Saya sudah mula memberi khidmat coaching kepada pihak yang memerlukan. Ada sesi yang berbayar (kadarnya munasabah) dan ada yang pro bono. Yang penting bagi saya di peringkat awal ini ialah dapat terus membiasakan diri menjadi coach dan mengumpul jam perkhidmatan (clock-in coaching hours). Di sini saya ingin berkongsi sedikit pengalaman dalam menawarkan khidmat coaching kepada para pelanggan saya.
Dalam beberapa sesi coaching, saya dapat mengesan satu perkara yang acapkali berlaku di mana sang coachee memberi reaksi hampir serupa. Anda ingin tahu apa perkara itu? Ia hanya perkara kecil yang tampak remeh-temeh dan bagaikan tidak penting sehingga kita selalu terlupa melakukannya. Cuba anda teka apa dia?
Yang saya maksudkan ialah membuat orang merasa dirinya dihargai. Ya, saya dapati agak ramai orang yang merasakan diri mereka tidak dihargai. Atau pun pengorbanan yang mereka lakukan tidak diberi pengiktirafan yang setimpal. Mereka bagaikan merintih-rintih mengenainya. Bukan wang ringgit yang didambakan tetapi hanya sebuah penghargaan yang boleh diucapkan dengan kata-kata yang mudah.
Dalam banyak isu personal dan isu bisnes yang dibincangkan, saya kerapkali mendengar komen begini diucapkan oleh sang coachee : Saya tidak sedar apa yang saya lakukan selama ini sangat bermakna. Saya selalu berfikir ia hanya perkara rutin dan tidak memberi impak besar. Komen itu merupakan respon kepada maklum-balas yang saya berikan setelah mendengar apa yang mereka perkatakan.
Ya, sejak menjadi coach, saya mulai pandai mendengar. Ia berlaku tanpa saya sedari. Pada mulanya agak sukar bagi saya tidak menyampuk dan tidak membuat andaian tertentu ketika coachee sedang bercakap. Namun lama-kelamaan saya dapat mendengar tanpa prejudis, malah mendengar untuk memahami apa yang tersirat.
Hanya dengan saya sabar mendengar luahannya, sang coachee bagaikan merasa satu hubungan akrab terbina di antara dia dan saya. Pelik tetapi benar. Saya hanya menyatakan sesuatu yang begitu ketara (setelah beberapa ketika mendengar), tetapi kerana perkara itu tidak diperakui oleh sesiapa sebelumnya, sang coachee mula menunjukkan reaksi lega.
Contohnya dalam satu kes saya berkata begini : Saya dengar tadi dalam tempoh 6 bulan, Puan sudah melakukan perkara a, b, c dan d. Tidak sampai setahun pun Puan sudah berjaya ke tahap ini. Syabas, Puan! Bersetujukah Puan perkara a, b, c dan d itu tidak mudah dilakukan? (Sang coachee terdiam sejenak, kemudian mengangguk dan senyuman terukir di bibirnya).
Saya bertanya lagi : Bagaimana Puan dapat melakukannya? Ceritakanlah kepada saya. Sang coachee pun bercerita lagi dengan bersemangat. Dalam beberapa situasi, saya dapati isu-isu konflik timbul kerana ada pihak yang merasa dirinya tidak dihargai. Perasaan itu begitu kompleks dan menyakitkan. Apabila terlepas daripada belenggu perasaan itu, mereka merasa lega dan dapat keluar daripada kebuntuan yang dihadapi.
Mungkin budaya saling menghargai agak kurang dipraktikkan dalam masyarakat Melayu. Apa pendapat anda? Lebih-lebih lagi dalam memberi penghargaan kepada orang-orang yang mempunyai hubungan rapat dengan kita. Ia agak kurang diamalkan oleh sesetengah orang. Bak kata orang putih, we often take foregranted of those people who are most important to us.
Saya suka mengesyorkan kita jangan lupa bahawa semua insan di dunia ini memerlukan suntikan semangat, biar pun hanya sekadar kata-kata yang mudah diucapkan seperti terima kasih. Kata-kata yang memberi mesej penghargaan dapat menyejukkan hati sesiapa jua. Ia memberi kekuatan yang bukan sedikit kepada pihak yang menerimanya. Sebaiknya usahlah kita lokek dalam hal-hal sebegini.
Bagi anda yang memerlukan khidmat coaching untuk menangani isu-isu personal dan bisnes, sila hubungi saya di talian no. : 019-6562540 atau emelkan isu anda ke alamat : norlelazubir@yahoo.com
No comments:
Post a Comment