Saturday, September 22, 2007

Bisnes MLM

Pernahkah anda menyertai mana-mana syarikat MLM? Mungkin anda salah seorang daripada beribu-ribu usahawan MLM yang sudah menempah kejayaan dan menikmati berbagai imbuhan mewah. Namun bagi diri saya, nasib kurang menyerlah dalam bisnes ini. Saya pernah mencubanya selama setahun tapi tidak menjadi.

Saya terlibat dalam MLM secara tidak sengaja awal tahun 2004 dulu. Pada suatu hari ketika sedang makan roti canai dengan suami di sebuah restoran, saya disapa seorang wanita. Dia meminta izin duduk semeja dengan kami kerana tiada tempat kosong lain di restoran itu.

Wanita itu bernama Lijah dan dia amat peramah. Sambil makan dia berbual dengan saya. Suaminya, Salim, bersembang dengan Zainal. Seronok pula kami berempat bersembang sampai tidak sedar masa sejam berlalu. Ketika hendak beredar, kami bertukar-tukar nombor telefon.

Seminggu kemudian, Lijah menelefon saya. Dia mengajak saya menghadiri majlis home party di Sebatu Inn. Katanya saya boleh belajar macam-macam perkara di sana terutama dari segi penjagaan kulit muka dan kesihatan. Petang Ahad saya pun pergi. Selain saya dan Lijah, ada 10 ke 12 orang lain yang datang.

Selepas mendengar taklimat, saya diminta mencuba alat-alat penjagaan kulit yang dipamerkan. Bermacam jenis barang Lijah tunjukkan, terpesona saya dibuatnya. Semua barang-barang itu ada fungsi tersendiri dan berkualiti tinggi. Harganya pun apa lagi, bak kata Azwan Ali dalam program ‘Cit-Cat’nya, amboi, amboi, amboi!

Lijah merekomen satu set barangan untuk kulit saya. Kerana tergoda, saya pun beli. Maka terkopaklah RM350 daripada dompet. Kata Lijah, andai saya mendaftar menjadi ahli, ia lebih menguntungkan. Antara faedahnya, saya boleh mengumpul poin dan jika cukup jumlahnya, layak mendapat bonus.

Minggu berikutnya, Lijah mengajak saya ke suatu majlis lagi dipanggil NDO atau New Distributors Orientation. Dia menawarkan diri mengambil saya dari rumah dan menghantar saya pulang selepas majlis itu. Kata Lijah, saya dijemput untuk mendengar sahaja. Apa ruginya mendapatkan ilmu dan maklumat baru. Lagi pun, majlis itu percuma, bukan kena tiket pun.

Untuk menjaga hati Lijah yang baik itu, saya pun pergi. Malam itu saya dikenalkan dengan uplines Lijah. Secara berseloroh, Lijah memanggil mereka bertiga itu E-N-M iaitu emak, nenek dan moyang!

Semasa majlis NDO berlangsung, banyak maklumat disampaikan oleh ‘nenek’ Lijah terutama mengenai membina impian besar, konsep syarikat MLM mereka, cara menduplikasi uplines dan bermacam lagi. Katanya melalui perniagaan MLMlah ramai orang biasa berjaya membina empayar kekayaan sehingga berstatus jutawan.

Lijah semakin kerap menghubungi saya. Kekadang dia ajak saya berdating di Deli France untuk minum petang. Saya dapati Lijah itu baik benar, suka berkongsi cerita dan berbincang hal-hal berkaitan masa depan. Setiap kali kami bertemu, Lijah meminjamkan saya berbagai kaset dan buku buku mengenai MLM. Antaranya…

- Wave 3, The New Era In Network Marketing tulisan Richard Poe

- The Parable Of The Pipeline

- How To Build A Large Successful Network Marketing Organisation

- Questions Are The Answers oleh Allan Pease

- Business School tulisan Robert T. Kiyosaki; dan

- Copycat Marketing 101

Saya memang gemarkan buku. Apabila dapat buku, macam tikus jatuh ke beraslah saya, bergolek gelantang di atas katil atau di sofa membaca. Lepas satu buku, baca satu lagi, sampai habis. Dalam dua minggu saja semuanya selesai. Pada suatu hari Lijah mengajak saya berjumpa dengan ‘emak’nya (upline) di Sebatu Inn.

