Wednesday, January 16, 2008

Rencana Di MHI

Terima kasih diucapkan kepada Datuk Lugiman Abu Seman dan En. Mohd. Hafizam Mustaffa, dari Pusat Khidmat Perusahaan Kecil & Sederhana (PKPKS) Melaka, yang membuka ruang untuk saya menulis di akhbar MHI. Rencana pertama bertajuk Membaca, mendengar sumber ilmu dalam bisnes tersiar Ahad lalu, pada Januari 13, 2008. Kandungan penuhnya seperti berikut :-

Kerjaya sebagai usahawan semakin popular di kalangan masyarakat kita hari ini. Ia bukan sahaja menjadi pilihan golongan muda seperti lepasan universiti dan kolej, malah turut di minati golongan lebih berusia, contohnya mereka yang memilih untuk bersara awal atau pun mereka yang sudah bosan untuk bekerja makan gaji.

Sejak dahulu sehingga kini pihak kerajaan terus menyediakan berbagai bantuan dan kemudahan untuk membantu mereka yang menceburi bisnes. Dengan dorongan dan sokongan yang diberikan itu dijangka bertambah ramai lagi yang akan menjadi usahawan di masa hadapan. Perkembangan yang sihat ini sangat menepati hasrat kerajaan untuk meramaikan masyarakat perdagangan di negara kita.

Bagi mereka yang baru menceburi bisnes, banyak perkara yang perlu diketahui. Sebagaimana bidang-bidang lain, untuk mengurus bisnes kita memerlukan berbagai ilmu. Sebagai pemilik bisnes kitalah perancang utama yang menentukan berbagai keputusan. Kita ibarat pilot pesawat terbang atau kepten kapal yang perlu menentukan halatuju bisnes yang dikendalikan.

Di dalam apa jua jenis bisnes, hampir setiap masa kita perlu membuat keputusan-keputusan penting dan pastinya memerlukan maklumat yang betul. Secara logiknya keputusan yang tepat akan membawa impak baik dan positif kepada bisnes kita. Sementara keputusan sebaliknya boleh membawa impak buruk dan negatif, malah mungkin juga bencana besar.

Di manakah kita boleh mendapat ilmu dan maklumat bagi membantu kita membuat keputusan? Sukarkah untuk mendapatkan ilmu dan maklumat bisnes itu? Sebenarnya terdapat banyak sumber di sekeliling kita yang boleh dimanafaatkan. Salah satu cara yang mudah dan praktikal ialah membaca buku-buku bisnes dan bahan bacaan yang berkaitan di akhbar atau majalah. Di pasaran kini terdapat banyak bahan bacaan yang boleh menambah pengetahuan kita dalam bisnes.

Sebagai usahawan, sama ada masih baru atau pun sudah lama menceburi bisnes, kita perlu rajin membaca. Jadikanlah membaca satu hobi kerana secara tidak langsung kita menambah banyak maklumat berguna. Peruntukkan sedikit wang setiap bulan untuk melabur dalam buku-buku bisnes dan carilah bahan bacaan yang mudah difahami. Percayalah, sambil membaca banyak ilmu boleh diceduk bagi membantu kita mengendalikan berbagai isu bisnes.

Selain membaca, satu lagi cara yang praktikal ialah dengan mendengar pengalaman orang lain. Apabila kita bertanya kepada mereka yang sudah lama berniaga, biasanya masing-masing akan berkongsi berbagai cerita VSS iaitu VERY SUCCESSFUL STORIES dan VERY SAD STORIES. Bagi anda yang ingin mengetahui realiti dunia bisnes, dengarlah kedua-dua versi cerita kejayaan dan kegagalan itu tanpa rasa prejudis.

Hampir semua usahawan yang sudah berjaya pernah menempuh kegagalan. Itulah hakikat yang perlu kita terima sebagai orang bisnes. Apabila kita banyak mendengar pengalaman orang lain tentang cerita jatuh-bangun dan suka-duka dalam bisnes, secara tidak langsung kita lebih bersedia menghadapi kemungkinan gagal dan akan lebih berhati-hati. Jangan sekali-kali memandang rendah kepada mereka yang pernah gagal. Ambillah pengalaman mereka sebagai iktibar dan pengajaran.

Apakah yang boleh kita perolehi dengan mendengar pengalaman bisnes orang lain? Sebenarnya banyak yang boleh kita dapat hanya dengan mendengar. Dalam kisah-kisah orang bisnes biasanya ada petua, pesanan, tip, strategi, contoh berkesan, contoh tidak berkesan, solusi, jalan keluar, idea, ilham dan 1001 macam lagi. Percayalah, tidak rugi kita banyak mendengar. Malah cara ini boleh menambah input bagi membantu kita menyelesaikan berbagai isu.

Bukan semua yang kita baca atau dengar boleh digunakan 100%. Mana-mana yang baik dan sesuai bolehlah kita tiru bulat-bulat. Atau pun kita kaji semula dan ubahsuai di mana yang perlu. Bagi bisnes kita, kitalah yang lebih tahu apa yang boleh dan tidak boleh dibuat. Kata orang, mengukur baju biarlah di badan sendiri. Sekurang-kurangnya dengan mendengar pengalaman orang lain, otak kita terangsang untuk berfikir dan besar kemungkinan dapat mencetuskan ilham lebih baik.

Amatlah rugi andainya kita terus mengulangi kesilapan-kesilapan yang orang lain pernah lakukan dalam bisnes mereka hanya kerana kita tidak peka. Maklumat-maklumat itu sudah tertulis dalam berbagai buku dan bahan bacaan atau pun sudah kerap diceritakan orang tetapi kita tidak membaca dan mendengar dan kerana itu kita tidak tahu. Ingatlah, sebagai orang bisnes kita tidak boleh bersikap naïve atau lurus bendul. Kita perlu peka dan banyak mengambil tahu apa yang berlaku di sekeliling kita.

3 comments:

  1. Salam KN,
    Hey KN ke yg dlm gambar b/w tu??! Congraaatts! Tahniah KN sudah keluar MHI!!!

    ReplyDelete
  2. Donut,
    Ya, bener, itu kakekmu ini... Aduh, kok tidak percaya!!!

    ReplyDelete
  3. Ngah, Mehmet cakap, eh nampak dia punya taik lalat.. ihihihi.. congrats KN!

    ReplyDelete