Monday, February 23, 2009

Salam 49!

Malam Ahad lalu Alum balik ke Melaka dari Seri Alam. Sejurus sampai di rumah dia berkata : Mak, tutup mata. Saya bertanya : Kenapa? Jawabnya : Ada hadiah. Cepat Mak, tutup mata. Saya pun menutup mata, sambil itu mencuri hendap kotak yang dibawanya. Aduhai, hatiku berbunga-bunga. Bagi seorang ibu, perkara yang sangat bermakna buatnya adalah ingatan, kemesraan, kata-kata lembut dan layanan baik anak terhadapnya. Hadiah itu, jika ada, ia ibarat bonus. Terima kasih, anakku!

Sebulan lalu saya meng‘angin-angin’kan kepada Zainal bahawa saya tidak mahu lagi diberi jambangan bunga untuk hadiah hari jadi. Saya meng‘angin-angin’kan bahawa saya HANYA inginkan sepasang cermin mata baru. Itu sahaja. Zainal ketawa terkekek-kekek. Saya pun ketawa terkekek-kekek. Itu namanya ketawa ada makna. Aduhai! Harga cermin mata 3 dalam 1 (rabun jauh + rabun dekat + pelindung silau matahari) yang saya inginkan itu hampir mencecah 3K. Terima kasih, Tuan Hajiku!

Tahun ini saya menyambut hari jadi dengan 2 orang anak saudara baru. Ainul Sofia Binti Zahayu lahir pada 18 Febuari, 2009 sementara sepupunya, Ismail Zubir Gazi Gursoy Bin Mehmet Gursoy lahir pada 20 Febuari, 2009 (lihat gambar). Ainul Sofia adalah anak ketiga. Ismail Zubir adalah anak kedua. Kedua-duanya dilahirkan melalui pembedahan. Selamat datang ke kelab ikan, sayang!

Hari ini usiaku genap 49 tahun, suatu angka yang hampir mencecah setengah abad. Bayangkan jika 49 batang lilin dipasang di atas sebuah kek… aduhai, pasti hangus dan rentung. Di usia begini, hati sentiasa mengingatkan diri bahawa baki umur semakin kurang, apakah persediaanku sudah cukup jika ajal datang menjemput? Ya, usia 49 bukanlah untuk berleka-leka. Di usia begini, amat perlu saya sedarkan diri.

Sejak awal pagi saya menerima kiriman sms. Di antaranya ada satu pesanan berbunyi begini : Jalan ke lubang kubur semakin dekat, kampong hendak dituju terlalu jauh, bagaimana amal yang hendak dibawa ke sana? Aduhai, berdesing telingaku ini. Wahai kawanku, jika hendak mengingatkan saya pun, janganlah sampai begitu sekali. Kecutlah perut saya ini! Terima kasih buat sahabat-sahabatku : Maimun Simun, Noridah Ujang, Rosnani Samad dan Husnia Hashim. Terima kasih juga buat insan-insan yang kusayangi : Mak, Kak Long, Donut, Dayana Hanim, Syikin dan Zahayu. Juga terima kasih buat adik iparku, Mehmet Gursoy dan pengirim-pengirim ucapan yang istimewa seperti berikut :

"Puan Norlela, Selamat Menyambut Hari Lahir, semoga panjang umur, murah rezeki, diberkati usia dan ditambah iman. Amin." - Tengku Asmadi Tengku Mohamad

"Salam Puan, Happy Birthday. Semoga puan dipanjangkan umur dan diberikan kekuatan terus berkarya untuk memandaikan anak bangsa." - Fakharoll Rodziee Don

6 comments:

  1. salam kak lela,

    salam harijadi ke 49. 9 tahun beza kita ya. tatkala saya dilahirkan, kak lela telah pun pandai berkawan dan bermain pondok2 agaknya....haha! moga semakin rajin berkarya. saya suka singgah di blog ini. tahniah lagi.! moga hidup kita diakhiri dengan husnul khatimah. insyaAllah.

    ReplyDelete
  2. Cikgu Jane,
    Pada usia 9 tahun, saya sudah pandai naik bas ke sekolah dan hantar adik saya ke sekolah tadika. Zaman dulu-dulu (tahun 60an) orang-orang jahat masih tidak ramai dan ibu-bapa tidak risaukan anak-anak mereka di culik.

    Terima kasih mendoakan saya. Doa yang sama buat puan. Semoga Allah makbulkan, insyaAllah.

    ReplyDelete
  3. Terima kasih, En. Faisal.

    Saya amat bersyukur masih diberi waktu menikmati hidup ini.

    Entah berapa lama lagi sisa hidup yang masih ada... Sisa itulah yang perlu dimanafaatkan sebaiknya, insyaAllah.

    ReplyDelete
  4. happy belated birthday mak lang. Ya lama tak lawat blog. ttb jek dah ter miss birthday mak lang pulak. adei. oo,,mak lang pun ada kelab ikan jugak ye? sama macam kelab ya dgn kak ayu :D

    ReplyDelete
  5. Terima kasih, Syahirah. Ya sama kelab dengan Kak Ayu? Hohoho... Mak Lang tahu tarikh Kak Ayu tapi tidak tahu tarikh Ya!!! Haha... ini tidak adil! Beritahu Mak Lang ok?

    ReplyDelete