Thursday, February 21, 2008

Lagi Tentang Syarikat Sdn. Bhd.

Permohonan anda untuk menubuhkan syarikat Sdn. Bhd. akan dihantar oleh setiausaha syarikat anda kepada Pendaftar Syarikat yang kini dikenali sebagai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Apabila permohonan itu sudah lulus dan bayaran pendaftaran dijelaskan, anda akan diberikan dokumen-dokumen berikut oleh setiausaha syarikat anda :-

  1. Form 24 : Return of Allotment of Shares
  2. Form 48A : Appointment of Directors
  3. Form 49 : Return Giving Particulars of Directors, Manager & Secretaries and Changes
  4. Memorandum & Articles of Association (M&A) – untuk ditandatangan
  5. Minit Mesyuarat yang pertama

Anda bolehlah memulakan perniagaan Sdn. Bhd. itu. Form 24, Form 49 dan M&A adalah dokumen penting bagi syarikat Sdn. Bhd. Anda akan selalu menggunakan dokumen itu. Contohnya ketika anda hendak membuka akaun bank, memohon pinjaman, membeli kenderaan, mendaftar di Kementerian Kewangan, memasuki pelawaan tender dan sebagainya.

Anda boleh menambah modal berbayar syarikat anda (yang pada asalnya hanya RM2). Pertambahan modal berbayar boleh dibuat dalam bentuk tunai atau harta (in cash or in kind). Harta yang dimaksudkan itu seperti tanah, bangunan, kenderaan, mesin dan jentera. Harta itu perlu diberi satu nilaian dan nilainya itu dijadikan jumlah tambahan kepada modal berbayar.

Harta tersebut kemudian menjadi milik syarikat Sdn. Bhd. anda. Pertambahan modal berbayar perlulah didaftarkan di SSM. Semua urusan itu akan diuruskan oleh setiausaha syarikat. Anda hanya perlu memberitahu butir-butirnya dan dia akan menyediakan resolusi untuk anda dan pengarah yang lain tandatangani.

Semua keputusan penting yang dibuat dalam syarikat anda seperti hendak menambah modal dibenarkan, menambah modal berbayar, membeli bangunan, menjual kenderaan, menukar pengarah syarikat dan memeterai sesuatu perjanjian perlu dibincangkan bersama semua pengarah syarikat. Kemudian satu resolusi disediakan dan ditandatangan oleh mereka menandakan keputusan itu dibuat dan dipersetujui bersama.

Apa itu M&A? Memorandum & Articles of Association adalah satu lagi dokumen penting dalam syarikat Sdn. Bhd. Ia mengandungi 2 bahagian iaitu :-

  1. Memorandum of Association
  2. Articles of Association

Memorandum of Association mengandungi maklumat tentang aktiviti-aktiviti bisnes yang boleh dijalankan oleh syarikat Sdn. Bhd. anda.

Articles of Association pula mengandungi maklumat berkaitan tadbir-urus syarikat berhubung dengan saham, mesyuarat agung tahunan (MAT), perlantikan pengarah syarikat, setiausaha syarikat, cap mohor, akauns, keuntungan dan penggulungan syarikat.

2 comments:

  1. Assalamualaikum Puan Norlela,

    Semasa saya belajar secara PJJ di sebuah U di utara, saya merasa hairan melihat kawan sepengajian perempuan yang sekejap kereta Perdana V6, sekejap pula Mercedes baru. Lama kelamaan barulah saya tahu, itu kereta kepunyaan syarikat yang digunakan oleh sekeluarga macam kereta milik sendiri. Dan lagi, bil handphone dia sebagai isteri pun dibayar oleh syarikat milik suaminya.

    Ada lagi, kawan sekerja di tempat kerja lama juga di Utara. Kerap menukar kereta baru. Akhirnya, baru saya tahu, itu kereta dibayar oleh syarikat kepunyaan ayahnya. Konon dan atau mungkin begitu caranya untuk mengurangkan bayaran cukai syarikat.

    Mungkin inilah sebabnya, ramai yang suka menubuhkan syarikat.

    Cerita sebegini ada disentuh oleh puan sifupts di dalam bukunya Memulakan Bisnes Sendiri.

    Persoalan saya, adakah puan mengamalkan perkara yang serupa di syarikat puan?

    ReplyDelete
  2. 'Alaikumussalam En. Zamri,

    Harta milik syarikat boleh disusut nilai. Contohnya bangunan disusut nilai pada kadar 2%, kenderaan 5%, mesin dan peralatan 10% setahun. Jumlah susut nilai itu dikira sebagai perbelanjaan syarikat.

    Itulah sebabnya pemilik syarikat suka menukar kereta lama (yang sudah tidak boleh disusut nilai lagi) dengan kereta baru. Bisnes kawan-kawan En. Zamri itu tentulah membuat banyak untung sebab itu mereka mampu untuk bertukar kereta selalu.

    Seronok ya dapat buat begitu. Syarikat keluarga saya dulu hanya mampu menukar mesin lama dengan mesin baru. Tidak pula bertukar-tukar kereta, En. Zamri.

    ReplyDelete