Thursday, January 3, 2008

Buat Duit Atas Angin

Anda masih ingat kisah cek tangguh yang diberi oleh En. Bedul, bos Syarikat Alifbata untuk pembelian Razor Barbed Tapes (RBT) bulan Disember lalu? Cek tangguh bernilai RM120,000 itu sudah saya masukkan ke akaun syarikat kami pada tarikh ia matang (31/12/07) Isnin lepas.

Hari ini saya dimaklumkan oleh pihak bank bahawa cek tersebut dikembalikan. Ia bounced atau dengan lain perkataan cek itu TENDANG! Untuk makluman anda, En. Bedul sudah pulang ke KL daripada menunaikan fardhu haji beberapa hari lalu.

Apabila beliau dihubungi berhubung cek tendang itu, Hj. Bedul berkata : Tidak mengapa, nanti saya buatkan bank deraf. Awak siapkan saja barang itu dan hantarkan sebelum 8 Januari. Pada hari awak hantar, saya akan berikan bank deraf itu. Saya janji. Jangan lupa, hantarkan barang itu ke Jabatan ABC sebelum 8 Januari.

Saya menjawab : Minta maaf, tuan haji. Tuan perlu buat bayaran dahulu sebelum saya boleh hantarkan barang. Bukankah saya sudah beritahu terma ini sejak awal lagi?

Jawab Haji Bedul : Bank deraf pun awak tidak percaya??? Susahlah begini. Awak yang salah dalam hal ini. Jika awak ikut cakap saya, tidak jadi begini. Sepatutnya awak sudah hantar barang itu pada awal bulan Disember dan saya sudah boleh dapat bayarannya daripada Jabatan ABC sebelum 31/12/07.

Jawab saya lagi : Minta maaf, tuan haji. Saya tunggu bank deraf tuan dahulu. Lebih cepat tuan bayar, cepatlah saya hantarkan barang itu.

Hati saya berkata : Cek sudah meletup pun Hj. Bedul masih mahu saya percayakan dia lagi??? Ah, dengar sini baik-baik Tuan Haji Bedul... Tebang buluh pakai kapak, hulur (duit), baru nampak (RBT).

Iktibar :

1. Dalam bisnes, jangan mudah percayakan kata-kata manis dan janji-janji molek. Biar pun yang berjanji itu seorang Tuan Haji yang baru balik daripada Makkah.

2. Jangan tergoda dengan amaun pesanan yang bernilai besar. Jangan kerana takut terlepas peluang maka kita melonggarkan syarat kawalan kredit.

3. Ingatlah, di zaman ini terlalu ramai (terutama orang Melayu) yang ingin membuat bisnes atas angin. Mereka mahu membuat untung percuma tanpa keluarkan modal satu sen pun.

4. Orang seperti ini akan menggunakan cable mereka untuk mendapatkan peluang bisnes dan air liur semata-mata untuk menumpang modal pusing orang lain.

5. Jangan ambil risiko. Andainya pembeli itu anda tidak cukup kenal, jangan beri dia kemudahan kredit.

6. Ingatlah, kita perlu tidur nyenyak setiap malam. Biarkan dia (si pembeli seperti Tuan Haji Bedul) yang tidak lena tidur dek memikirkan di mana hendak cari sumber duit untuk membayar kita.

2 comments:

  1. Setuju cara KN. Kena tegas dalam hal sebegini. Hendak berniaga guna modal orang lain, ambil untung atas angin..?? wah wah wah bedahh.. Jangan berganjak meski satu hun pun Ngah.

    ReplyDelete