Dalam perjumpaan itu otak saya di ‘cuci’ hampir dua jam. ‘Emak’ Lijah menerangkan tentang pelan pemasaran syarikat MLM mereka. Berkali-kali dia katakan rugi besar andai saya melepaskan peluang keemasan di depan mata. Setelah ‘kena goreng’ saya mengambil keputusan menyertai syarikat itu sebagai ahli biasa. Maka jadilah saya downline atau ‘anak’ Lijah.

Sebulan menjadi ahli, Lijah memujuk saya jalankan bisnes itu secara sambilan. Alang-alang menjadi ahli, apa salahnya buat bisnes sekali, kata Lijah. Setelah kerap didesak, saya bersetuju mencuba. Niat asal saya sekadar mecari pengalaman baru. Selama ini saya hanya mendengar cerita orang dan membaca buku-buku MLM tetapi tidak pernah menceburi MLM secara langsung.

Menurut cerita Lijah, buat bisnes MLM tidak susah. Cuma ada 7 perkara wajib perlu dibuat setiap hari. Iaitu mendengar tape, membaca buku, menggunakan semua produk, membuat jualan runcit, menghadiri semua mesyuarat, menghubungi upline setiap hari dan menunjukkan pelan pemasaran kepada kenalan baru.

Lijah berjanji akan membantu saya. Saya disarankan menduplikasi semua cara yang dia ajarkan. InsyaAllah, kata Lijah, jika menduplikasi caranya 100%, saya boleh berjaya dalam bisnes MLM itu. Kunci kejayaan ialah kena tiru apa dia buat 100%.

Modal untuk memulakan bisnes itu lebih kurang RM2,000. Ia digunakan untuk pembelian sebuah beg dipanggil ‘kedai bergerak’ berisi beberapa produk asas dan peralatan untuk digunakan ketika membuat demonstrasi kepada bakal pelanggan.

Dengan memiliki ‘kedai bergerak’ itu saya pun bergelar business builder. Sejak itu saya menghadiri program latihan dan mesyuarat mingguan bersama ‘emak’ dan ‘nenek’ saya. Dalam seminggu, kami bertemu secara tetap sebanyak dua kali. Namun antara saya dan Lijah, kami berhubung melalui telefon setiap hari. Kekadang kami pergi ke KL dan ke JB untuk sesi ceramah, konvensyen, rally pengiktirafan dan sesi promosi produk.

Saya kemudiannya disaran menghantar permohonon untuk menjadi Executive. Dengan status itu, barulah saya dapat menikmati bonus. Syaratnya ialah saya perlu mencukupkan jualan terkumpul sebanyak RM30,000 dalam tempoh 6 bulan. Saya terlepas pandang satu hal penting. Iaitu syarat kuota jualan minima bulanan sebanyak RM8,000 dikuatkuasa serta-merta apabila saya menjadi Executive.

Lijah tidak perjelaskan syarat itu secara khusus dan saya sendiri terlepas pandang. Andai menyedari lebih awal, pasti saya tidak bersetuju memohon menjadi Executive pada waktu itu. Tindakan itu terlalu awal buat saya yang masih belum cukup bersedia untuk berdepan dengan berbagai kerenah dan cabaran bisnes MLM.

Daripada 7 perkara wajib yang perlu dilakukan saban hari, ada dua hal sukar betul mahu buat. Yang pertama, mengekalkan jualan runcit sebanyak RM8 ribu sebulan. Yang kedua, menunjuk pelan pemasaran kepada kenalan baru. Bukan saya tidak cuba membuat temu janji dengan sahabat-handai dan saudara-mara. Namun sasaran saya selalu tidak mengena.

Sepanjang minggu menghubungi kawan, saudara dan sesiapa saja yang saya kenali, mengajak mereka datang ke majlis home-party atau majlis NDO. Ada yang berjanji mahu hadir tapi kemudian membatalkan di saat akhir. Daripada 10 orang yang saya hubungi, biasanya 9 orang mengatakan tiada masa mahu datang.

