Sunday, May 11, 2008

Ada-ada saja

Di KLIA, sepasang suami-isteri Cina sedang sabar menunggu ketibaan sahabat karib mereka dari Taiwan. Kapalterbang sudah mendarat tetapi tetamu yang dinanti masih belum kelihatan. Mata mereka berdua ralit memerhatikan orang-orang yang sedang berjalan keluar dari dewan ketibaan.

Tidak semena-mena si isteri mengulum senyum. Jarinya pantas mencuit bahu si suami. Mereka saling berpandangan, kemudian berbisik-bisik. Mata mereka leka memerhatikan sekumpulan jemaah umrah (pastinya orang Melayu). Pasangan Cina itu bertanya sesama-sendiri : Mengapa orang-orang ini berpakaian pelik?

Kumpulan jemaah umrah yang sedang menolak troli masing-masing semakin dekat. Penampilan mereka tambah mencuri perhatian pasangan Cina itu. Yang lelaki berjubah labuh warna putih, lengkap dengan vest berwarna beige ala pakaian orang Pakistan dan berserban stail Yasser Arafat. Yang wanita berjubah hitam dengan taburan manik berkilauan.

Daripada celoteh orang-orang di sekeliling, pasangan Cina itu dapat meneka jawapan bagi soalan yang bermain-main di minda mereka. Bahawa kumpulan yang berjubah dan berserban ala Yasser Arafat itu menerapkan penampilan penduduk Arab Saudi. Sementara alasan di sebalik pemakaian vest ala pakaian orang Pakistan itu ialah penerbangan mereka transit semalam di Karachi.

Itu saja, bukan apa-apa...

No comments:

Post a Comment