Monday, October 27, 2008

Majlis Pelancaran Buku Haji Muda

Beberapa hari sebelum majlis pelancaran buku baru terbitan PTS Islamika bertajuk Haji Muda tulisan Hj. Ridzwan Bakar (seorang penjawat jawatan tinggi di TM), Puan Sifu menelefon saya. Katanya : Saya mahu Puan hadir bersama penulis-penulis PTS (antara lain Dr. Tengku Asmadi, Tuan Fadzli Yusof, Tuan Shamsuddin Kadir, Tuan Amar Mahmood, Puan Ain Maisarah dll).

Tambah Sifu lagi : Saya minta Puan datang untuk jadi barang pameran. Jam 8:30 pagi, Menara Rebung. Pakaian biar nampak profesional. Jangan pakai baju berbunga-bunga. Tudung jangan bermanik.

Hati saya tertanya-tanya : Jadi barang pameran?

Hmmm, tanpa banyak soal, saya yang sudah bertekad hendak berguru dengan Puan Sifu (untuk menjadi usahawan trainer profesional sepertinya) bersedia mengikut perintah. Awal pagi Rabu (22 Oktober, 2008) saya sudah berada di Menara Rebung menikmati sarapan pagi (ditemani supir saya), kemudian menghadiri majlis tersebut bersama tim PTS yang lain.

Banyak yang ingin saya ceritakan bagaimana Puan Sifu mengatur strategi membuka berbagai peluang baru buat PTS dan para penulisnya. Ia dimulakan dengan proses 'networking' dan menjalin perhubungan baik terlebih dahulu. Di majlis itu, Dr. Tengku Asmadi dan Tuan Shamsuddin diaturkan duduk bersama para VIP. Yang hadir di majlis itu bukan sahaja para GM di TM tetapi juga dari Bank Islam, Tabung Haji, media dan wartawan.

Bertambah cantik majlis itu apabila Prof. Kamil Ibrahim (Pengarah UiTM Segamat yang juga penulis PTS paling ngetop) menjadi penceramah jemputan khas dan beliau menyampaikan pengalamannya menunaikan haji (dipetik daripada buku Travelog Haji). Apabila Prof. Kamil bercakap, apa lagi... aduhai, melekat terus para jemputan di bangku masing-masing selama lebih satu jam).

Prof. Emeritus Abdullah Hassan (Penasihat PTS) menyampaikan cenderahati bagi pihak PTS kepada wakil bakal-bakal haji warga TM. Tim PTS (terdiri daripada Tuan Arif, Tuan Fauzul, para editor, pegawai media dan TVPTS) sibuk dengan berbagai urusan di majlis itu. Puan Ainon sendiri sibuk ber'networking' dengan berbagai pihak termasuk para wartawan, antaranya daripada Berita Publishing dan Majalah Jelita.

Sebagai barang pameran, saya mengekor sahaja Puan Sifu. Apabila dia perkenalkan saya kepada para wartawan, saya pun tersenyum dan menghulurkan kad nama. Ketika minum di meja VIP, Puan Sifu berkata : Lihat, Dr. Tengku dan Tuan Sham sedang membuat networking dengan para VIP. Mereka itu semua pembuat keputusan (decision makers). Apabila mereka sukakan kita (tim PTS yang mempamerkan profesionalism), pintu akan di buka untuk kita dan tuan-puan semua boleh masuk... untuk peluang corporate training, dll.

Secara kebetulan ada diantara para pengarah TM itu adalah bekas anak-didik Puan Sifu ketika beliau melatih eksekutif-eksekutif muda tentang lateral thinking sedekad dua yang lalu. Kini eksekutif-eksekutif itu sudah menjadi pengarah pula dan masih mengenali Puan Ainon serta sangat menghormati beliau. Pertemuan dengan Puan Sifu di majlis itu sangat menggembirakan mereka.

Usai majlis itu, saya bergegas pulang ke Melaka untuk bersiap-siap pula ke Bangi bagi program kepimpinan SISWA selama 2 hari 1 malam di KUIS (Kolej Universiti Islam Selangor) yang dikendalikan tim perunding latihan PTS (di bawah pengawasan Puan Sifu sendiri). Ceritanya di entri akan datang, insya Allah.

Gambar1 : Penulis selebriti, Prof. Kamil sedang menyampaikan ceramahnya.
Gambar2 : Saya, Puan Sifu dan Puan Ain Maisarah dipetik daripada blog PTS Islamika.


2 comments:

  1. Salam Pn Norlela,
    Terima kasih kerana menyokong usaha mentarbiah masyarakat dan menghadiri pelancaran buku haji muda.

    insyaAllah ketemu lagi di lain kesempatan.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Hj. Ridzwan,

    Tahniah buat tuan dan terima kasih sudi berkunjung ke blog saya ini. Ya, saya pun berharap ada kesempatan bertemu tuan lagi, InsyaAllah.

    ReplyDelete