Yang baik boleh dijadikan teladan. Yang sebaliknya kita timbangkan sendiri. Diharap anda juga berfikiran sama. Janganlah kita bersikap prejudis. Tiada salahnya mendengar pendapat orang lain. Sekurang-kurangnya kita akan lebih berhati-hati ketika membuat keputusan untuk bisnes yang sedang kita usahakan.
Isu 'Impak Persekitaran Yang Berubah' mendapat respon daripada seorang pengunjung blog ini. Pandangan peribadi beliau yang mungkin berguna untuk kita semua, saya paparkan di sini untuk dikongsi bersama pembaca lain...
Assalamualaikum,
Puan Norlela,
Saya tahu tentang gerai makanan Encik Aziz cuma saya tidak pasti kedainya yang mana satu. Tapi kalau dia yang jual nasi lemak setiap pagi, memang saya kenal sangatlah sebab saya dan keluarga sering makan di situ dan dia satu-satunya yang berniaga nasi lemak dan lauk-pauk di situ. Dan jika benar, En. Aziz itu kini meneruskan perniagaan restorannya dengan menyewa kedai di hadapan gerai lamanya. Saya simpati juga dengannya sebab gerainya belum setahun pun diubahsuai sudah terpaksa dirobohkan atas arahan MPAJ.
Berkaitan masalah Encik Aziz, perkara ini ada pro dan kontranya. Jika kita ingat balik kes Pak Ali Lemang (yang berniaga di Jalan Hulu Kelang satu ketika dulu), beliau juga menjual lemang dengan berjaya hingga namanya menjadi jenama. Namun, apa jadi kepada perniagaannya apabila pemaju membeli tanah yang didudukinya selama puluhan tahun itu?
Sebenarnya, saya hendak mengajak puan berfikir tentang mentaliti orang Melayu, apa yang membezakan kita dengan peniaga Cina. Saya tidak pandai kerana saya pun bukan peniaga. Apatah lagi, umur saya belum cecah 30 pun. Namun saya harap, puan sudi berkongsi pandangan saya ini.
Orang Melayu, suka berniaga dengan cara En. Aziz dan Pak Ali. Mereka 'meneroka' satu kawasan yang strategik, dengan wang ringgit mereka, membina kedai yang asalnya biasa2 sahaja menjadi cantik dan selesa, kedai kecil yang kemudiannya besar, tapi mereka tidak pernah berfikir atau mahu befikir mereka berniaga di atas tanah siapa.
Dengan pendapatannya yang lumayan, pernahkah En. Aziz terfikir untuk memiliki restorannya sendiri? Dan kita lihat sekarang pun, En. Aziz masih 'sayangkan' tapak lamanya dengan berusaha menyewa empat lot kedai tersebut.
Sebenarnya, apakah yang dikejar oleh orang Melayu apabila mereka berniaga? Apakah mereka hanya ingin menimbunkan wang dalam akaun mereka atau bergaya dengan pelbagai jenis kenderaan mewah sahaja? Tidak pernahkah mereka terfikir bahawa lot kedai adalah aset yg sangat berharga? Kenapa dengan keuntungan yang sebegitu besar yang dikaut setiap tahun, En. Aziz tidak bertindak membeli mana2 kedai?
Orang kita terlalu gemar menyewa atas alasan tidak mahu pening kepala dengan masalah penyelenggaraan dan cukai2 yang dikenakan PBT. Tapi mereka tidak pernah hendak fikir banyak untungnya kalau memiliki kedai sendiri. Kalau pun kedai itu tidak digunakan atas perniagaan sendiri, kedai berkenaan boleh disewakan.
Puan, biasanya bila hal seperti ini terjadi, memang kita mudah melatah dan menyalahkan PBT. Tapi kita yang lemah ini bolehkah melawannya? Silap2 mereka akan buka segala kitab undang2 dan peraturan yang telah mereka wartakan lalu membungkus balik kita sampai tak bernafas. Kita tak boleh langgar undang2 sebab ia bakal menyusahkan diri kita sendiri. Kita jalanlah seiring dengan undang2. Carilah ruang dan peluang menggunakan undang2 itu demi keuntungan dan keselesaan kita.
Saya hanya menyampaikan apa yang saya fikirkan (hasil perbincangan dengan suami yang banyak pengalaman). Mungkin puan boleh gunakan kebolehan puan untuk menyedarkan orang melayu betapa pentingnya kedai sebagai aset. Janganlah bersenang-lenang atas tanah kerajaan dan janganlah mengimpikan hendak memilikinya walau sedetik pun. Sia-sia sahaja kalau dihalau kelak.
Saya berharap apa yang saya tulis ini ada manfaatnya.
Wassalam,
No comments:
Post a Comment