wife who’s caring and who’d love me truly,” keluh Zaman.
Tersentuh hati saya mendengar luahan hati lelaki India itu. Katanya dia teringin mempunyai keluarga sendiri.
“Can you help me, Laila?” tanya Zaman. “I’m serious about this. I really want to settle down.”
“If you insist, I’ll try to help but no promises.”
Saya minta diri untuk solat asar. Selepas solat, saya duduk lagi di atas sejadah. Ligat kepala memikirkan siapa calon yang saya boleh carikan untuk Zaman. Tiba-tiba saya teringat Bibah. Bukankah dia masih solo? Umurnya sebaya dengan saya tetapi belum berumahtangga.
Saya cuba padankan Zaman dengan Bibah. Mereka macam pinang di belah dua. Zaman tingginya sederhana, tidak gemok, berkulit cerah dan berambut ikal. Bibah ada iras-iras anak ‘mami’, manis dan comel. Mereka cocok sekali!
Di ruang tamu, Zaman bercerita tentang bisnesnya berkaitan ekspot garam, cokelat, gula-gula, minyak sapi, silica dan entah apa lagi dari India ke Oman dan Malaysia. Di atas meja kopi, berselerak brosiur berbagai produk dan senarai harganya. Sambil dudk di sofa saya mencongak bagaimana hendak sampaikan hal itu kepada Zaman.
“I’ve just thought of someone, a close friend of mine,” saya memulakan bicara.
“You mean, you’ve found someone for me???” muka Zaman bertukar ceria.
“I thought of her after performing my solat,” kata saya.
Lelaki itu teramat gembira. Katanya mendapat ilham selepas solat satu petanda baik.
“How old is this Habibah? Do you know her birth date?” tanya Zaman.
“I can ask her if you really want to know,” jawab saya.
“O please, Laila. Please find out for me.”
Saya mencapai telefon bimbit dan mendail nombor Bibah. Ketika itu dia berada di Kuantan, sedang bercuti bersama keluarganya.
“Apa hal, sayang?” suara Bibah ceria menjawab panggilan saya.
“Birth date kau bila, Bib?” tanya saya tanpa berlengah.
“Kenapa??? Kau nak belikan aku kek???” tanya Bibah dengan ketawa menggeletek.
“Cakaplah cepat. Bila hari jadi kau, Bib?” saya mendesak lagi.
“Apa hal kau nak tahu ni??? Beritahu aku dulu, apa hal???”
Saya memandang Zaman. “Can I tell her about you?” tanya saya.
Zaman menyeringai sambil laju mengangguk. Saya pun ceritalah dengan Bibah secara ringkas.
“Ada seorang ‘Pak Nana’ nak kenal dengan engkau, Bib, “ saya pecahkan rahsia.
Bibah riuh ketawa. Dia bertanya lebih lanjut tapi saya katakan akan beritahu semua itu kemudian. Bibah maklumkan tarikh hari lahirnya. Sebaik saja dapat tahu tarikh itu, Zaman segera keluarkan komputer kecil bersaiz tapak tangan daripada brief casenya. Alat itu kelihatan seperti calculator. Zaman menekan-nekan butang alat itu.
“Apa hal pulak dia sibuk mengira tu?” saya menjongket kening kepada Zainal.
“Dia kira duit agaknya,” jawab Zainal selamba.
Kami ketawa melihat gelagat Zaman. Sejurus kemudian lelaki itu tersenyum meleret…
“It says here, Habibah and I can get along very well. Let’s give it a try!”
Menurut Zaman, komputer kecil itu boleh menilik nasib. Apabila dia masukkan data tarikh lahir Bibah, komputer itu terus buat perkiraan dan berikan jawapan bahawa mereka berdua sesuai lagi serasi. Komputer ‘Tajul Muluk’ rupanya! Saya dan Zainal geleng kepala. Tidak sangka pula Zaman percayakan hal karut-marut begitu.
Sejak mengetahui tentang Bibah, Zaman bertanya berbagai soalan, tentang rupa parasnya, personaliti dan macam-macam lagi. Saya ceritakan serba sedikit. Bahawa Habibah itu seorang pensyarah universiti. Kami sama-sama belajar di UiTM lebih 20 tahun dulu. Dia berasal dari Kuantan, kini mengajar di Melaka. Saya juga beritahu Bibah baik hati, penyayang, peramah, mudah mesra dan kelakar. Setelah bercerita panjang lebar, saya hulurkan kad nama Bibah.
“Look here, Laila. Her qualifications are longer than her name! She must be a very smart lady,” kata Zaman.
Dia tampak berminat sangat hendak berkenalan dengan Bibah. Lalu diberi kepada saya sekeping gambarinya bersaiz passport yang dikeluarkan daripada dompet.
“Please give this photo to her,” kata Zaman,
Selain gambar, dia hulurkan kad nama serta mencatit 4 alamat e-mail dibelakang kad itu.
“Laila, please tell her to contact me,” kata Zaman tersenyum simpul.
“What? You should make the first move, not her,” jawab saya.
“No, no, Laila, please help me. I don’t know how to do it anymore,” Zaman merayu.