Hendak cari 10 orang baru untuk dihubungi setiap minggu bukannya senang. Jeran betul saya. Setiap bulan saya membeli stok untuk mencukupkan target jualan minima. ‘Emak’ dan ‘nenek’ yang sarankan buat begitu supaya saya tidak hilang kelayakan sebagai Executive. Oleh kerana prestasi tidak menyerlah, selalulah saya ditegur para uplines.

Saya dikata tidak patuh 100% dalam menduplikasi teknik-teknik yang mereka ajarkan. Memang saya akui tidak boleh hendak menduplikasi cara mereka itu 100%. Bukan kerana malas atau suka memandai sendiri, tapi kerana sifat semulajadi saya tidak suka memaksa orang. Saya rasa malu dan tebal muka menelefon orang berulangkali sedangkan orang dihubungi itu cuba mengelak.

Kata uplines saya, ketika membuat temujanji dengan orang dihubungi, jangan sekali-kali beritahu mereka yang saya mahu tunjukkan produk atau pelan pemasaran. Sebaliknya, katakan pada mereka saya mahu kongsi satu peluang keemasan.

Jika mereka bertanya lebih lanjut tentang peluang keemasan itu, jangan beritahu apa-apa pun. Biarlah rahsia bak lagu Siti Nurhaliza! Tujuannya supaya orang-orang yang dijemput itu berasa suspens dan dapat tahu sendiri ketika mereka datang ke majlis NDO. Bagi saya, taktik itu kelakar betul!

Bagi saya, apabila orang asyik bertanya atas urusan apa saya menjemput mereka, saya beritahu hal sebenar. Jika mereka tidak mahu datang atau tiada masa, saya jemput mereka datang di minggu berikutnya.

Uplines kata cara saya salah. Mereka suruh saya pujuk orang-orang itu sampai mereka kata ‘ya’. Bagi saya jika orang tidak mahu, sudahlah. Buat apa mahu paksa mereka. Macam tidak reti bahasa. Uplines kata saya kena bersikap persistent. Selagi saya tidak patuh menduplikasi cara mereka 100%, bisnes saya tidak akan menjadi.

Sesetengah kenalan yang saya hubungi memberi alasan mereka tiada duit untuk beli produk kesihatan yang saya tunjukkan. Setelah melihat sendiri gaya hidup dan keadaan rumah masing-masing, memang saya akui mereka kurang mampu dari segi kewangan.

Uplines kata saya perlu menekankan kelebihan fungsi produk sehingga bakal pelanggan merasa berbaloi membelinya walaupun mahal. Entahlah. Saya sendiri tidak suka dipaksa-paksa, macam mana mahu buat begitu kepada orang lain.

Satu isu lagi ialah sesetengah pelanggan suka berhutang. Apabila tiba masa membayar, mereka mengelat. Macam-macam alasan diberi, sampai 2 ke 3 bulan baru diselesaikan hutang. Cekik darah betul…

Beberapa kali saya ditegur secara terbuka kerana datang sedikit lewat ke mesyuarat mingguan yang bermula tepat jam 8:00 malam. Kata ‘nenek’, saya tidak berdisiplin. Dia memanggil saya slow coach. Apabila saya beritahu perlu solat maghrib terlebih dahulu sebelum datang ke mesyuarat, dengan selamba dia menjawab begini. . .

Norlela, tell God you’ll pray later. He’ll understand. I always do that. I just pray in my heart first. Why not pray when you go home after the meeting?”

‘Nenek’ menjeling apabila saya kata solat maghrib tidak boleh ditangguh, kena tunaikan segera pada waktunya. Apabila kami ke KL atau JB sekereta, lagi timbul isu. ‘Nenek’ tidak mahu berhenti di surau R&R untuk kami yang Muslim menunaikan solat jamak. Dia suruh kami solat setelah balik ke rumah untuk menjimatkan masa.

Di sepanjang perjalanan ke KL atau JB itu, ‘nenek’ bercerita hal bisnes MLM saja. Tentang produk itu dan ini. Atau pun dia mainkan berbagai tape mengenai hal yang sama. Katanya, untuk berjaya dalam bisnes MLM, kami kena penuhkan masa dengan aktiviti berguna. Suatu ketika dalam mesyuarat mingguan kami, ‘nenek’ memberi nasihat berikut. . .

