Saya terlihat iklan di TV, seorang mamak menepuk roti canai. Tiba-tiba tekak merasa kecur. Sudah lama tidak ‘pekena’ roti canai yang tampak garing seperti itu. Lalu saya teringatkan 'Kedai Gaduh'. Di sana roti canainya memang garing dan sedap. Agak lama kami tidak ke 'Kedai Gaduh'. Semenjak jalan di tepi kedai itu dibesarkan, kami tidak lagi ke sana kerana susah hendak memarkir kereta.
‘Kedai Gaduh’ mendapat namanya melalui sikap tuan kedai itu yang selalu marah-marah. Hampir setiap kali ke kedainya, kami dapati wanita pertengahan umur itu sedang memarahi seseorang. Pendek kata, dia memang mudah bergaduh. Apabila pelanggan ramai, dia mulalah menunjuk belang. Pekerja-pekerja ditengking kerana lambat membersihkan meja atau terlupa antara teh dan teh O, nescafe dan nescafe O, milo dan milo O dan apa-apa lagilah.
Tuan kedai itu bukan sahaja mudah baran terhadap pekerjanya tetapi juga kepada pelanggan. Contohnya apabila membuat pesanan, kita perlu memberitahu dengan tepat berapa keping roti canai yang kita mahu. Jangan pula nanti ketika sedang makan, kita teringin hendak menambah sekeping dua lagi, dia pasti akan memarahkan kita begini : Tadi mengapa tidak minta terus? Tidak nampakkah orang lain pun menunggu? Awak ingat awak seorang hendak makan?
Peliknya kedai itu tetap dikunjungi ramai pelanggan. Bagi saya sendiri, yang menarik adalah roti canainya. Garing dan sedap. Ditambah pula dengan gulai kari kepala ikan jenak dan sambal sotongnya. Rasanya memang sedap. Andainya anda hendak ‘tapau’ roti canai di ‘Kedai Gaduh’ itu, lebih baik berfikir banyak kali dahulu. Anda perlu membuat pertimbangan sama ada masanya sesuai atau tidak…
Jika bilangan pelanggan yang ada dalam kedai ketika itu ‘sedang-sedang’ ramainya, bolehlah anda meminta untuk ‘tapau’. Seandainya pelanggan yang menunggu berderet-deret, berawaslah sebelum anda membuka mulut. Nanti anda disergah begini : Awak mahu bungkus 10? Tak boleh. Nampak tidak orang ramai di sini? Kalau awak mahu juga, ambil 5 saja. Yang lucunya, ada juga pelanggan yang disergah itu berkata : 5 keping pun oklah…
Ketika ke sana Ahad lalu, saya dapati tuan kedai itu agak tenang. Tidak kedengaran lagi suara bisingnya menengking. Mungkin dia berubah sikap kerana bisnesnya kini terjejas ekoran pembesaran jalan di tepi kedai itu. Saya pasti kawasan parkir yang terhad menjadi antara punca pelanggan-pelanggan beralih ke tempat lain. Lagi pun, siapa yang mahu bersusah-payah di pagi Ahad hanya untuk sekeping roti canai... dan silap haribulan disergah seorang tauke garang! Yang pasti roti canainya masih sedap seperti dahulu.
Iktibar untuk peniaga :-
1. Jagalah tingkah-laku semasa berurus niaga. Berhati-hati dengan gerak-geri kita. Sikap kita dapat memikat hati atau membosankan pelanggan.
2. Jangan berfikir bahawa jika produk kita baik, orang sentiasa mahu membelinya. Apabila terdapat pilihan atau halangan baru, pelanggan boleh beralih ke tempat lain.
3. Jika pekerja kita selalu membuat kesilapan, desain satu peraturan bagi memudahkan kerja mereka. Kemudian latih mereka melakukannya dengan betul sehingga pandai.
Assalammualaikum
ReplyDeleteDi mana kedai ini Kak Lela? Saya mahu pastikan supaya saya tidak TER-pergi! Takut!!!
'Alaikumsalam Mun,
ReplyDeleteJanganlah takut, dia sudah berubah sekarang. Dahulu memang teruk. Jika kita datang terlewat anggaran pukul 10 pagi dan orang sudah ramai, janganlah sibuk-sibuk hendak buat order. Lebih baik kita duduk diam dan belek surat khabar. Nanti dia sergah : Awak tak boleh sabarkah? Datang sudah lambat, mahu dapat cepat. Mana boleh?
Opppssss! Mohon maaf. Sifu marah guna perkataan 'takut'. Tukar pendekatan. Jika saya terkena kedai yang dimaksudkan saya akan cuba order tapau sekali...
ReplyDelete