Saturday, December 29, 2007

Tetamu Yang Di Nanti




Petang Jumaat lalu saya menerima panggilan daripada Prof Kamil. Katanya beliau sekeluarga akan ke Melaka pada pagi Sabtu. Antara agenda mereka ialah hendak bersarapan nasi gunting di Melaka Sentral, kemudian akan singgah sebentar di rumah saya untuk menandatangan buku Travelog Haji. Kata Prof Kamil : Kami tak mahu makan apa-apa, cuma mahu singgah sekejap saja.

Sejurus lepas itu Tuan Sabtu (yang sedang mengadakan kursus di PD) pula menelefon saya. Beliau memberitahu baru menerima sms daripada Prof Kamil. Pesan Tuan Sabtu : Esok bawalah Prof Kamil ke Lot 85 (restoran asam pedas terletak di Durian Daun, Melaka).

Pagi ini saya menyediakan sedikit juadah untuk tetamu yang dijangka sampai +/- jam 10:00 pagi. Sebelum bertolak ke Melaka, Prof Kamil ada mengirim sms. Saya membalas : Jangan makan kenyang sangat (nasi gunting). Di rumah saya kenalah minum teh...

Jam 10:30, rombangan tetamu yang dinanti sampai di halaman rumah kami. Saya dapat mengenali kesemua mereka selain Prof Kamil sendiri : bapa dan ibu mertuanya, Puan Roza, Sara, Azrai, Amirul dan Sofea kerana kerap melihat gambar dan membaca kisah mereka di blog. Rasanya seperti sudah kenal benar dengan mereka walau pun kami baru bertemu pertama kali.

Sahabat saya, Mun dan suaminya, Dr. Marzuki, sampai ke rumah kami kira-kira sejam kemudian. Saya menjemput mereka datang untuk sama-sama meraikan Prof Kamil sekeluarga. Secara kebetulan, suami Mun adalah rakan sekelas Prof Kamil di MRSM dahulu. Kami kemudian makan tengahari di Restoran Lot 85 dan berpisah kira-kira jam 1:30.

Rasanya bagaikan mimpi. Saya membelek buku yang dihadiahkan Prof Kamil beserta video pelancaran Travelog Haji. Zainal berkali-kali berkata : Abang tak sangka dia sudi datang hanya untuk memenuhi janji menandatangan buku.

Alum pula berkata : Mak ini bukan main lagi sekarang. Berkawan dengan profesor. Waduh!!!

Saya masih terasa seperti bermimpi. Di majlis pelancaran buku Travelog Haji pada 27 Ramadan lalu, saya sedikit hampa kerana tidak dapat bertemu penulis buku Travelog Haji itu dari dekat. Beliau waktu itu dikerumuni tetamu yang sangat ramai dan hanya sempat melambai ke arah saya ketika Zainal bersalam dengannya.

Sebenarnya saya agak terkilan kerana melalui komennya di blog ini Prof Kamil menjemput saya dengan nada sangat ramah. Ya, rasa terkilan itu terbawa-bawa sehingga keesokan harinya. Namun pada pagi 28 Ramadan, tanpa diduga saya menerima satu panggilan. Saya sungguh terkejut kerana pemanggilnya ialah Prof Kamil sendiri.

Kesimpulan saya : Prof Kamil mempunyai personal touch yang dapat menyentuh hati insan lain. Hari ini saya sekeluarga merasakan lagi sentuhan itu. Mudah-mudahan Allah memberkati persahabatan kami dengan insan istimewa ini dan seisi keluarganya. InsyaAllah.

3 comments:

  1. Assalammualaikum
    K Lela, Terima kasih kerana sudi menjemput saya dan Mazuki. Dapat berkenalan juga dengan Prof dan keluarganya. BTW, popia tu sedapnya, menyesal tak dengar betul-betul resepi yang K lela turunkan pada Puan Roza. Lain kali ek?

    ReplyDelete
  2. Alaikumsalam Mun,
    Sebelum belajar resepi itu, belanja saya cendol dulu ya...

    ReplyDelete
  3. No prob. Kali ni kita pergi di belakang Kolej Manipal. Boleh tahan juga cendol di situ...

    ReplyDelete