Monday, December 3, 2007

Cek Tangguh

Biasanya di hujung-hujung tahun seperti sekarang, jabatan-jabatan kerajaan menghabiskan peruntukan pembelian masing-masing. Dua minggu lalu kami mendapat pesanan daripada Syarikat Alifbata Sdn. Bhd. untuk pembelian Razor Barbed Tapes (RBT) bernilai RM170,000. RBT itu perlu dibekalkan kepada sebuah jabatan kerajaan.

Semasa rundingan harga, Zainal memaklumkan kepada bos Syarikat Alifbata, En. Bedul, bahawa terma bayaran kami adalah tunai. Dia perlu membayar deposit 50% ketika membuat pesanan dan baki 50% perlu dibayar sebelum penghantaran dibuat oleh pihak kami. Terma itu dipersetujui oleh En. Bedul.

Minggu lalu, staf kami, Mansor Shah, pergi ke pejabat Syarikat Alifbata untuk mengambil pesanan rasmi dan cek. Beliau dimaklumkan oleh eksekutif Syarikat Alifbata, En. Tompel, bahawa bosnya, En. Bedul, sudah berangkat ke Makkah untuk menunaikan fardhu haji. Dua keping cek yang sudah siap bertulis jumlah dan bertandatangan diserahkan kepada Mansor.

Cek yang pertama bertarikh 26 November, 2007 bernilai RM50,000. Cek yang kedua bertarikh 31 Disember, 2007 bernilai RM120,000. En. Tompel memberitahu Mansor penghantaran semua RBT perlu disempurnakan sebelum 15 Disember, 2007. Tidak boleh tidak. Ini kerana beliau perlu menghantar invois kepada jabatan kerajaan berkenaan sebelum 31 Disember, 2007.

Cek yang pertama dimasukkan ke bank pada hari itu juga. Untuk penghantaran pertama, kuantiti RBT yang kami hantar bernilai ngam-ngam RM50,000. Hari ini Mansor mengingatkan saya mengenai pesanan En. Tompel. Katanya : En. Tompel pesan, kita tidak boleh hantar lewat. Nanti dia susah.

Saya memandang Mansor dengan senyum kambing.

Kata saya : Ingat, jangan hantar dulu, Choi. Awak telefon En. Tompel dan beritahu dia sekali lagi, terma kita adalah 'tunai'. Apabila cek RM120,000 itu sudah 'clear', barulah kita buat penghantaran. Paling awal pun kita boleh hantar pada minggu pertama 2008. Beritahu dia, kita boleh hantar sebelum 15 Disember sekiranya dia beri cek baru dengan tarikh semasa.

Mansor memandang saya dengan dahi berkerut-kerut...

No comments:

Post a Comment