Monday, September 17, 2007

Makcik Kantin

Suatu hari seorang kawan menelefon saya dan bertanya sama ada saya berminat untuk menyertai sebutharga kantin sekolah. KANTIN SEKOLAH??? Huh, tidak pernah terfikir pun saya akan hal seperti itu. Boleh untungkah? Alahai, sekolah rendah, berapa senlah yang boleh dapat agaknya.

Bermacam soalan negatif timbul di kepala saya. Tapi kerana mahu menjaga hati kawan, saya katakan saya minat. Dia pun belikan borang sebutharga untuk saya. Harganya RM10 saja. Semasa hendak mengisi borang tersebut, kawan saya itulah yang membantu. Dia seorang guru, sudah biasa makan di kantin dan tahu lebih-kurang harga semasa.

Mahu jadikan cerita, sebutharga yang saya masuk itu berjaya!!! Semasa mendapat surat tawaran, saya seronok sekali. Tapi, apabila mahu memulakan perniagaan, timbul satu isu baru. Saya malu bergelar MAKCIK KANTIN!!! Perasaan malu saya memuncak ketika pergi ke pejabat sekolah itu untuk menanda-tangan surat perjanjian.

“Puan, ORANG KANTIN BARU sudah datang. Dia nak sain kontrak,” kerani sekolah memanggil Guru Besar.

“Apa??? Orang kantin? Alamak, dia panggil kita orang kantin,” saya berbisik sambil mencubit peha Zainal.

“Memanglah, habis tu dia nak panggil kita apa?” Zainal ketawa.

Bermula Januari 2002, dengan rasminya saya menjadi MAKCIK KANTIN. Guru-guru di sekolah itu pula memanggil saya KAKAK KANTIN. Kalau dulu di pejabat orang panggil BOS atau PUAN HAJJAH, bermula saat itu sudah bertukar MAKCIK KANTIN! Saya tidak suka dengan gelaran baru itu yang buat saya terbayang seorang perempuan gemok dengan apron plastik serta mukanya berminyak-minyak. O tidakkkkk!!! Saya mesti ubah persepsi itu dan meminta pandangan Zainal mengenainya…

“Macam ini tak boleh jadilah, Bang. Saya mahu jadi Makcik kantin glamer : bergaya, pakai bedak, gincu dan minyak wangi, okey tak???”

Zainal tersenyum sambil menggeleng kepala. Mungkin dia menyampah atau meluat dengan kerenah saya, wallahualam. Yang pasti dia tidak pula marahkan saya. Malah dia kata, buatlah apa pun asalkan hati saya bahagia! Untuk makluman anda, kantin saya itu diberi nama BEAR HUG CAFÉ.

Murid-murid di SKBB ramainya lebih seribu orang, tidak termasuk guru-guru dan kakitangan pejabat. Saya menggaji 8 orang pekerja termasuk seorang tukang masak yang handal dari Kampong Krubong. Kesemua pekerja yang saya gaji itu jenis yang tahan lasak dan kuat bekerja.

Sejak berniaga di kantin, saya selalu ke pasar borong dan gudang pemborong barang runcit. Sekurang-kurangnya seminggu 2 kali. Rakan niaga saya pada masa itu termasuk Azmi Ayam, Rahman Keropok, Ramu Telor, Aunty Sayur, Menantu Asoh, Balan Roti dan Siah yang jual belacan serta sayur kampong di kaki lima pasar borong. Apabila kami sudah saling kenal-mengenali, saya membuat pesanan bekalan melalui telefon saja kerana sudah ada good rapport dan networking.

Pada mulanya saya agak kekok. Barang-barang jualan di kantin semuanya murah-murah belaka, dalam lingkungan 20 sen hingga RM1. Hari pertama berniaga, saya terkejut besar. Sebaik saja loceng waktu rehat berbunyi, budak-budak terus menyerbu ke kantin macam ikan piranha nampak mangsanya.

“Makcik… nak nasi lemak!!! Makcik… nak mi gorenggg!!!” jerit kanak-kanak yang ramai itu.

“Ya sayang, Makcik ambikkanlah ni. Tolong sabar sikit,” lembut Kak Peah dan Kak Nureen menjawab.

“Makcikkkkkk! Nak milOOOO!”

“Makcikkk! Nak ayam goreng! Nak sirap! Nak kacang pedas!”

“Makcikkk! Nak tambah sambaLLLLL!”

Haru biru suara budak-budak yang ramai itu lagi. Namanya pun budak-budak, andai tidak menjerit dan tidak berebut, memang tidak sahlah!

“SaBAUUUUUU!!! Tangan Makcik dua aje ni. Aku cubit kau kang, nakkk??”

Kak Limah menggertak budak-budak itu, kemudian marahnya disusuli dengan ketawa ceria. Tangan-tangan kecil berebutan menghulur duit, bersilang-silang. Yang baru mulai sekolah terkial-kial membilang duit syiling. Yang lebih besar, terus menolak hendak ke depan. Lapar sangat nampaknya mereka semua, macam sudah tidak makan 100 hari!

Pekerja-pekerja saya tidak menang tangan melayan pelanggan-pelanggan kecil kami. Tapi itu hal budak-budak. Di dalam kantin pula, para guru pun tidak kurang hebatnya. Mereka lapar juga dan sama sibuk menjamu selera. Begitulah halnya suasana di kantin saya setiap hari antara jam 10.15 hingga 11.15 pagi. Selepas tamat waktu rehat, giliran pekerja-pekerja saya pula makan dan melepaskan lelah sebelum menyambung semula kerja masing-masing.

