Thursday, May 15, 2008

Hutang Lapuk

Beberapa minggu lalu saya terbaca sebuah cerpen di akhbar. Saya sudah lupa tajuk dan siapa penulisnya. Namun kisah dalam cerpen itu masih segar di ingatan. Kisahnya berkisar tentang si penulis cerpen itu menemani sahabatnya di dalam kubur. Sahabatnya seorang jutawan dan dia membuat permintaan khas kepada si penulis iaitu apabila dia mati, si penulis hendaklah menemaninya di dalam kubur selama 30 hari. Setelah puas dipujuk, si penulis bersetuju dan dia akan dibayar RM30 juta.

Apabila sahabatnya meninggal, si penulis pun dikuburkan sekali bersama mayat. Ketika berada di dalam kubur, penulis mengalami peristiwa ngeri. Bukan saja diganggu bunyi gegak gempita serta pekik raung yang tidak keharuan sepanjang masa, dia juga terpaksa berdepan dengan malaikat yang menyoalnya bermacam-macam perkara. Dia ketakutan namun mengenangkan habuan RM30 juta yang menanti dia bersabar. Lalu dicuba sedaya upaya menjawab soalan-soalan yang ditanyakan.

Antara yang ditanya ialah cara dia mencari rezeki, berapa hasil diperolehi, bagaimana kesan tulisannya kepada orang-orang yang membaca, sama ada dia tahu betapa banyak hati yang dilukai hasil daripada tulisannya dan bagaimana dia mahu meminta ampun daripada orang-orang itu yang sebahagiannya sudah kembali ke rahmatullah. Penulis terpinga-pinga kerana soalan-soalan itu tidak langsung diduganya.

Kemudian dia tanya pula tentang PC yang diguna untuk menulis, daripada hasil mana ia diperolehi, tentang motor kapcai yang dia tunggangi ke tempat kerja daripada hasil mana ia dibeli. Penulis memberitahu motor kapcai itu sudah lama dan dibeli sewaktu dia menunggu keputusan SPM. Dia membantu ibunya menoreh getah dan daripada upah itu dibelikan motor. Lalu dia ditanya tentang pisau toreh getah ibunya dibeli daripada hasil mana. Penulis semakin bingung dengan soalan yang bertalu-talu itu.

Sementara itu mayat sahabatnya semakin reput dan ulat-ulat mula mengerumuni si penulis. Dalam keletihan yang teramat sangat, barulah dia sedar yang dia tidak makan dan minum apatah lagi tidur semenjak masuk ke liang kubur itu. Dengan perasaan yang semakin tertekan, si penulis akhirnya mengambil keputusan untuk keluar. Dia rela tidak mendapat upah RM30 juta yang dijanjikan itu. Pisau toreh pun dipersoal, inikan pula wang RM30 juta itu, tentu banyak lagi yang dia perlu bersoal-jawab dengan malaikat. Penulis pun keluar dan cerita pun tamat di situ.

Iktibar : Semua tindakan kita (besar dan kecil) akan dipersoalkan di kemudian hari.

Saya membelek penyata akaun syarikat KZ bagi tahun 2007. Masih ada hutang lapuk yang belum dilunaskan si fulan A bernilai RM43,000 dan si fulan B sebanyak RM150,000. Sejak 2003 mereka berjanji mahu membayarnya. Akhir tahun lalu, si fulan A meminta tangguh sehingga dia balik daripada tanah suci. Apabila ke KL saya memerhati pejabat si fulan A yang tersergam. Ketika singgah P.A.nya memberitahu dia tiada. Si fulan A out-station. Ya, bisnes semakin maju dan dia sangat sibuk.

Si fulan B sudah berpindah ke Dubai. Sesekali dia hubungi kami meminta sebutharga. Dia berjanji akan membayar hutangnya jika projek yang sedang dirundingkan di sana berhasil. Setakat ini masih tiada apa-apa. Rakan kongsi si fulan B menghilangkan diri apabila syarikat lama mereka terkubur. Hanya si fulan B yang tidak lari tapi tidak juga membayar hutangnya.

Saya sedang berkira-kira hendak mencadangkan kepada lembaga pengarah syarikat KZ supaya kedua-dua hutang lapuk itu dilupuskan. Sudah letih bermain sorok ibu dengan si fulan A. Usaha dengan si fulan B pun tidak berhasil. Ya, umur hutang-hutang itu sudah masuk 6 tahun. Jika anak kecil sudah layak masuk tadika.

Saya terfikir, jika saya kirimkan kisah cerpen ini kepada si fulan A dan si fulan B, mungkin mereka akan kecut perut dan segera melunaskan hutang masing-masing. Hmmm, manalah tahu cara ini berkesan. Saya sedang memikirkan perkara yang bakal berlaku di kemudian hari : Bagaimana si fulan A dan si fulan B hendak menjawab soalan-soalan tentang hutang lapuk itu?

4 comments:

  1. Salam Puan Norlela,

    Bukankah hutang si fulan A dan si fulan B itu adalah hutang syarikat. Individu dan syarikat ialah dua entiti yang berbeza.

    Lainlah kalau bisnes dua fulan ini, jenis enterprise.

    Mohon penjelasan puan, terima kasih.

    ReplyDelete
  2. En. Zamri,

    Memang benar individu dan syarikat dua entiti yang berbeza. Bagi syarikat Sdn. Bhd., hutang-hutangnya ditanggung oleh pihak yang menjadi penjamin.

    Bagi hutang yang tidak bersandarkan cagaran, memang susah hendak diperolehi semula. Sepatutnya, pemilik saham syarikatlah yang bertanggung-jawab ke atasnya.

    Dalam senario masa kini, ramai yang rela diisytihar muflis bagi melepaskan diri daripada tanggungjawab membayar hutang syarikat.

    Secara peribadi saya berpendapat, bagi orang Islam, soal membayar hutang tidak boleh diabaikan sekali pun ia dapat dielak di segi tindakan undang-undang.

    Di dunia bolehlah terlepas, tapi apa jaminannya tanggungjawab itu terlepas di akhirat kelak?

    Mengelak daripada membayar hutang hanya dengan berlindung daripada segi peruntukan undang-undang dunia, bagi saya, adalah tidak wajar dan satu kezaliman. Wallahualam.

    ReplyDelete
  3. ...mungkin hantar cerpin (dari kubur)itu kpd mereka dan beri tempoh 44 hari untuk jawapan (apa sahaja yang mereka rasa perlu)

    ReplyDelete
  4. Ya, hantar cerpen tersebut kepada mereka, semoga Allah memberikan kemudahan kepada mereka untuk menjelaskan hutang tersebut. Insyaa-Allah.

    ReplyDelete