Wednesday, March 19, 2008

Jawapan Untuk Edoray

Pada entri kali ini, saya akan menjawab beberapa pertanyaan yang dikemukakan oleh seorang pengunjung blog bernama samaran edoray. Beliau yang merupakan pemilik blog aspirasiku ingin tahu perkara-perkara berikut :-

  1. Apa bezanya antara program mentor-mentee dan coaching?
  2. Adakah program mentor-mentee berbayar?
  3. Berapa kadar bayaran coaching untuk sejam?
  4. Bagaimana pula dengan konsultan?

Dalam program mentor-mentee, seorang mentor bertindak sebagai guru, sementara menteenya pula sebagai pelajar. Biasanya, mentor adalah pakar dalam sesuatu bidang dan dia akan memberi tunjuk-ajar dan panduan kepada mentee yang ingin menimba ilmu dalam bidang yang sama.

Contohnya Puan Sifu kita di PTS itu. Beliau seorang mentor yang mengajar mentee-menteenya selok-belok penulisan buku dalam bengkel-bengkel yang diadakan, juga melalui blog UNIKA. Oleh kerana mentor itu berstatus guru, tarafnya pastilah lebih tinggi daripada mentee (maksud saya, dalam bidang yang diajarnya).

Sebagai guru, seorang mentor boleh menunjuk ke-terror-an ilmu dan kepakarannya kepada mentee. Menjadi tugas mentor memberi arahan dan menegur kesilapan menteenya. Sebagai pelajar, mentee perlu menurut kata mentor. Dengan kata lain, agenda dalam program mentor-mentee ditetapkan oleh mentor. Oleh itu, mentee tidak bolehlah ‘melawan tauke’.

Dalam program coaching pula, coach bertindak sebagai rakan kepada coachee (pelanggannya). Biasanya coachee memerlukan khidmat coach bagi mendapatkan bantuan untuk membolehkannya beralih, contohnya, daripada paras 1 kepada paras 2. Coach bertindak sebagai fasilitator yang mendorong peralihan coachee itu.

Berbeza dengan peranan mentor, seorang coach tidak boleh menggurui coachee. Walau se-terror mana pun ilmu coach itu, dia perlu menahan dirinya daripada hendak memberi nasihat atau mengoreksi coachee. Ini kerana dalam program coaching, agenda ditetapkan oleh coachee, bukan coach. Yang hendak diberi keutamaan adalah solusi pilihan coachee.

Di awal program coaching, coachee akan menentukan apa gol yang ingin dicapainya. Gol itu adalah gol coachee. Coach akan membantu coachee mencari solusi melalui teknik pertanyaan dan imbasan. Oleh sebab itu skil mendengar amat penting dimiliki seorang coach. Bagaimana pun, seandainya coachee itu sendiri yang meminta pandangan dan nasihat, coach boleh memberitahu apa pendapatnya.

Program coaching amat berkesan apabila wujud kepercayaan (trust) yang tinggi di pihak coachee terhadap coachnya. Oleh kerana itu coach perlu membantu coachee untuk selesa meluahkan isu yang dihadapinya tanpa berselindung. Kekadang coachee akan bercakap berbelit-belit kerana dia sendiri keliru meski pun jawapan yang dicarinya sudah ada. Di sinilah coach memainkan peranannya. Dia membantu coachee melihat isu dan solusi yang difikirkannya dengan jelas.

Sama ada keputusan yang diambil oleh coachee betul atau tidak, bukanlah tanggung-jawab coach. Yang penting ialah coach dapat membantu coachee mencari solusi untuk mencapai apa yang diingininya. Kekadang coachee hanya inginkan ‘validation’ daripada coach ke atas keputusan yang diambilnya.

Sama ada program mentor-mentee berbayar atau tidak, saya kurang pasti. Bagaimana pun, program mentor-mentee bersama Puan Sifu adalah percuma. Bukti hasil daripada program Puan Ainon itu ialah buku-buku kita (mentee-menteenya) berjaya diterbitkan. Berhubung bayaran untuk coaching pula, saya dengar melalui trainer saya, ia mengikut kes (dan isu yang ditangani).

Kekadang solusi dapat dicapai oleh coachee melalui 1 sesi sahaja. Kekadang program itu perlu dilanjutkan sehingga beberapa sesi dalam tempoh beberapa bulan. Dalam program yang saya ikuti, perkara ini saya belum belajar! Saya dengar, pendapatan seorang coach yang bagus boleh tahan lumayannya. Ini yang membuat saya rasa bersemangat untuk menjadi coach!

Konsultan adalah pakar rujuk. Peranannya juga berlainan daripada mentor dan coach. Namun begitu, sebagai trainer, kita boleh mengaplikasi skil-skil sebagai konsultan, mentor dan coach dalam situasi tertentu. Jika kita hendak jadi coach 100%, takut-takut nanti kita jadi ‘coach lapar’ (hungry coach) pula! Pelanggan mungkin mahukan khidmat tambahan selain coaching, jadi kita bolehlah tawarkan kepelbagaian dengan caj-caj yang berasingan.

5 comments:

  1. Puan Norlela,
    Terima kasih atas penjelasan tersebut. Ianya akan saya jadikan panduan semasa 'coaching session' nanti. Saya dimaklumkan Puan akan turut serta (sebagai pemerhati). So, nice to meet you.
    Saya mohon izin untuk salin tulisan Puan ini di blog saya. Ianya sangat berguna. Saya menghargainya. Terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Edoray,

    Silakan, saya tiada halangan.

    Ya, Tn Sabtu menjemput saya hadir sebagai pemerhati. InsyaAllah, kita bertemu Ahad nanti.

    ReplyDelete
  3. Petik: "...kita boleh mengaplikasi skil-skil sebagai konsultan, mentor dan coach dalam situasi tertentu."

    Saya sangat setuju dengan ayat itu. Orang yang layak menjadi mentor, juga layak menjadi coach dan konsultan kepada menteenya.

    Walaupun saya labelkan diri saya sebagai "mentor" dan "sifu", tetapi saya juga memberikan coaching dan konsultansi kepada mentee-mentee saya. Alhamdulillah, kombinasi itu menghasilkan kejayaan yang amat memuaskan hati, baik bagi mentor mahupun bagi mentee.

    Selamat maju ke hadapan selangkah lagi, Puan Norlela ang dikasihi.

    ReplyDelete
  4. Perkataan "takut" tidak boleh digunakan - ini pesan Sifu, mentee mesti ingat! Hehehe....

    ReplyDelete
  5. Ai, Ai, Bos!!! Pesan Puan Sifu akan diingati.

    Terima kasih mendoakan saya, Puan. Semoga Allah makbolkan. Amin!

    ReplyDelete