Anda mahu tahu berapa jualan seharian di kantin sekolah rendah? Andai tidak berniaga sendiri saya pun tidak tahu. Sebenarnya agak lumayan, lebih kurang RM900 sehari dan semuanya TUNAI. Nampak saja kantin itu kecil dan tidak glamer, maklumlah kantin sekolah. Tapi pulangan urusniaganya baik. Hari-hari saya bawa pulang bercekak-cekak duit kertas RM1 yang sudah siap bersusun dan berikat dengan getah. Setiap ikat bernilai RM100. Duit syiling pun bertimbun banyaknya.

Setelah dua tahun (2002-2003) berniaga di SKBB, kontrak saya pun tamat tempoh. Sayangnya saya tidak berjaya di dalam sebutharga yang baru. Namun saya bersyukur kerana memperolehi pengalaman berharga yang dapat saya kongsikan bersama anda di sini.

Saya teringat buku ‘Menjejaki Jutawan Senyap’ karya Dr. Rusly Bin Abdullah alias Chef Li yang pernah mengajar saya memasak masakan barat suatu ketika dulu. Saya mengikuti kursus beliau di Seremban.

Kata Dr. Rusly dalam bukunya : Jangan dipandang sengkek orang yang berniaga kecil-kecilan. Ramai peniaga pasar malam dan warung di tepi jalan yang bertaraf jutawan. Tapi mereka digelar jutawan senyap sebab tidak heboh-heboh.

Ada satu kenangan manis yang ingin saya coretkan di sini. Pada suatu hari semasa menjadi MAKCIK KANTIN dulu, saya mengikut kawan saya, Kay, menghadiri satu seminar di Hotel Century Mahkota di Banda Hilir. Tajuk seminar itu ialah Dinar and Dirham Based Economy : An Alternative to the Present Economy.

Teman-teman Kay yang menganjurkan seminar itu. Saya turut membantu mereka dalam urusan pendaftaran para peserta. Disamping membantu, dapatlah saya tumpang sama mendengar. Antara yang hadir di seminar itu ialah beberapa orang pensyarah MMU. Semasa tea break, salah seorang pensyarah wanita dari MMU itu menyapa saya.

Excuse me, can I ask you something, please? My daughter here said she knows you. She keeps saying that you’re her MAKCIK KANTIN!”

Saya tergamam sebab tidak menyangka ada insan yang kenal pada saya dalam bilik seminar itu. Belum pun sempat saya menjawab, wanita itu menyambung lagi…

I told my daughter, how come? What is your MAKCIK KANTIN doing here? May be wrong person. But she insisted you are her MAKCIK KANTIN!”

Dia perkenalkan anaknya kepada saya. Budak perempuan itu menemankan ibunya ke seminar berkenaan sementara menunggu masa hendak ke pusat tuition. Melihat wajah gadis sunti itu, terus saya dapat cam. Dia murid tahun 6 di SKBB dan memang salah seorang pelanggan tetap saya! Seterusnya anda ikutilah dialog berikut…

Curious Mom : I just want to check with you. Betul ke awak MAKCIK KANTIN di sekolah my daughter? Apa awak buat di sini?

Saya .. .. : Betul, puan. Saya tauke di kantin SKBB.

Curious Mom : Eh, ye ke? Dah tu awak buat apa di seminar ni???

Saya .. .. : Oh, kisahnya begini, puan... bla… bla… bla…

Bukankah saya sudah katakan, persepsi tentang MAKCIK KANTIN di mata masyarakat umum lain sedikit. Mana ada MAKCIK KANTIN hadir seminar di hotel berkaitan dengan isu kewangan seperti Dinar Emas!!!

Untuk makluman anda, Curious Mom itu ialah Puan Maimun Simun (Mun) yang kini menjadi sahabat baik saya. Kami kini sama-sama berguru dengan Puan Sifu untuk menjadi penulis yang turut bersama-sama dalam misi memandaikan bangsa, InsyaAllah.

3 comments:

  1. As I remembered, I asked you "buat apa di sini?" just out of curiosity. Not at all putting a stigma on the "makcik kantin" title. Minta maaf kalau begitu bunyinya. BTW, did I tell you, I ni anak makcik kantin SMT Keningau.

    ReplyDelete
  2. Jangan risau, my dear. Tidak ada apa-apa pun dengan gelaran MK. Saya yang ada isu 'esteem'!!! For your information, I thought you were cute to be curious!!!

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum Pn Norlela,
    Pn ni memang sesuai jadi penulis sebab gaya penceritaan tu selamba dan kelakar. Saya ketawa lagi pasal kantin tu...Memang baju kat almari tu berderet tetapi saya rotate 1 helai 2 malam sebab saya meghrib dan Isyak di masjid depan rumah ni..la ni lagi teruk 1 helai 1 malam sebab terawih tu berpeluh lencun nak habis 23 rakaat.
    Salam Pn sudah saya sampaikan kat orang rumah. Macam biasalah dia...low profile.Saya dan isteri tak pernah pandang kecil peniaga kecil-kecilan ini...apa pun gelarannya...mungkin kerana saya menyanjungi usaha niaga mereka.Lagipun makcik kantin tu lebih kaya dari saya....sebab hari-hari dia dapat duit sedangkan saya sebulan sekali je.Selamat berpuasa.

    ReplyDelete