Tuesday, October 2, 2007

Insaf

Ibnu Samaa' diundang baginda Harun Al-Rasyid datang ke istananya di Baghdad. Baginda sudah merasa sangat sepi kerana lama tidak mendengar fatwa bernilai tinggi dari ulama'. Oleh kerana udara sangat panas, Harun Al-Rasyid meminta air minuman. Datanglah khadam baginda membawanya. Ketika baginda hendak minum, bertanya Ibnu Samaa'...

"Jika air seteguk itu amat sukar dicari sedangkan Tuanku sudah tersangat haus, berapakah akan Tuanku bayar harganya?"

"Biar habis separuh kekayaanku, tetap aku membelinya," jawab raja.

"Minumlah Tuanku air seteguk itu yang kadangkala harganya melebihi separuh daripada kekayaan Tuanku," kata Ibnu Samaa'.

Raja pun minum. Setelah itu baginda meminta Ibnu Samaa' meneruskan pengajaran fatwanya. Lalu ulama' itu bertanya lagi...

"Jika air yang seteguk tadi tidak mahu keluar dari dalam diri Tuanku walau pun bersusah payah diusahakan tetap juga tidak mahu keluar, berapakah harga yang Tuanku akan bayar bagi mengeluarkannya?"

"Kalau air itu tidak mahu keluar, apalah gunanya kemegahan dan kekayaan. Biar habis seluruh kekayaanku ini, akan aku gunakan bagi mengubati diriku sehingga ia keluar!" jawab Harun Al-Rasyid.

"Maaf Tuanku, rupa-rupanya segelas air najis lebih mahal harganya daripada seluruh kekayaan Harun Al-Rasyid. Maka tidakkah Tuanku insaf, bagaimana besarnya kekuasaan Allah. Maha kayanya Dia di hadapan kita makhluk yang lemah ini. Tidakkah tiba masanya kita tunduk kepadaNya dan insaf akan kelemahan kita?" tanya Ibnu Samaa'.

Baginda Harun Al-Rasyid menangis tersedu-sedu mendengar fatwa itu.

Petikan daripada buku 'Renungan Tasawuf : Manisnya Iman' tulisan Prof. Dr. Hamka.

No comments:

Post a Comment