Tuesday, September 11, 2007

Forgive & Forget

Saya ingin mengajak anda merenungi 2 potong kata-kata hikmah yang pernah tersiar di akhbar harian. Yang pertama berbunyi begini…

“Lebih baik anda lupakan sahaja dan bergembira
daripada anda mengingati dan berduka.”
- Christina Georgina Rossetti

Apa pendapat anda? Bagi saya nasihat itu baik sekali diamalkan dalam kehidupan ini. Tiada gunanya terus mengenang kisah-kisah lalu yang melukakan perasaan. Sebaliknya elok kita berikan maaf kepada pihak berkenaan, kemudian lupakan terus hal-hal itu daripada ingatan.

Kata orang, memberi maaf itu satu ubat yang mujarab, bukan kepada si pelaku kesalahan tetapi kepada hati kita sendiri. Selagi kita menyimpan dendam, selagi itulah jiwa tersiksa. Ibarat memikul beban yang berat dan menyeretnya ke mana-mana kita pergi.

Memberi maaf tidak semestinya dengan pengetahuan si pelaku kesalahan itu. Memadailah memaafkan dia dalam hati kita. Dengan bersikap begini, kebahagiaan dan keceriaan akan selalu berdamping dengan kita. InsyaAllah. Seterusnya, mari kita renungi kata-kata hikmah berikut…

“Maasalahnya, semua orang berangan-angan hendak mengubah dunia
tetapi tidak ada seorang pun yang berangan-angan untuk mengubah diri sendiri.”
- Leo Tolstoy

Hendak mengubah diri sendiri bukanlah perkara mudah, apa tah lagi hendak mengubah orang lain. Dalam soal mengubah diri, kita perlu lakukannya sepanjang hayat. Mungkin pada suatu ketika kita berpegang kuat pada suatu nilai yang dirasa amat baik. Kemudian dengan perubahan masa, kita dapati nilai itu membawa mudarat. Apa perlu dibuat ialah mengubah diri. Jangan terus pertahankan sesuatu yang terbukti tidak boleh dipakai lagi.

Dalam kehidupan masa kini bukan semua orang pandai mengenang budi. Malah ramai yang termasuk dalam kategori diberi betis, hendak peha. Apabila sudah dapat peha, hendak pijak kepala pula. Begitulah ragam manusia.

Daripada merungut, mengeluh dan bersedih diri kita menjadi mangsa, lebih baik mengubah sikap sendiri. Jangan suka salahkan orang bulat-bulat. Kekadang kita pun ada memain peranan dalam menjadikan diri kita sebagai mangsa. Contohnya, apabila kita menolong orang yang tidak kena pada tempatnya.

Hidup di dunia ini hanya sementara. Suatu hari nanti, sama ada mahu atau tidak, hidup kita akan berakhir. Oleh itu nikmatilah hari-hari yang masih ada dengan hati tenang dan ceria. Berusahalah mencari ketenangan dan kebahagiaan kerana ia berada di mana-mana.

Hargai apa yang kita ada selagi masih memilikinya. Nikmatilah kehidupan singkat yang dianugerahkan Allah kepada kita.

Akhirkata, selamat menyambut Ramadhan Al Mubarak!

2 comments:

  1. Assalamualaikum Pn Lela,
    Saya setuju dengan kedua-dua pepatah itu,masa saya berumur 30 tahun ,pemikiran saya tidak sama dengan pemikiran 40 tahun.Dulu saya bertegas dgn pendapat saya walau dibantah oleh isteri,sekarang saya boleh terima pelbagai pendapat dan bila bersifat lebih terbuka...lebih banyak "pemahaman" yang masuk.Memaafkan dan melupakan juga ubat hati yang mujarab..sukar tetapi menenangkan.Jumpa lagi.

    ReplyDelete
  2. 'Alaikum salam EF,
    Seiring usia yang bertambah, kita jadi matang. InsyaAllah apabila bersifat lebih terbuka dan fleksibel, hidup kita tambah ceria dan bermakna.

    ReplyDelete