Assalamualaikum. Sudah lebih seminggu saya tidak menulis di sini. Hendak dikatakan saya beraya sakan tidak juga. Namun hari-hari yang cepat berlalu penuh terisi dengan aktiviti melayan tetamu dan pergi berziarah.
Hari Raya terasa lebih bermakna ketika meraikan sanak saudara dan sahabat handai yang datang berkunjung ke rumah. Saat adik-beradik, ipar-duai dan anak-anak saudara berkumpul di rumah menjadi kenangan manis setiap tahun.
Kelmarin rumah saya dikunjungi sebuah keluarga besar yang pada mulanya tidak saya kenali kerana lama tidak bertemu.
Mereka adalah balu, anak-menantu dan cucu kepada bekas pekerja di syarikat keluarga saya. Arwah Mahamat meninggal dunia lebih sedekad lalu ketika memandu lori dalam perjalanan pulang menghantar kawat duri di Beserah, Kuantan, Pahang. Allahyarhamhu diserang sakit jantung.
Ketika beliau meninggal dunia, anak-anaknya yang 9 orang itu masih bersekolah. Kini masing-masing sudah dewasa dan beberapa orang sudah berumahtangga. Saya tidak sangka mereka masih mengingati sedikit usaha kami yang menguruskan pencen SOCSO dan pengeluaran wang KWSP ayah mereka.
"Terima kasih banyak, Makcik Lela dan Pakcik Zainal. Dengan duit pencen Abah itulah kami dapat menampung hidup dan belanja sekolah," kata Angah yang kini bertugas sebagai seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta.
Saya merasa gembira melihat anak-anak arwah Mahamat yang kelihatan terurus dan menjaga ibu mereka dengan baik. Kata Kak Asmah, beliau sentiasa mengingatkan anak-anaknya tentang kami, bekas majikan ayah mereka. Apa lagi yang dapat saya katakan selain mengucap syukur kepada Allah. Dialah yang sebenarnya membantu mereka, bukan kami.
Secara kebetulan pada Hari Raya tahun ini saya sempat bertemu beberapa orang sakit. Ada yang menderita sakit tua dan ada yang mengidap penyakit kronik. Semalam kami ke Kg. Majidee untuk menziarahi kawan lama Zainal yang kini sakit : lemah jantung, kencing manis, darah tinggi, gout, lelah dan entah apa lagi.
Saya leka mendengar Encik Malekal bercerita tentang penyakitnya. Termasuk kisah dia lari dari hospital, melawan cakap doktor, menghisap rokok di tandas wad, mencuri-curi makan dan minum sirap ketika diarahkan berpuasa oleh jururawat dan macam-macam lagi. Degil sungguh dia, bagaimanalah penyakitnya mahu sembuh! Isterinya sungguh penyabar melayan si suami yang banyak keletah itu.
Di Plentong kami menziarahi Bibik Timah, ibu saudara Zainal yang juga sakit. Dia amat kurus tetapi terurus dengan baik. Berkali-kali airmatanya menitis mengenang dirinya yang tidak bermaya untuk bergerak seperti dahulu. Saya sedih melihatnya menggenggam tangan Zainal seperti tidak mahu dilepaskan ketika kami memohon diri untuk pulang.
Saya sendiri pernah sakit selama berbulan-bulan. Pengalaman itu masih melekat di ingatan. Lazimnya orang sakit cepat terasa hati dan bersikap pesimis. Mereka kehilangan nikmat sihat dam amat memerlukan dorongan, kata-kata yang lembut dan telinga yang sanggup mendengar segala rintihan dan keluhan.
Bagi yang tidak mengerti atau kurang sabar, melayani orang sakit amat membosankan. Ya, bukan mudah untuk berempati dengan mereka yang sentiasa bersikap pesimis terhadap hidup dan masa depan. Sebagai iktibar, hargailah apa yang kita ada selagi masih memilikinya. Nikmat sihat itu amat perlu disyukuri dan dijaga sebaik mungkin.
No comments:
Post a Comment