Friday, May 7, 2010

Gratitude Journal

Noridah menelefon saya jam 7:30 pagi. Dia hendak datang ke rumah saya.

“I bawa nasi lemak 2 bungkus. You tolong buat Nescafe kaw-kaw... 5 minit lagi sampai,” kata Noridah.

Kami bersarapan di meja kopi di ruang tamu saya. Sedap betul makan nasi lemak berlauk sambal sotong sambil duduk bersila. Seperti biasa, pagi itu kami bukan saja bersarapan, tetapi sambil makan Noridah menjalani sesi coaching bersama saya.

Khidmat coaching saya kepada Noridah tidak dikenakan bayaran sebab dia sudah declare tidak mahu membayar saya dengan wang… (aduhai, jika semua coachee saya buat begini, saya akan menjadi hungry coach!!!). Sebaliknya, Noridah akan membelanja saya makan : sarapan pagi, brunch atau lunch. Sesekali dia akan membelanja saya di Hotel Ramada. Tidak kira di mana pun, sesi coaching kami selalu berlangsung dalam suasana santai.

Makcik Enon (seorang jiran dan sahabat baik ibu mertua saya) memberi saya seikat sayur pucuk ubi dan buah betik ketika saya balik ke kampong baru-baru ini. Sayur pucuk ubi itu dibungkus kemas-kemas dalam surat khabar lama dan diikat dengan tali rafia. Buah betik yang masak ranum itu pula diletak dalam sebuah kotak. Sebelum ini, Makcik Enon juga ada memberi saya jeruk buah binjai.

Makcik Enon berkata, “Jeruk ini Makcik buat sendiri. Makcik jamin ia bersih. Insya Allah, awak makan tidak sakit perut.”

Makcik Enon seorang ibu tunggal. Umurnya lewat 60an dan kerjanya mengajar kanak-kanak di kampong mengaji Al Qur’an. Untuk menyara hidup,dia menjual jajan kepada kanak-kanak sekolah yang lalu-lalang di hadapan rumahnya. Saya selalu membayar zakat kepada Makcik Enon memandangkan dia layak menerimanya.

Dalam kehidupan seharian, kisah-kisah seperti yang saya ceritakan ini boleh dianggap perkara biasa. Bagaimana pun jika kita renungkan semula, ia boleh juga dianggap sebagai nikmat-nikmat kecil yang istimewa.

Cuba fikir semula : Selalukah orang mendapat peluang di bawakan nasi lemak ke rumahnya, khas untuknya menikmati sarapan pagi? Selalukah orang mendapat hadiah pucuk ubi dan buah betik dan si pemberi itu menunggu kedatangan kita dan memberinya dengan senyum manis? Selalukah orang mendapat peluang begitu?

Jika kita amati, ada banyak nikmat-nikmat kecil yang berlaku dalam kehidupan kita setiap hari. Semua itu boleh menceriakan hidup kita jika kita mahu menghargainya. Saya ada sebuah buku catitan yang saya beri nama Gratitude Journal. Di dalamnya saya catitkan perkara-perkara yang menggembirakan hati saya, meski pun hal-hal yang kecil saja. Kata orang, saat-saat gembira dapat memberi tenaga positif kepada kita. Jika kita selalu memberi fokus kepada perkara-perkara yang positif, hati dan jiwa kita akan tenang selalu.

Kata orang, hati kita sendiri akan ceria jika kita suka menceriakan hati orang. Saya yakin perkara ini benar. Apa pendapat anda?

3 comments:

  1. yer...
    kengkadang kita lupa..bahawa itu adalah
    satu nikmat dan rezeki yg tak ternilai buat kita..

    suka dgn kata kata ini...

    ReplyDelete
  2. jika kt ingin berfikir dan melihat dengan minda...nikmat yang tuhan berikan setiap saat bagai butiran pasir di pantai. tak terhitung byknye...

    ReplyDelete