Friday, March 21, 2008

Don't transfer your monkey unto my shoulder...

Hari ini Roi menelefon saya. Katanya : Bisnes saya teruk sekarang. Sakit kepala fikirkan soal duit. Pening!!! Anak-anak asyik merungut. Saya catu duit belanja mereka. Duit saya banyak di tangan orang. Hampir RM30,000. Tapi, orang-orang yang berhutang itu, apabila saya minta balik, mereka tidak mahu bayar. Saya sempit betul sekarang. Kalau boleh, saya mahu pinjam. Bukan banyak, RM5,000 saja. Nanti saya bayarlah balik secara ansuran.

Saya hanya diam. Terasa janggal apabila dia tiba-tiba ingin meminjam wang daripada saya kerana kami baru mengenali satu sama lain beberapa bulan lalu. Namun di sudut hatiku, timbul rasa kasihan. Mungkin dia terlalu terdesak…

Roi menyambung : Saya sudah baca buku-buku Puan. Tapi saya masih tidak dapat mencari jalan keluar untuk selesaikan masaalah bisnes saya. Saya pening sangat. Bantulah saya. Saya ini ibu tunggal. Saya juga saudara baru. Tidak bolehkah Puan bantu saya sedikit? Kawan-kawan saya tidak dapat membantu lagi. Saya mati akal. Tidak tahu lagi hendak pinjam daripada siapa.

Saya menjawab : Jika awak mahu, saya boleh cuba bantu awak untuk mencari jalan bagaimana mengutip semula hutang-hutang yang ada. Jika dapat pungut hutang-hutang itu, awak tidak perlu meminjam lagi. Dengan terus meminjam, awak hanya menambah beban.

Roi membalas : Puan mahu tolong saya pungut hutang? Bagaimana?

Saya : Ya, saya boleh tunjukkan caranya dan awak cubalah usahakan. RM30,000 itu banyak. Jika dapat pungut 50% pun, Alhamdulillah. Awak ada simpan senarai nama orang-orang yang berhutang itu? Jika ada, bawa sekali invois dan apa-apa dokumen yang ada. Saya akan cuba bantu awak bagaimana menuntut hutang-hutang itu.

Roi dengan cepat menjawab : Mana ada semua itu, Puan? Mereka yang berhutang itu semuanya kawan-kawan saya. Mana saya ada buat surat hitam putih atau invois… Saya ini lembut hati, Puan. Hati saya cepat cair apabila kawan-kawan minta tolong. Saya tidak sampai hati tengok mereka susah. Sekarang ini saya pula yang kesempitan.

Tiba-tiba talian terputus. Beberapa minit kemudian saya terima sms Roi : Maaf, kredit habis. Saya terdesak sangat. Terlalu sempit. Pinjamkan saya sedikit pun jadilah.

Saya berfikir beberapa ketika, kemudian membalas smsnya : Mohon berbanyak maaf. Saya tidak dapat pinjamkan wang. Oleh kerana awak kesempitan sangat, beritahu saya no. akaun bank. Nanti saya masukkan sedikit wang. Anggap ini pertolongan daripada Allah. Awak tidak perlu bayar balik.

Anda ingin tahu mengapa saya tidak mahu meminjamkan wang kepada Roi? Saya mempunyai beberapa alasan berbuat demikian:-

  1. Mengikut firasat saya, besar kemungkinan Roi tidak akan membayar-balik wang yang mahu dipinjam itu. Saya sudah beberapa kali terkena, melibatkan wang peribadi (jika dikumpul semuanya) bernilai puluhan ribu RM. Lumrahnya, wang yang dipinjamkan kepada orang-orang dalam situasi sebegini (terdesak tahap tinggi) akan menimbulkan kesulitan ketika ingin mendapatkannya semula.
  1. Apabila orang ingin meminjam wang tetapi tidak menyatakan dengan jelas bila dan bagaimana dia hendak membayar balik, berwaspadalah. Lazimnya, mereka memang tiada rancangan untuk menjelaskan hutang itu. Kerana terdesak, mereka terpaksa menabur janji. Menuntut hutang seperti ini akan memeningkan kepala kita di kemudian hari.
  1. Hutang yang sukar dipungut atau tidak mahu dibayar adalah antara punca putusnya silaturrahim dalam sesuatu perhubungan. Saya mahu mengelakkan ini daripada terjadi.

Saya memilih untuk membantu Roi dengan cara lain. Setelah memasukkan sejumlah wang (ciput saja!) ke akaunnya, saya mengirim sms. Semoga bebannya dapat diringankan. Doa saya semoga dia bertemu jalan keluar untuk mengatasi isu yang dihadapinya.

2 comments:

  1. Saya setuju dengan apa yang Puan lakukan itu. Jagan beri pinjam, beri sedekah.

    Saya juga melakukan itu bagi kes yang betul dia susah.

    Bagi kes yang penipu, saya akan minta maklumat. Kalau dia kata kakaknya sakit teruk dan dia tidak ada duit untuk bayar bil, saya minta nama dan nombor HP kakaknya itu, nombor katil hospital, nombor wad, nama hospital, nama doktor yang merawatnya.... kesudahannya dia akan kata, "Kalau tak dapat tolong, tak apalah."

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Sifuku!

    Betul, Puan. Seandainya kita tidak tegas dan terlalu mudah bersimpati apabila mendengar kisah sedih orang yang terdesak, besar kemungkinan kita dikelentong oleh mereka yang ingin mengambil kesempatan.

    Hendak menolong pun biarlah kena pada tempatnya. Saya bersetuju supaya kita selidiki dahulu dan jangan percaya bulat-bulat apa yang kita dengar. Semua itu mungkin cerita rekaan semata-mata.

    Kekadang kita tertipu akibat kecuaian sendiri. Kerana mahu dianggap sebagai orang yang baik hati kita menolong tanpa usul periksa.

    ReplyDelete