Monday, June 2, 2008

Miracle Question?

Miracle Question adalah satu teknik yang boleh digunakan dalam pendekatan Solution Focus. Bayangkan senario berikut :-

Siti Nor seorang guru yang berdedikasi berusia 38 tahun. Beliau lulusan universiti luar negara dan mengajar Kimia di sebuah sekolah menengah. Sejak akhir-akhir ini Siti Nor merasa bosan dengan kerjayanya. Beliau sering tiada mood dan sesekali terfikir untuk berhenti kerja.

Katakan Siti Nor meminta bantuan anda bagi menyelesaikan isu yang beliau hadapi. Andaikan anda mempunyai 2 pilihan iaitu menggunakan pendekatan Problem Focus dan Solution Focus. Kedua-dua pendekatan ini mempunyai perbezaan yang ketara. Perhatikan perbezaan itu melalui bentuk soalan yang ditanyakan.

Respon jawapan bergantung kepada bentuk soalan yang ditanya. Jika soalan memfokus kepada problem, respon jawapan juga menjurus ke arah itu. Soalan-soalan yang bersifat Solution Focus memberi informasi yang menjurus kepada mencari jalan keluar.

Problem Focus Approach

Anda : Sejak bila awak rasa bosan dan tiada mood hendak mengajar?

Siti Nor : Sejak awal tahun ini. Kekadang saya malas hendak pergi kerja.

Anda : Hmmm, kenapa begitu sekali?

Siti Nor : Entahlah. Saya rasa tidak bersemangat. Sangat bosan.

Anda : Tadi awak kata, ada terfikir hendak cari kerja lain. Kerja apa?

Siti Nor : Entahlah. Saya belum fikirkan secara serius tentang perkara itu.

Anda : Pelik juga ya. Hmmm, mungkin ada orang aniaya awak. Awak percaya sihir?

Siti Nor : Eh, mengarutlah. Kenapa orang hendak sihir saya?

Anda : Pengetua selalu puji awak. Mungin ada yang cemburu. Hati orang manalah kita tahu.

Siti Nor : Entahlah, saya pun pening sekarang ini. Perasaan saya bosan sangat.

Anda : Berdoalah banyak-banyak. Minta Allah tenangkan jiwa awak.

Siti Nor : Terima kasih sudi mendengar masaalah saya.

Solution Focus Approach

Anda : Sejak bila awak rasa bosan dan tiada mood hendak mengajar?

Siti Nor : Sejak awal tahun ini. Kekadang saya rasa malas hendak pergi kerja.

Anda : Hmmm, apa awak hendak saya buat?

Siti Nor : Berilah saya idea bagaimana hendak atasi perkara ini.

Anda : Katakan malam ini awak tidur nyenyak sangat. Semasa awak sedang tidur, berlaku satu perkara ajaib. Esok pagi semasa bangun tidur, secara tiba-tiba awak terasa seronok sangat hendak pergi sekolah. Ha, ini sungguh ajaib, bukan? Jika ini berlaku, apa agaknya yang buat awak rasa seronok sangat?

Siti Nor : Hmmm, mungkin saya jadi seronok sangat sebab saya ada sepasang baju baru yang cantik. Apabila saya pakai baju itu, saya nampak langsing dan ayu.

Anda : Oh, begitukah? Apa lagi yang buat awak seronok sangat?

Siti Nor : Saya bersolek dengan cantik dan saya rasa keyakinan diri saya tinggi.

Anda : Apa yang buat awak rasa lebih berkeyakinan?

Siti Nor : Sebenarnya saya rasa lebih beryakinan jika penampilan saya menarik. Saya tidak suka dengan penampilan diri saya sekarang. Badan saya besar, pakai apa pun nampak tidak cantik. Saya rasa bosan sebab sudah cuba kuruskan badan tetapi tidak berkesan.

Anda : Awak suka penampilan yang bagaimana?

Siti Nor : Saya suka macam Adibah Noor. Dia plus-size tetapi nampak lawa... bla… bla… bla…

Nota

1. Teknik bertanya soalan ajaib diguna dalam pendekatan solution focus bagi mengalihkan tumpuan orang yang dirundung masaalah daripada tenggelam dalam masaalahnya.

2. Apabila soalan ajaib ditanyakan kepadanya, fikiran orang itu beralih daripada memikirkan problem (yang tidak berkesudahan sehingga tidak nampak jalan penyelesaian).

3. Soalan ajaib membuka ruang untuknya berfikir tentang jalan keluar…

No comments:

Post a Comment