Thursday, September 13, 2007

Rumah

Tahun ini rakan saya, Nia dan familinya akan berhari raya di mahligai baru mereka. Rumah stail Tudor itu kosnya RM??? juta. Kelmarin Nia kirim mesej memberitahu dia akan adakan rumah terbuka pada bulan Syawal nanti. InsyaAllah panjang umur saya akan penuhi undangannya.

Beberapa minggu lalu, Nori mengajak saya ke rumah Kartini di Ozana Impian. Rumah agam dua tingkat itu berbilik banyak dan besar-besar belaka. Bilik tidur utamanya sudah sebesar ruang tamu + ruang makan di rumah saya. Bilik-bilik airnya secantik hotel 5 bintang, ruang dapur (wet & dry), taman bunga dihiasi kolam air pancut berbentuk hati, aduhai, sepadanlah dengan kosnya yang bernilai RM??? juta.

Sabtu lalu, Mun menunjukkan rumah Zaharah yang dirakam di telefon bimbitnya. Terleka mata menikmati ruang-ruang indah di rumah Zaharah yang berstail Bali. Semua sudut sedap mata memandang. Pemiliknya seorang arkitek dan citarasanya diabadikan di mahligai impian itu.

Semalam dan kelmarin saya berkunjung ke rumah beberapa orang ibu tunggal (IT), menghantar wang zakat dan sedikit buah tangan untuk mereka menyambut Ramadhan. Rumah PPRT milik Kak Nureen seperti kotak, masuk sahaja ke ruang tamu sudah nampak dapur dan bilik tidur. Meski perabut yang ada tidak seberapa, kelihatan rumah itu sempit benar.

Kak Nurren seorang IT yang menyara 2 anak melalui pendapatan menjaga anak-anak jiran. Senyumannya masih manis menyambut kedatangan saya meski pun rengekan anak-anak kecil di pangkuannya membingitkan telinga.

Rumah teres Midah yang kusam bagaikan tenggelam diapit rumah-rumah bersebelahan. Dia juga IT, menyara 4 anak dan seorang ibu tua dengan menjaga anak-anak jiran. Bicara Midah tetap ramah-tamah menyambut saya dan Mak. Kami sampaikan sedikit buah tangan untuk mereka.

Seterusnya saya menziarahi Sitinor, IT beranak empat dan Sal, IT beranak 3 yang menjadi tukang cuci di CIMB Jalan Hang Tuah. Tidak banyak bezanya kediaman mereka berdua berbanding Kak Nureen dan Midah.

Tengahari tadi saya ke rumah Makcik Enon yang tinggal sendirian di rumah usang peninggalan arwah suaminya. Dia gembira menyambut kedatangan saya. Sebelum pulang, saya minta dia ber'posing' di depan kamera (gambar di atas).

Saya teringat kata-kata Mun : Rumah sebesar mana pun, secantilk mana pun, ia tetap hanya sebuah rumah. Yang penting adalah menjadikannya "rumahku, syurgaku. Baiti jannati". Rumah yang saya diami sekarang sudah berusia 16 tahun. Di mata saya, ia masih manis.

Mun bertanya : Lela tak mahu buat rumah baru? Soalan yang bagus, jawab hati saya. Kalau ada juta-juta RM, apa salahnya!!! Namun realitinya juta-juta RM itu tidak ada. Lalu saya jawab : Mun, rumah ini sudah memadai buat saya. Sebenarnya itu alasan 'sour grapes'!

4 comments:

  1. Salam sejahtera,

    Memang seronok mempunyai rumah besar yang cantik.

    Bagaimanapun, saya bercita-cita untuk pulang ke Jementah [kampong isteri] bagi menjaga Mak dan Bapa Mertua pada ketika mereka sudah tidak bermaya nanti.

    Saya mahukan rumah saya di sana, sebuah rumah yang aman, damai dan tenteram untuk saya menulis dan membaca. Ia seharusnya kecil dan comel!

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Prof,
    Mudahan-mudahan Allah makbolkan cita-cita Prof itu, insyaAllah.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum Pn Norlela,
    Saya selalu nak ketawa baca entry yang Pn tulis ada masam manis dalam tulisan tu.Sesekali pahit juga.
    kalaulah saya kaya raya,tentulah saya bina rumah berjuta buat isteri dan anak-anak saya ,sayangnya saya tidak sekaya itu .Anehnya isteri saya tidak pernah meminta walaupun sebuah rumah teres.Katanya ,dimana saya di situ dia ,jika itu rumah yang saya sediakan ,itulah syurga baginya.Tahun depan saya kan berpindah ke rumah baru jika ada umur dan rezeki...tentunya isteri saya macam itu juga...rumah tetap rumah..tak ada beza asalkan ada saya...cuma dia pernah bertanya ,di syurga nanti ..kita tinggal bersama ke?

    ReplyDelete
  4. Waalaikum salam EF,
    Apabila mengenangkan umur semakin senja dan entah berapa lagi bakinya, tertutup sebahagian kemahuan untuk itu dan ini.

    Memang betul EF, di sini (kalau boleh) kita mahu miliki semua yang hebat2, tapi di sana nanti, wallahualam.

    Selamat berpindah ke rumah baru. Bersyukurlah tuan memiliki isteri yang menghargai kebahagian dan kasih-sayang sejati, dunia dan akhirat.

    ReplyDelete