Thursday, September 27, 2007

Hujan & Angin

Setelah dua kali jadual tertunda minggu lalu, pagi Rabu kami bertolak ke Ipoh. Ikut program kami akan singgah di MAB Subang dahulu. Selesai urusan di sana, barulah meneruskan perjalanan ke MAB Ipoh.

Sejak awal pagi itu perasaan saya rasa tidak enak. Entah apa yang tidak kena saya sendiri tidak tahu. Hati rasa berat hendak pergi. Namun saya kemaskan juga beg pakaian kerana kami akan bermalam di sana.

Hujan mulai turun sebaik saja kami melepasi tol Ayer Keroh. Zainal memandu di lorong tengah dengan kelajuan sekitar 90km/jam. Katanya jalan licin. Sekitar kawasan Pedas-Linggi, hujan semakin lebat dan pemandangan di hadapan agak kabur. Mata saya asyik memandang wiper yang ligat pergi balik di windscreen.

Ketika melalui satu kawasan berlopak air, tiba-tiba saja kereta kami berpusing dengan laju mengikut pusingan jam, sekali... dua kali... dan dalam sekelip mata kedudukan kereta sudah menghadap ke selatan...

Saya menjerit, "Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah! Brek, Bang, brekkk!!!"

"Sudah brek ni tapi tak boleh berhenti!!!" Zainal memaut steering.

Dalam beberapa saat belakang kereta menghentam guardrail dan kereta kami melantun ke kanan, menjadikan posisinya melintang di lorong kanan. Sebaik ia menghadap tepat ke guardrail enjin pun terhenti. Tatkala Zainal cuba menghidupkannya semula, kelihatan sebuah kereta meluncur laju ke arah kami...

"Lailahaillallah!!! Kita mati, Bang!!!" jerit saya.

"Bismillahi tawakkaltu 'alallah," ucap Zainal berkali-kali.

Fikiran saya melayang-layang. Pada detik itu hati kecil berbisik : di sini rupanya ajal kami akan berakhir... Tiba-tiba kereta yang menuju ke arah kami itu berhenti, hanya lebih kurang sedepa daripada pintu di sebelah Zainal.

Ketika itu baru saya dapat menoleh dan kelihatan sebuah kereta peronda polis sedang mengarahkan kereta-kereta lain menyusur ke lorong sebelah kiri. Zainal memusingkan kereta ke arah utara dan berhenti di lorong kecemasan. Kereta peronda polis yang menunda kami dari belakang kemudian berhenti di sisi.

"Encik tak ada apa-apa?" tanya pegawai polis itu.

Zainal memberitahu mereka kereta kami tiba-tiba terpusing tatkala melalui lopak air dan mengucapkan terima kasih kepada mereka. Kami bersyukur kepada Allah hanya bumper yang kemek dan lampu signal sebelah kiri pecah. Keadaan kereta keseluruhannya baik dan perjalanan dapat diteruskan.

Alum datang ke Heritage selepas kelasnya berakhir lewat petang itu. Perjalanannya dari Tronoh ke Ipoh mengambil masa hampir sejam. Kelibat buah hati saya itu hanya kelihatan di Polo Cafe menjelang jam 7:10 malam. Sambil kami berbuka puasa, saya memberitahunya, "Nyaris-nyaris Anak jadi anak yatim hari ni!!!"

Mengingat kembali peristiwa itu, amat terasa di hati saya betapa lemahnya kita sebagai manusia. Apa yang kita usahakan sehabis daya pun, tidak meninggalkan bekas, melainkan dengan izin Allah jua. Andai suratan ajalku sudah sampai Rabu lalu, tidak mungkin kita bertemu lagi di sini. Aduhai...

7 comments:

  1. Assalammualaikum
    Alhamdulillah. I am glad both of you are ok. Lela masih berdebar lagi sekarang?

    ReplyDelete
  2. Terima kasih, Mun. Ya, saya masih berdebar apabila fikirkan nyawa boleh melayang pada bila-bila masa. Itu satu peringatan buat kami, Mun. Allah masih sayang, oleh itu kena selalu ingat kepadaNya...

    ReplyDelete
  3. Syukur KN ve BN tak apa-apa, Syukur Alhamdulillah. Lopak air atas highway mmg membahayakan. KN ingat tempat Rasidi accident dlm perjalanan ke IKZ? Mehmet hampir kena di selekoh yg sama bila satu Harrier masuk lane dia utk potong satu lori. Oh Tuhan.. Mujur sempat elak dan terbabas ke tepi jalan. Kereta belakang pun ikut sama terbabas mengelakkan Harrier tu.

    Moga Allah selamatkan kita semua dari segala malapetaka, Amin..

    ReplyDelete
  4. assalammualaikum MN n PN..
    alhamdullillah,xjadi pe2 yang teruk..
    syukur..
    k take care..

    ReplyDelete
  5. Donut & Tweety, terima kasih. Sayang juga kamu pada KN/MN & BN/PN ya. Hmmm... petang tadi masa balik dari pejabat, kami menyanyi lagu ini... : Allah selamatkan kami! Allah selamatkan kami! Allah selamatkan Hj Bakhil dan mem dia, Allah selamatkan kami!!! Hehehe...

    ReplyDelete
  6. hehehe...klakarlah Lela dgn TZ ni...

    ReplyDelete
  7. Puan,
    Saya sendiri pernah mengalami perkara yang sama. Suspen. Bagaimanapun itulah kekuasaannya. Semuanya selamat.

    Syukur kerana puan dan Zainal selamat.

    Eh.. jemputlah datang majlis pelancaran buku saya. This is my personal invitation! Jika sudi, boleh bagi no kereta untuk reserve parking!

    ReplyDelete