Tuesday, June 10, 2008

Minda Bisnes

Pada sesi diskusi buku minggu lalu, Tuan Amar Mahmood (penulis buku Rahsia Minda Jutawan dan Tarik Kekayaan Dengan Kuasa Minda) berkata : Terdapat sesetengah individu yang ingin atau sudah menceburi bisnes tetapi masih tidak mempunyai minda atau mentaliti bisnes.

Apakah yang dimaksudkan dengan minda dan mentaliti bisnes? Ia bermaksud pemikiran, kepercayaan, emosi dan keyakinan yang betul terhadap bisnes. Tanpanya, kita sukar untuk berjaya meski pun mempunyai skil pengurusan perniagaan, pengurusan kewangan, kemahiran teknikal serta kerap menghadiri kursus dan seminar berkaitan bisnes.

Mengapakah ini terjadi? Menurut Tuan Amar, memiliki persepsi yang betul terhadap bisnes penting untuk kita berjaya dalam bidang itu. Halangan untuk berjaya dalam bisnes bukan berpunca daripada aspek luaran semata-mata. Halangan juga datang daripada dalam diri individu itu sendiri.

Ini kerana konflik dalam diri (seperti minda, fikiran, kepercayaan, emosi dan keyakinan yang salah terhadap bisnes) mengeluarkan tenaga negatif yang menolak kejayaan yang ingin dicapai. Antara contoh kepercayaan dan persepsi salah tentang bisnes adalah kata-kata berikut :-

  1. Hanya orang tertentu (yang kaya dan berharta) boleh berjaya dalam bisnes.
  2. Ramai orang jatuh muflis kerana menceburi bisnes.
  3. Tanpa saluran politik susah hendak mendapat peluang dan berjaya dalam bisnes.
  4. Bisnes secara kecil-kecilan pun jadilah. Ini saja yang mampu dibuat.
  5. Orang bisnes ramai yang menipu. Jika tidak, bagaimana mereka boleh kaya-raya?
  6. Apa gunanya membuat duit banyak sangat? Wang bukan boleh dibawa mati.
  7. Jika kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga.
  8. Orang Cina ada budaya bisnes. Orang Melayu susah hendak menjadi seperti mereka.

Aspek dalaman kita iaitu minda, fikiran, kepercayaan, emosi dan keyakinan diri mempunyai kuasa tenaga. Tenaga itu berupaya menarik frekuensi yang sama sepertinya. Jika kita selalu berfikir secara negatif dan bersikap pesimis terhadap sesuatu, kita akan menarik energi yang serupa ke dalam diri iaitu energi kesukaran dan kegagalan.

Sebaliknya jika kita mengamalkan fikiran positif secara berulang-ulang dan memantau emosi dengan betul, kita akan menarik tenaga positif yang diinginkan.Tekniknya ialah dengan selalu memikirkan apa yang kita mahu (bukan sebaliknya) serta menonjolkan kebolehan dan kekuatan yang kita miliki (bukan sebaliknya).

Berdoa adalah salah satu cara bagi menarik energi positif. Ia suatu amalan yang amat digalakkan dalam Islam. Ketika berdoa dengan kusyuk, fikiran dan hati kita bergetar dan getaran-getaran itu sampai kepada Allah melalui kuasa minda iaitu hubungan kerohanian di antara kita denganNya.

Sebagai orang Islam, kita perlu yakin 100% ketika berdoa. Ini kerana Allah memberi jaminan semua doa hambaNya akan dimakbolkan (sama ada dimakbolkan cepat atau dilewatkan atau diganti dengan yang lebih baik daripada apa yang diminta). Antara amalan bagi melancarkan rezeki adalah doa yang dibaca selepas mengerjakan solat Dhuha. Orang bisnes disaran mengerjakan solat Dhuha secara rutin dan mengamalkan doa berikut :-

Ya Allah! Sesungguhnya waktu Dhuha itu adalah DhuhaMu. Sinar yang bercahaya adalah cahayaMu. Keindahan itu adalah keindahanMu. Kekuatan itu adalah kekuatanMu. Kekuasaan itu adalah kekuasaanMu. Pemeliharaan itu adalah pemeliharaanMu.

Ya Allah! Andainya rezeki kami berada di atas langit, Engkau turunkanlah. Andainya rezeki kami berada di dalam bumi, Engkau keluarkanlah. Jika susah, Engkau permudahkanlah. Jika haram, Engkau halalkanlah. Jika jauh, Engkau dekatkanlah.

Dengan hak waktu DhuhaMu, sinar cahayaMu, keindahanMu, kekuatanMu, kekuasaanMu dan pemeliharaanMu. Berilah kami apa yang Engkau berikan kepada hamba-hambaMu yang soleh.

3 comments:

  1. Berita Puan dalam Sinar Harian bersama-sama tim penulis lain.

    http://motivasimindamu.blogspot.com/2008/06/ceramah-buku-mendapat-sambutan-laporan.html

    ReplyDelete
  2. Terima kasih, Tuan Zamri. Saya sudah beli Sinar Harian.

    ReplyDelete
  3. Salam Puan,

    Bestnya Doa itu, saya ingin mempratikkannya.

    Terima kasih

    ReplyDelete