Please remember, ours is a serious business. Clients are our assets. When they call, no matter how busy you are, immediately answer them. Even if your baby’s crying at that time. Attend the client first. Remember, the baby is a liability. The client is an asset.”

TAKSUB. Itulah ungkapan yang paling sesuai diberikan kepada ‘nenek’ MLM saya. Ketaksubannya cuba diterapkan kepada downlinesnya dan itu menimbulkan rasa bosan. Seolah-olah dalam hidup ini tiada hal lain lebih penting daripada produk dan bisnes MLM itu saja. Dalam otaknya hanya ada perkara itu dan dia mahu sifatnya diduplikasikan 100%. Aduhai…

“Muak, muak, muak! Cucu dah muak sangat ni, nenekku sayang! Siang malam, kau tak ada cerita hal lain. Pening kepala gua ni,” jerit hati saya.

Apabila hal ini saya suarakan kepada Lijah, dia diam saja. Kata Lijah, saya jangan ambil hati sangat dengan kerenah ‘nenek’. Dia ingatkan saya, mengikut etika, downlines tidak boleh bercakap hal-hal negatif tentang uplines. Lijah menasihati saya menurut saja cakap ‘nenek’.

Katanya tujuan dan niat ‘nenek’ sebenarnya baik. Lagipun menduplikasi uplines 100% amat penting. Tapi terus terang saya tidak boleh ikut peraturan itu. Kata Lijah, saya tiada pilihan sebab ‘nenek’ itu upline kami. Suka tidak suka saya kena terima dia. Jadi, macam mana saya ini?

Bagi Zainal isu itu kecil saja. Jika tidak sesuai, tarik diri. Sedang kami berbincang, Lijah menelefon beritahu ‘nenek’ mahu buat mesyuarat tergempar pada malam Isnin jam 8:00. Malam Selasa, ada majlis NDO di Sebatu Inn.

Ketika itu awal Ramadhan (2004). Saya beritahu Lijah tidak dapat hadir. Saya mahu kurangkan aktiviti sebelah malam supaya dapat bersolat terawih di masjid. Anda mahu tahu apa jawapan Lijah? Alahai, macam biasalah juga.

Dia buat tidak reti bahasa. Lijah itu bukankah sekutu rapat ‘nenek’ MLM saya… Katanya : Lela buat solat terawih di rumah sajalah lepas meeting nanti. Tidak payah pergi masjid pun boleh. Jangan tidak datang ya. See you there!

Kedua-dua majlis NDO dan mesyuarat itu saya tidak hadir. Saya hantar sms memberitahunya mahu bercuti sepanjang bulan puasa. Itu saja. Tapi macam biasa Lijah buat tidak reti bahasa. Namun saya terus matikan diri. Saya tidak jawab satu pun panggilan telefon Lijah mahu pun ‘nenek’.

Pesanan suara dan sms daripada mereka berdua datang bertalu-talu ke mail box tapi langsung tidak saya hiraukan. Satu pun saya tidak layan. Saya pekakkan telinga terus. Selama ini saya terlalu menjaga hati mereka. Susah benar mulut saya mahu ucapkan NO!!!!, hingga sikap mereka yang suka mendesak itu menjadi-jadi.

Saya mahu tengok sejauh mana sikap persistence mereka itu. Sesungguhnya mereka memang tidak mudah give up. Mereka terus telefon saya bertalu-talu tapi hati saya sudah bulat. Saya bertekad untuk mematikan diri terus sepanjang bulan Ramadan itu.

Selepas hari raya, saya maklumkan kepada Lijah yang saya tidak mahu bergerak aktif lagi. Terus-terang dan tanpa berselindung saya terpaksa mengakui bahawa saya hilang minat dan tidak mahu teruskan bisnes itu. Mungkin bisnes MLM tidak sesuai dengan jiwa saya.

Kepada anda yang berjaya di dalam MLM, saya ucapkan TAHNIAH! Sesungguhnya anda mempunyai semangat cukup kental. Bagi saya, bukan semua orang boleh menjalan bisnes MLM. Seperti mana membina kerjaya di bidang lain, tidak ada jalan mudah untuk berjaya dalam bisnes ini melainkan melakukan dengan penuh minat.

