Monday, January 7, 2008

Buku Bisnes Untuk Usahawan PKS

Sifu saya, Puan Ainon Mohd. menulis kata-kata ini di blog UNIKA : Apabila saudara duduk menghadap skrin komputer, wajah siapakah yang saudara bayangkan akan membaca buku-buku tulisan saudara?

Hmmm, bagi saya yang memfokus kepada isu-isu berkaitan bisnes kecil dan sederhana, pastinya membayangkan wajah-wajah usahawan dan bakal usahawan PKS (perniagaan kecil dan sederhana). Mereka adalah golongan yang saya jangkakan berminat membaca buku-buku saya. Juga buku-buku rakan-rakan penulis di PTS yang turut menulis dalam bidang bisnes.

Dalam bayangan saya, majoriti golongan usahawan PKS itu adalah orang-orang Melayu. Mereka terdiri daripada berbagai latar-belakang seperti para graduan universiti, orang-orang yang memilih untuk bersara awal, ibu tunggal, suri-rumah yang ingin mencari pendapatan sampingan, para lepasan sekolah dan kolej dan sebagainya.

Bayangan saya terbentuk melalui kata-kata Puan Ainon bahawa orang Melayu kini tidak lagi perlu didorong-dorong untuk menceburi bisnes. Mereka sudah mahu dan sudah bersedia untuk berniaga. Kini mereka mahu tahu cara-cara untuk mengurus bisnes dengan betul. Ya, dengan sedikit pengalaman yang ada saya ingin menulis untuk golongan ini.

Mengikut data pihak SMIDEC, bilangan usahawan yang terlibat dalam bisnes kecil dan mikro mencecah 500,000 orang di Malaysia. Jumlah itu ternyata amat besar. Andainya 1% sahaja daripada mereka membaca buku-buku bisnes terbitan PTS, tidak kurang 5,000 naskah diperlukan bagi setiap judul.

Secara kasarnya sasaran pembaca bagi buku-buku bisnes itu sudah ada. Persoalannya ialah di manakah buku-buku bisnes itu boleh dibeli? Jika anda menjawab buku-buku itu boleh dibeli secara on-line di Book Cafe dan e.Kedai.net, jawapan anda memang tepat. Dalam katalog kedai-kedai online itu tersenarai penuh judul-judul buku bisnes terbitan PTS.

Bagaimana pula dengan kedai-kedai buku terkemuka? Bukankah buku-buku bisnes berbahasa Melayu juga dijual di situ? Anda ingin tahu jawapannya??? Mengikut pengamatan saya, buku-buku bisnes berbahasa Melayu tidak banyak terdapat di kedai-kedai buku besar seperti Popular, MPH, Borders dan Kinokuniya. Andai anda tidak percaya, pergilah sendiri menjengok ke kedai-kedai buku itu.

Yang banyak dipamerkan di kedai-kedai buku utama itu adalah buku-buku bisnes berbahasa Inggeris. Di mana-mana pun hampir serupa, baik di Melaka, KL, Ipoh... memang tidak mudah untuk mendapatkan buku-buku bisnes berbahasa Melayu kecuali beberapa judul buku best-sellers seperti tulisan Azizi Ali, Chef Li dan Ann Wan Seng.

Jika ada pun buku-buku bisnes berbahasa Melayu di sebahagian kedai-kedai buku utama itu, tempatnya adalah di satu rak yang padat (bersebelahan dengan novel-novel Melayu). Atau pun letaknya di sebuah sudut yang dikhaskan untuk Malay Books.

Bilangan buku-buku bisnes berbahasa Melayu yang dipamerkan di kedai-kedai buku utama juga kecil (1 ke 2 buah sahaja bagi setiap judul). Judul-judul buku yang dipamerkan juga tidak banyak. Ia tidak selengkap seperti yang terdapat dalam katalog di kedai-kedai buku online.

Golongan usahawan PKS sewajarnya digalakkan banyak membaca buku-buku bisnes. Mereka boleh mendapat banyak ilmu melalui pembacaan buku-buku seperti itu. PTS sendiri mengambil langkah menerbitkan buku-buku bisnes yang mudah dibaca. Buku-buku bisnes terbitan PTS ditulis secara santai dan mudah difahami oleh mereka yang berpendidikan biasa-biasa saja.

Bagi mereka yang sudah biasa membeli buku-buku secara online, tidaklah menghadapi kesulitan mencari buku-buku bisnes yang dapat membantu mereka. Bagaimana pula dengan mereka yang masih belum mesra komputer dan tiada kemudahan internet??? Anda ada pendapat untuk dikongsi bersama saya?

No comments:

Post a Comment