Seorang wanita miskin sedang menjual berbagai jenis keju di pasar. Datang seekor kucing di gerai wanita itu lalu dicurinya seketul keju yang besar dan di bawa lari. Perbuatan kucing itu diperhatikan oleh seekor anjing lalu dikejarnya.
"Berikan saya keju itu," kata anjing sambil menyalak dengan kuat.
"Mana boleh, ini keju saya," jawab kucing dengan garang.
"Itu bukan keju kau. Aku nampak kau mencurinya di gerai wanita miskin. Berikan cepat, jangan degil! Berikan cepat," kata anjing dengan lagak samseng.
"Cubalah ambil kalau berani. Aku akan cakar mata kau," sergah kucing sambil menunjukkan kuku-kukunya yang panjang lagi tajam.
Anjing cuba merampas keju itu. Dia menyalak dan memarahi kucing. Kucing tidak mahu mengalah. Dia juga riuh memarahi anjing dan cuba mencakar mata lawannya. Setelah lama bergaduh masih juga tiada penyelesaian. Akhirnya kucing memberi cadangan.
"Kalau terus begini tiada kesudahan. Mari kita cari serigala. Biar dia jadi pengadil," kata kucing.
"Ok, aku setuju, biar dia jadi referee," jawab anjing.
Mereka pun pergi mencari serigala. Setelah mendengar cerita kedua belah pihak, serigala pun berdehem-dehem.
"Kamu berdua ini bodoh betul. Biar aku selesaikan hal ini. Kalau kamu berdua setuju, keju ini akan aku potong dua biar adil," kata serigala.
Anjing dan kucing bersetuju dengan cadangan itu. Serigala pun mengambil pisau lalu dipotong keju itu menjadi dua. Dengan sengaja dipotongnya sebelah kanan lebih besar daripada yang sebelah kiri.
"Kenapa bahagian dia besar? Bahagian saya pula lebih kecil, ini tidak adil," protes kucing.
"Ya tak ya, kenapa keju anjing lebih besar? Biar saya potong sedikit supaya jadi sama besar dengan keju kucing," jawab serigala.
Bahagian keju yang lebih itu dimakan oleh serigala.
"Hah, sekarang saya punya pula lebih kecil. Ini tidak adillah," sergah anjing.
"Hmmm... kalau begitu, biar saya potong bahagian kucing sedikit lagi supaya sama besar dengan kamu punya," jawab serigala.
Bahagian keju yang lebih itu dimakan dengan lahap oleh serigala.
"Sekarang sudah adil," kata serigala.
"Tidak, bahagian anjing lebih besar, saya punya kecil sedikit," protes kucing yang mula berang.
"Kalau begitu biar saya potong sedikit bahagian anjing supaya adil," jawab serigala sambil memakan keju yang lebih itu.
Begitulah terjadi berulang-ulang. Akhirnya habis semua keju tersebut dimakan oleh serigala di depan mata kepala kucing dan anjing. Itulah harga cemburu...
Kisah ini dipetik daripada buku '48 Laws Of Power' tulisan Robert Greene.
No comments:
Post a Comment