Bagi diri saya, keputusan menarik diri mungkin paling baik. Buat menyemak saja saya dalam bisnes MLM ini. Sikap terjal dalam menghadapi segala kerenah dan cabaran yang datang bersamanya tidak wujud dalam diri saya.

Kepada para uplines yang banyak membantu saya mengenali dunia MLM, saya ucapkan ribuan terima kasih. Maafkan saya di atas segala kesilapan dan kekasaran terutama sekali ketika saya mematikan diri sepanjang bulan Ramadan 2004 dulu.

Teruskanlah perjuangan anda. Saya doakan semoga anda meraih kejayaan yang dicari-cari selama ini. Walau pun tidak berjaya di dalam bisnes ini, sekurang-kurangnya saya mencuba dan mendapat serba-sedikit pengalaman berguna.

Kepada Lijah, janganlah berkecil hati dengan saya. Sekali-sekala (lepas raya nanti) jomlah kita pergi minum kopi dan makan roti sandwic di Deli France. Saya sudah terasa rindu hendak makan garlic bread cicah dengan mushroom soup

5 comments:

  1. MLM : adalah satu ruang bisnes yang ada keunggulannya yang tersendiri yang sukar diungkapkan. Bukan mudah untuk menaak ke tangga yang teratas dalam MLM.

    Dalam bidang ini juga membuatkan kita mengenali pelbagai watak dan ragam manusia. Ilmu kemanusiaan yang pelbagai juga kita akan pelajari di dalamnya.

    Namun, kekentalan jiwa dan raga memainkan peranan penting dalam bidang in. Menempuh pengalaman itu adalah lebih baik daripada mendegar cerita orang sahaja....kan?

    azlanlin.

    ReplyDelete
  2. Puan nZ,

    'kan semangat MLM itu Mesti Ligat Menggoda dan Melintang Lalu Melibas!

    justeru, kalau citarasa macam-macam kita ni... ia akan jadi Malas Lagi Meloyakan!...dan jika diteruskan Menyeksakan! Lalai! Merana!...

    cuba lihat blog 'terapi bio-magnetik'... ia hanya sekadar membantu seorang anak muda yang berpotensi tinggi dalam MLM - tukang gunting rambut tetap (sejak jadi OKU sekejap 2 tahun lepas)...

    (terkenang pulak kes anak-anak Sabtu & Zuliannya 10 tahun dulu...)

    beliau kini memang sudah mencapai bayaran bonus harian max, jualan gelang magnetnya RM30k-RM50k seminggu - walaupun sekolah setakat SPM tetapi kepalanya sarat dgn strategi bisnes mampan, mengalahkan orang ada MBA!

    Mengikut congaknya, dalam 12-18 bulan lagi ia akan bertaraf jutawan... katanya "kalau pasal cari duit, dia boleh sanggup tak tidur!" - 80% masanya mengadap laptopnya.

    jadi blog itu kini sebagai sumber promosi MLMnya, dan jika strategi menjadi, ianya akan jadi e-Commerce (apabila urusan pembayaran bonus on-line dibereskan e-Dymium, pembekal milik 100% Bumiputra yang ada kilang di China)... dan masa tu kita tompang sekaki jerrr.. (internet biz orang tak nampak kita!)

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum.

    Betul Azlin, pengalaman sendiri adalah guru sebenar.

    Tn Sifu Sabtu guna otak yang kreatif untuk menolong orang, banyak dapat pahala, insyaAllah.

    ReplyDelete
  4. puan nerlela zubir
    assalamualaikum wr,wb,
    bidang usaha apapun perlu keyakinan, apalagi untuk bisnis MLM, karena ini bisnis kita sendiri,bukan bisnis up-line, saya pikir jalankan terus walaupun tidak sepeneuh waktu.

    ReplyDelete
  5. akum akak. kalo akak nak mencuba buat bisnes, saya ada bisnes yang cukup bagus. ini bukan MLM @ direct selling. boleh buat duit. margun keuntungan yang cukup 'mengagumkan' dan lagi satu bisnes nie tak push orang supaya perform. kalo rajin banyak le incomenya. macam saya nie buat part time je. boleh le email kat saya di ua121203@gmail.com, kalo akak berminat. sekian, wassalam.

    ReplyDelete