Gelagat malu-malu kucing Zaman mencuit hati kami. Saya dan Zainal ambil peluang mengusiknya. Lelaki itu tersipu-sipu. Selepas solat maghrib, Zaman minta diri untuk pulang. Kami makan malam di sebuah restoran berdekatan stesen bas Melaka Sentral, kemudian menghantarnya ke tempat mengambil teksi untuk balik ke KL.
Keesokan harinya saya menelefon Bibah. Saya beritahu dia serba-serbi tentang Zaman dan hajatnya hendak mencari isteri. Kata Bibah, kalau kena orangnya, why not? Manalah tahu, ada jodoh. Atas permintaan Bibah, hari itu juga saya kirimkan gambar dan kad nama Zaman ke Kuantan dengan pos laju. Doa saya mudahan usaha memperkenalkan Zaman dan Bibah menjadi dan berakhir dengan perkahwinan. InsyaAllah.
Sebaik menerima kiriman saya, Bibah buat panggilan. Dia kata Zaman itu not bad, ada rupalah juga. Tapi katanya, dia malu hendak telefon Zaman, terasa macam perigi mencari timba. Pening kepala saya. Zaman kata dia malu hendak mulakan langkah pertama. Bibah pun kata dia malu. Habis, kalau kedua belah pihak malu, macam mana hendak berkenalan?
Puas saya memujuk Bibah. Akhirnya dia bersetuju hantar SMS kepada Zaman. Selang beberapa hari, Zaman menghubungi saya. Katanya Bibah sudah kirim mesej dan mereka sudah berbalas-balas SMS. Kata Zaman dia mahu mohon lanjut tempoh visanya selama sebulan.
Dia mahu berjumpa Bibah dan meminta saya aturkan pertemuan mereka di rumah kami pada hari Isnin, minggu berikutnya. Tidak cukup dengan menghubungi saya, Zaman menelefon Zainal, menyatakan hasrat itu. Belum pun sempat berita baik itu saya sampaikan kepada Bibah, dia terlebih dahulu menelefon saya.
“Zaman nak jumpa aku,” Bibah yang sudah pulang ke Melaka memulakan cerita.
“Aku pun nak jumpa dia, tapi kau tahu, syarat basic pun dia tak lepas, macam mana nak jumpa aku. Aku tertekanlah,” Bibah mengadu. Saya biarkan Bibah bercerita.
“Aku tanya Zaman pasal lesen memandu. Dia kata tak pernah ambil lesen sebab dia fobia bawa kereta. Ini yang leceh. Aku nak cari suami yang boleh memandu. Nanti kami nak balik Kuantan, senanglah, ” cerita Bibah.
“Aku tanya Zaman lagi, dia cukup tak solat 5 waktu, ada baca Al-Quran ke tidak, ada hafal surah-surah? Kau nak tau apa dia jawab?” tanya Bibah.
“Hah, apa dia kata?” saya teringin mahu tahu.
“Dia kata solat 5 waktu ada buat. Baca Al-Quran kekadang saja. Dan dia hafal 15 surah, itu pun surah-surah pendek,” Bibah membebel.
“Habis kau nak dia hafal berapa surah?” tanya saya.
“Eh, sekurang-kurangnya pun 40. Aku kalau kahwin, aku nak suami yang boleh bimbing aku dalam bab-bab ugama. Susahlah kalau aku yang nak kena bimbing dia,” tambah Bibah.
“Habis, macam mana? Dia kata nak jumpa kau minggu depan,” kata saya.
“Ya, dia cakap nak jumpa aku hari Isnin nanti. Lepas tu, dia nak jumpa mak bapak aku. Apa pasal dia nak cepat sangat???” Bibah merungut.
“Kau fikirlah baik-baik,” saya memujuk Bibah.
“Aku bingunglah. Nak terima ke nak tolak date dengan Zaman ni?” kata Bibah.
“Dia nak ajak kau lunch di rumah aku, bukan kat luar. Kalau kau setuju, beritahulah. Nanti aku masak sedap-sedap. Relakslah, Bib. Kau jangan stress,” saya memujuk Bibah.
“Zaman tu kuat mendesak. Semuanya mahu cepat,” bebel Bibah.
Selang beberapa hari, Zaman pula hubungi saya. Dia kedengaran tidak ceria.
“Laila, Habibah is finding excuses not to see me,” rungutnya.
“Are you pushing her? Zaman, please be patient.”
Saya nasihati Zaman supaya bersabar. Kalau dia asyik mendesak nanti Bibah tidak mahu jumpa dia langsung. Zaman kata Bibah cakap berdolak-dalik. Sekejap mahu jumpa, lepas itu tukar fikiran. Saya beritahu Zaman, Bibah perlukan masa untuk berfikir. Walau pun sudah berusia, Bibah pemalu. Akhirnya Zaman bersetuju dengar cakap saya.
Ahad petang, Zaman menelefon saya lagi. Katanya Bibah sudah beri persetujuan dan meminta saya sediakan jamuan tengahari keesokkan harinya. Kata Zaman dia lebih selesa bertemu Bibah di rumah kami. Bibah yang pada mulanya segan dengan Zainal, akhirnya berkata ‘ok’.
Dipendekkan cerita, saya dan Zainal segeralah ke pantai Klebang membeli ikan, udang dan lain-lain untuk persediaan jamuan kecil meraikan pertemuan Zaman dan Bibah. (Bersambung esok, insyaAllah).
No comments:
Post a Comment