Sunday, June 29, 2008

Kisah 'Die-Hard Fan' Durian & Nilai RM9

Pada suatu malam minggu baru-baru ini, Zainal mengajak saya keluar. Kami sekadar hendak meronda-ronda di jalan raya sambil menikmati bulan terang yang sedang mengambang dan cahaya lampu neon yang berkelipan sambil menghirup angin malam. Dengan mood yang santai, saya yang berbaju blaus dan berkain batik terus melangkah masuk ke dalam kereta.

Tanpa tujuan yang jelas, kami menyusuri jalan ke Bukit Baru. Di tepi jalan besar itu ada sebuah gerai menjual durian. Secara tabiinya, saya kurang berminat dengan durian tetapi pada malam itu tergerak pula hati hendak membeli. Zainal (yang merupakan seorang die-hard fan durian) terus membrek kereta.

Kami pun melihat-lihat longgokan durian di atas meja panjang sambil memilih mana-mana yang berkenan. Kelihatan beberapa tanda harga di sisi longgokan-longgokan durian itu. Pada satu longgokan, tertulis tanda harga RM6/kg tetapi apabila ditanya kepada pekerja gerai itu, beliau menjawab : Yang itu RM11/kg. Saya bertanya lagi : Mengapa pula RM11? Lalu dijawab : Tanda harga ini tersalah tulis.

Hati saya tergerak hendak menegur bahawa perbuatan meletak tanda harga yang tidak betul adalah salah di sisi undang-undang tetapi saya berat mulut pula. Dipendekkan cerita, kami membeli 3 biji durian yang beratnya 3 kg dengan harga RM33 tanpa menawar sesen pun.

Seperti biasa, apabila membeli barang makanan (yang bakal menjadi darah-daging), lebih-lebih lagi jika penjualnya orang Melayu, kami tidak suka menawar harga. Begitulah sikap kami yang sangat menyokong bisnes orang kita. Namun begitu, di saat kami hendak membayar, tauke gerai itu merungut-rungut sambil memarahi pekerjanya. Ikuti dialog mereka berdua yang berlaku di hadapan kami :-

Tauke : Kenapa engkau jual RM11/kg? Durian itu harganya RM14/kg.

Pekerja : Habis, aku hendak buat macam mana sekarang?

Tauke : Lain kali tengoklah betul-betul (sambil menjeling dan menarik muka 14).

Pekerja : (Terdiam dan terus memasukkan durian kami ke dalam beg plastic).

Iktibar untuk peniaga

  1. Jagalah hati pelanggan. Usahlah bertengkar dan memarahi pekerja anda di depan mereka. Perbuatan seumpama itu amat jelek dan membuat pelanggan tidak mahu datang lagi ke kedai anda.
  1. Jika sudah tersilap memberi harga, beritahulah hal sebenar kepada pelanggan dengan cara sopan dan memohon maaf terlebih dulu. Jangan pula pelanggan dipandang serong seolah-olah mereka cuba mengambil kesempatan ke atas kesilapan yang berlaku.
  1. Dengan melihat tauke gerai itu menjeling dan bermasam muka, kami merasa terkejut. Alangkah baiknya jika tauke itu berkata begini kepada kami : Tuan, pekerja saya ini sudah tersilap memberitahu harga durian yang tuan pilih. Tetapi tidak mengapalah, kali ini rezeki Tuan. Lain kali, sudilah datang lagi ke gerai saya.
  1. Cuba anda bayangkan apa reaksi kami jika dilayan dengan kata-kata seperti itu? Sudah pasti kami akan datang lagi berulang-kali dan memberitahu sikap baik tauke itu kepada rakan-taulan dan saudara-mara kami supaya mereka juga membeli di gerai durian itu. Alangkah baiknya jika tauke itu tahu mengguna nilai RM9 untuk mempromosi bisnesnya.
  1. Hanya kerana kerugian RM9 (RM3 x 3 kg), tauke gerai itu merengus dengan kasar. Dia terlepas pandang seorang pelanggan yang sememangnya die-hard fan durian seperti Zainal. Kalaulah dia tahu yang Zainal sanggup berbelanja ratusan RM hanya untuk durian... Apalah sangat kerugian RM9! Hmmm, sayang sekali tauke itu tidak tahu memanafaatkan peluang yang ada untuk memikat hati pelanggannya.
  1. Untuk makluman anda, ketiga-tiga biji durian itu sangat sedap dan elok isinya. Jika tidak kerana pengalaman yang menyerikkan, pasti Zainal sudah mengunjungi lagi gerai durian di Bukit Baru itu. Alahai!
Nota : Menarik muka 14 bermaksud mencerutkan atau mengkomotkan muka sehingga menjadi masam mencuka. Jika tidak silap saya terma ini diguna oleh orang-orang Melaka sahaja.

1 comment:

  1. vocab of the day: menarik muka 14
    status: updated [dh masuk dlm list di samping cenayong, celungap, etc :D ]

    rindu pulak kat maklang :-*

    ReplyDelete