Saya membuat medical check-up tahunan setiap bulan Januari (sejak 2001). Tujuannya untuk memantau kesihatan. Ia bukanlah ujian menyeluruh, tetapi hanya perkara-perkara penting seperti diabetes screen, kidney function, kolesterol, hati, hepatitis screen, tumour markers, thyroid screen, rheumatoid factor dan urinalysis. Dr. Ab selalu berpesan, dalam soal kesihatan usahlah mengharapkan orang lain. Kita sendiri perlu bertanggungjawab. Bak kata orang sekarang, sendiri mahu ingat!
Ramai orang bercerita bagaimana mereka ditimpa penyakit kronik secara tiba-tiba. Apabila dikesan, penyakit itu sudah berada di tahap teruk dan peluang untuk pulih semula agak tipis atau hanya 50-50. Menurut Dr. Ab, semua penyakit biasanya memberi amaran terlebih dahulu. Kita perlu mengambil perhatian seandainya ada merasa sesuatu yang tidak kena. Jangan abaikan tanda-tanda itu. Cara yang baik ialah dengan membuat pemeriksaan kesihatan tahunan.
Tahun ini saya terlewat membuat medical check-up. Kebetulan semalam saya terasa sakit di dalam telinga dan pergi ke klinik Dr. Ab. Ketika itulah baru teringat hal medical check-up. Dr. Ab mengingatkan supaya saya datang seawal jam 8 (hari ini) kerana darah dan air kencing perlu diambilnya sebelum saya bersarapan pagi. Dia turut mengesyorkan Zainal membuat medical check-up bersama saya.
Sebenarnya Zainal teramat fobia kepada jarum. Meski pun sudah mencecah usia 52 tahun, dia tersangat degil bab medical check-up. Ada-ada saja alasan yang diberi untuk mengelak darahnya diambil. Semalam Dr. Ab memujuknya lagi. Beliau membuka rahsia bahawa ramai orang dewasa yang takut jarum. Dan mereka lebih ramai di kalangan orang lelaki berumur seperti Zainal.
Kisah pertama tentang seorang lelaki yang bertubuh sasa telah pitam di bilik air klinik itu. Kata Dr. Ab, ketika diambil darah, lelaki itu tampak seperti biasa dan kemudian dia ke bilik air untuk mengambil air kencing. Hampir 10 minit berlalu lelaki itu masih tidak masuk semula ke bilik rawatan. Dr. Ab pergi menjengah ke bilik air dan mendapati lelaki itu sudah pengsan!
Cerita kedua tentang seorang lelaki yang pada kebiasaannya suka berbual tetapi secara tiba-tiba menjadi senyap ketika darahnya diambil. Kata Dr. Ab, lelaki itu memejam mata dan mematikan dirinya. Ketika disuruh membuka matanya, lelaki itu bagaikan tidak percaya yang darahnya sudah diambil. Dia terlalu takut sehingga tidak terasa tangannya sudah dicucuk. Zainal ketawa besar… (bab ini dia seronok!!!).
Pagi tadi ketika pulang daripada morning walk, kami singgah di klinik Dr. Ab. Belum pun Dr. Ab mengeluarkan jarum, Zainal sudah pejamkan mata. Aduhai, gelihati saya melihat gelagat orang lelaki yang takut jarum. Berkali-kali Dr. Ab menyuruhnya releks. Entah mengapa dia terlalu takut saya pun pelik. Bukannya banyak darah yang diambil itu, cuma 10ml. Ketika dia dicucuk saya dan Dr. Ab melayannya berbual tentang roti canai cicah dengan gulai kari… Hehehe!!!
No comments:
Post a Comment