Wednesday, January 23, 2008

Bagaimana Menilai Peluang Bisnes

Orang yang baru hendak menceburi bisnes suka bertanya soalan ini : Dalam banyak-banyak bisnes, yang mana satu paling bagus? Andainya anda ditanya soalan ini adakah anda tahu apa jawapannya? Jawapannya amat mudah, katakan begini : Pilihlah bisnes yang paling sesuai dengan jiwa sendiri. Jangan ikut-ikut orang. Bak kata pepatah : ukur baju di badan sendiri.

Sebelum anda memilih bisnes yang ingin diceburi, analisalah diri sendiri. Buatlah kaji selidik tentang apa yang disukai dan tidak disukai. Janganlah tergopoh-gapah dalam membuat keputusan. Bezakan antara apa yang anda suka buat dengan apa yang anda mampu lakukan. Kaji dahulu buruk dan baiknya.

Bertanyalah kepada mereka yang berpengalaman dalam bidang yang anda ingin ceburi itu. Soalan-soalan bodoh pun boleh anda tanyakan. Janganlah malu untuk bertanya kerana semua maklumat yang anda perolehi berguna untuk merangsang otak anda berfikir sebelum membuat keputusan.

Ada orang berpendapat begini apabila dia melihat suatu peluang bisnes : Jika boleh buat duit, ambil sajalah. Rezeki jangan ditolak. Maut jangan dicari. Apa pendapat anda dalam soal seperti ini? Ya, rezeki yang datang bergolek memang sayang hendak ditolak. Tetapi tindakan itulah yang perlu diambil (menolaknya dengan baik) sekiranya peluang tersebut di luar kemampuan anda melaksanakannya.

Ketika ini pelbagai peluang bisnes dibuka dalam bidang pertanian, ternakan, peruncitan, francais, MLM, insuran dan sebagainya. Semuanya boleh dijadikan punca rezeki. Soalnya ialah yang mana satu hendak dipilih. Hati boleh menjadi keliru apabila di asak dengan kata-kata : Peluang sebaik ini tidak datang selalu. Rugilah jika dilepaskan.

Untuk menjayakan bisnes, kita hendaklah tahu mengurusnya sendiri. Amatlah tidak kena seandainya kita menerima peluang bisnes dengan bergantung kepada keupayaan orang lain semata-mata. Usahlah bersikap rencam meski pun ada berbagai peluang di depan mata. Usahlah hendak buat itu dan ini sekali gus. Fokuslah pada sesuatu usaha sehingga ia benar-benar menjadi. Tumpukan perhatian di situ sehingga berjaya dahulu.

Baru-baru ini saya ditawarkan suatu peluang bisnes oleh seorang kenalan yang sedang gigih berniaga di tanah seberang. Projek yang beliau usahakan itu ialah membuka ladang-ladang kelapa sawit di suatu daerah di Indonesia (Bengkalis) secara perkongsian. Pelaburannya tidaklah terlalu tinggi meski pun ladang-ladang itu teramatlah luas kawasannya.

Sanak saudara kenalan saya itu memiliki beratus-ratus hektar tanah terbiar. Mereka tiada kepakaran dan modal untuk mengusahakannya. Setelah lama berbincang, mereka akhirnya bersetuju untuk berusahasama dengan pelabur-pelabur dari Malaysia bagi membuka ladang sawit dengan tempoh perjanjian selama 25 tahun. Sesungguhnya peluang bisnes ini bolehlah dipertimbangkan. Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut sila hubungi : En. Husin Sudin, 019-6442104.

Saya mencongak umur sendiri. Sekarang usia saya sudah hampir mencecah 48 tahun (Febuari 23 nanti, insyaAllah). Dicampur 25 tahun lagi, akan jadi 73 tahun. Lalu hati saya ketawa sendiri. Waduh, sudah tua dan ganyut betul andainya saya masih hidup pada tahun 2033! Atau besar kemungkinan waktu itu riwayatku sudah tamat dan tulang-belulangku sudah sebati di dalam bumi. Berbaloikah merebut peluang bisnes ini? Hmmm, tepuk dada tanya selera. Jangan lupa ya. Ukur baju di badan sendiri!

4 comments:

  1. Assalamualaikum Puan Norlela,

    Bagaimana pandangan puan tentang cara-cara untuk menilai dan mengurus risiko melabur dalam bisnes seperti ini?

    ReplyDelete
  2. Alaikumsalam Popular Opinion.

    Pengalaman lalu mengajar saya supaya tidak lagi melabur dalam apa jua bisnes yang saya tidak faham sepenuhnya.

    Dalam biz seperti ini, saya kira kita perlu tahu dan faham bagaimana pengurusan ladang dijalankan. Mungkin mereka yang pernah berkhidmat di FELDA dan FELCRA lebih tahu.

    Bagi saya sendiri, benih sawit yang baik pun saya tidak kenal. Apa tah lagi soal baja, proses penuaian buah dan sebagainya. Saya jahil 100% dalam bidang ini.

    Oleh kerana tidak tahu hujung pangkal, saya akan terpaksa bergantung kepada pihak pengurusan ladang sepenuhnya. Bab inilah yang saya rasa risikonya besar. Ia bakal menyusahkan diri saya sendiri.

    Seperkara lagi, Bengkalis itu agak jauh. Saya tidak tahu tempat itu dan saya tidak bersedia untuk berulang-alik ke sana untuk memantau pengurusan ladang-ladang yang terbabit.

    Faktor umur saya juga diambil kira. Saya tidak mahu runsingkan kepala dengan bisnes begini menjelang hari tua saya meski pun hasilnya lumayan.

    Untuk diwariskannya kepada anak-cucu? Hohoho, rasanya biarlah pusaka yang lain yang lebih mudah dikendalikan.

    Bagaimana pun, ini pandangan peribadi saya, hasil daripada konsep mengukur baju di badan sendiri. Biz ini memang tidak sesuai untuk saya.

    Namun bagi orang lain yang sudah mahir dalam pengurusan ladang, mungkin peluang ini amat menarik dan boleh dipertimbangkan.

    ReplyDelete
  3. Good answer, Kak Lela! Congratulations! Saya kagum.

    ReplyDelete