Tuesday, August 26, 2008

Hari Bersejarah

Petang Sabtu minggu lalu, saya dan Zainal bertolak ke Ipoh. Esoknya adalah hari bersejarah buat kami iaitu Majlis Konvokesyen UTP ke 8 di mana Alum salah seorang graduan yang menerima ijazahnya pada sesi pagi. Sambil menanti upacara perarakan graduan bermula, saya memerhati sekeliling dewan yang meriah diserikan wajah-wajah para ibu-bapa dan kaum keluarga.

Mereka datang dengan berbagai gaya. Ada yang lengkap bersut hitam dan tali leher. Pasangannya pula berkebaya dan selendang panjang atau bersari dan berskirt labuh. Ada yang berkemeja batik, berjubah, bersongkok dan berserban. Sementara yang sempoi sekadar bersandal dan berkemeja T. Para ibu Melayu ramai yang bergaya dengan tudung manik serta baju kurung yang bertaburan dengan batu-batu hiasan berkilauan.

Waktu itu saya teringat suatu bab dalam novel Sang Pemimpi tulisan Andrea Hirata yang bertajuk Baju Safari Ayahku. Sambil membayangkan persiapan awal dan perasaan para ibu-bapa berbagai bangsa yang datang dari dekat dan jauh itu, saya kembali terkenang cerita penulis tersebut yang berbunyi begini…

Pada hari penyerahan buku laporan, ibu-bapaku sudah menyiapkan segalanya. Suami-isteri itu bangun pukul 3 pagi. Ibuku menyalakan arang dalam seterika, mengipas-ngipasnya, dan dengan pantas memercikkan air pandan dan bunga kenanga, yang telah direndamnya sehari semalam, di sekujur baju safari empat saku keramat itu. Ayahku kembali melakukan pemeriksaan pada basikalnya untuk sebuah perjalanan jauh yang sangat penting.

Selesai solat Subuh, ayahku sedia untuk berangkat. Dengan sut lengkapnya : tali pinggang bermotif ular tanah, kasut kulit buaya yang berkilat, dan stoking bola sepak, serta baju safari jahitan isterinya tahun 1972, yang sekarang berbau harum seperti kuih Bugis, ayah tidak kelihatan seperti buruh kasar. Sekarang beliau adalah petugas cacar, syahbandar, atau paling tidak, kelihatan seperti kerani di pejabat desa…

Canselor UTP, Tun Mahathir, dalam ucapannya berpesan supaya para graduan tidak melupakan berbagai pihak yang telah berjasa kepada mereka. Antara lain, jasa universiti tempat mereka menimba ilmu, jasa para pensyarah dan tenaga pengajar, jasa para penaja yang membiayai pengajian mereka dan yang paling utama, jasa ibu-bapa yang membesarkan mereka sejak lahir ke dunia ini.

Bahkan wajar dikenang juga jasa para guru sejak di bangku sekolah rendah lagi dan jasa sesiapa jua yang pernah terlibat secara langsung atau tidak terhadap kemajuan diri kita. Kata Tun, orang Melayu yang memang pandai menghargai budi, terkenal dengan pantun-pantunnya, antara lain pantun yang berbunyi…

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga

Lucunya Tun sendiri terlupa pantun di atas. Beliau memulai pantunnya dengan…

Gunung Daik bercabang tiga,
Pulau… pulau apa… saya lupa… jauh ke tengah
Lagi apa… saya lupa…
Budi yang baik dikenang juga…

Gelagat Tun mengundang gelak-ketawa semua tetamu di dalam dewan. Ah, entah kenapa hati saya terasa sayu melihat Tun yang kelihatan semakin uzur dan lemah, namun tetap gigih melaksanakan tugasnya di majlis itu. Di sebalik penglibatannya yang kurang disenangi dalam kemelut politik semasa, kehadiran Tun di majlis itu sungguh bererti. Kata-katanya masih amat bernas dan penuh bermakna. Di hatiku dan anak bangsa Malaysia yang lain, pastinya budi dan jasa Tun akan tetap dikenang zaman-berzaman.

2 comments:

  1. congrats buat abg alum, maklang n paklang sekeluarga :)

    ReplyDelete
  2. Terima kasih, Syahirah. InsyaAllah, Hari Raya tahun ini adik-adik sepupu boleh minta 'angpau' dengan Abang Alum. Hihi!

    ReplyDelete