Saturday, November 24, 2007

Klinik Usahawan

Saya, Maimun (Mun) dan Shaharimah (Syimah) menghadiri klinik usahawan anjuran PKNS pada 21 dan 22 November lalu. Lokasinya di Seminar & Conference Centre, Tingkat 15, Menara PKNS, PJ. Kami berulang-alik Melaka-PJ-Melaka selama 2 hari itu. Perjalanan kami bermula jam 6:30 pagi dan berakhir kira-kira jam 9:00 malam.

Klinik ini membincangkan peluang bisnes dalam industri herba melalui pemasaran kontrak pada hari pertama. Kemudian bagi yang berminat diadakan sesi business match-making dengan 5 syarikat payung pada hari kedua. Pada hari pertama 250 orang peserta hadir dan 150 daripada jumlah itu berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut termasuk kami bertiga.

5 syarikat payung yang terlibat dalam program ini ialah Malaysian Herbal Corporation (MHB), Rentak Timur Sdn. Bhd. (RTSB), BanDar Agro Spice Industries (BASPI), Moro Seri Utama Enterprise (MSUE) dan Phtofolia Sdn. Bhd. (PSB).

Pada hari kedua, para peserta dibahagi kepada 5 kumpulan. Setiap kumpulan diberi masa 1 jam untuk mendengar taklimat setiap satu syarikat payung secara bergilir dengan kumpulan lain. Dalam sesi itu, para peserta diberi peluang bertanya apa saja soalan tentang peluang bisnes yang ditawarkan. Kami bertiga dalam kumpulan 4.

Secara ringkasnya setiap syarikat payung itu sudah ada kilang mereka sendiri yang menghasilkan produk-produk seperti ekstrak vanila, rempah-ratus dan pelbagai herba yang diperlukan dalam industri makanan, kosmetik dan pembuatan ubat-ubatan. Mereka menjadi pembekal bahan mentah dan ramuan separa siap kepada syarikat-syarikat seperti Nestle, Adabi, Maggi dan kilang-kilang kosmetik serta pharmaseutikal.

Permintaan untuk bahan mentah herba yang sudah diproses atau diekstrak amat tinggi, baik di dalam mahu pun di luar negara. Ratusan tan diperlukan setiap bulan. Sebagai pembekal, syarikat-syarikat payung itu memerlukan banyak 'contract farmers' bagi mendapatkan herba-herba seperti serai, limau purut, mas cotek, bunga kantan, vanila, cengkih, daun kari, halia, cili, daun bawang dan macam-macam lagi. Bagi yang berminat, syarikat payung akan mengaturkan siri lawatan dan perbincangan lanjut sehingga akhirnya membuat kontrak perjanjian untuk tempoh beberapa tahun.

Yang diperlukan di pihak peserta ialah tanah, sama ada milik sendiri atau dipajak. Ada jenis tanaman yang memerlukan minima 5 ekar. Ada yang memerlukan minima 1/4 ekar sahaja. Ada juga syarikat payung yang menyediakan tanah seluas 100 ekar dan memerlukan 10 syarikat atau individu untuk menguruskan penanaman. Teknik menanam, penyediaan benih, cara penanaman, membaja sehingga pengangkutan tuaian di aturkan apabila kontrak sudah ditandatangan. Agensi yang terlibat dalam program ini ialah Kementerian Pertanian Bahagian Industri Herba.

Tujuan saya ke klinik tersebut adalah untuk mendapatkan informasi bagi dijadikan bahan tulisan saya untuk terbitan di majalah dan buku-buku seterusnya. Sambil itu saya juga mencari peluang bisnes seandainya sesuai. Saya bukan rencam, maksudnya hendak buat itu dan ini, tapi sanggupkah melakukannya? Sebenarnya saya sekadar mahu memulakan sesuatu usaha secara kecil-kecilan khasnya dalam industri herba yang mempunyai masa depan cerah ini.

Yang menarik minat saya ialah penanaman mas cotek kerana ia tidak memerlukan tanah yang luas. Menurut En. Ismail, bos Moro, tanah dusun buah-buahan juga sesuai di sulam dengan pokok-pokok mas cotek. Syimah dan Mun juga berminat dengan mas cotek. Tadi Syimah menelefon En. Ismail dan beliau bersetuju untuk datang esok bagi melihat tapak dan kesesuaian tanah. Saya pun tumpang sekaki iaitu akan mengajak beliau melawat tanah dusun saya yang luasnya sekangkang kera.

Syimah bertanya : Besarkah kera itu? Kalau king-kong, besar juga kangkangnya. Mahu makan 2-3 ekar.

Jawab saya : Kera saya jenis king-kong terencat tumbesaran. Jadi kangkangnya 1/4 ekar je!!!

1 comment:

  1. Hahaha..Baru tengok cerita King Kong semalam. Tiba-tiba saja cerita Mas Cotek ada featuring King Kong...

    ReplyDelete