Thursday, September 4, 2008

Catatan Seminggu

Khamis, 28 Ogos, 2008

Telefon bimbit saya berbunyi jam 7:41 pagi. Nama penulis ngetop PTS yang kini menjadi selebriti tertera di skrin. Cuba teka siapa dia? Hmmm, siapa lagi kalau bukan Prof. Kamil, Pengarah UiTM Segamat. Waktu itu dia dalam perjalanan dari Segamat ke Shah Alam. Mungkin ketika melintasi Melaka, dia teringatkan saya.

Dengan suara ceria, Prof. Kamil berkata : Ini Kamil, Puan. Saya hendak beritahu, buku Travelog Haji cetakan ke 6 sudah keluar. Dalam buku itu ada dimasukkan ulasan Puan. Nanti Puan cari buku itu di kedai buku. Lalu dibacakannya petikan ulasan saya itu. Saya pun teringat semula e-mel yang dihantar kepadanya tahun lalu tentang ulasan buku ngetop itu.

Katanya lagi : Buku baru saya (tajuknya saya lupa) akan keluar tidak lama lagi. Dia bertanya khabar kerana lama tidak mendengar berita saya dan turut memberitahu Roza, isterinya, kini sudah menjadi pensyarah.

Lalu saya menjawab : Saya tahu, Prof. Sebenarnya saya selalu ke blog Prof. dan mengikuti perkembangan. Cuma saya tidak tinggalkan jejak. Prof. sekarang sangat ngetop, saya segan, hihihi! Jawab Prof. Kamil sambil tergelak : Itulah kawan-kawan semua sudah hilang...

Hmmm, saya geleng kepala. Prof. Kamil sudah beberapa kali memberi kejutan kepada saya. Ramadan tahun lalu, sehari selepas pelancaran buku Travelog Haji, dia menelefon saya. Waktu itu saya sekadar mengenalinya melalui blog dan beliau menjemput kami ke majlis pelancaran buku itu di UiTM, Shah Alam.

Pada pagi 28 Ramadan itu, Prof. Kamil menelefon untuk mengucapkan terima kasih kerana kami memenuhi undangannya dan memohon maaf kerana dia tidak sempat melayan kami. Katanya, dia melihat semula video rakaman pelancaran buku itu dan ternampak saya dan Zainal berdiri tercangak-cangak memerhatikan dia yang dikerumuni para tetamu.

Hujung tahun 2007, Prof. Kamil sekeluarga berkunjung ke rumah kami. Selepas itu dengan kesibukannya setelah berpindah ke Segamat, saya fikir dia sudah tidak ingat lagi kepada saya. Hmmm, rupa-rupanya dia masih ingat kepada saya yang belum ngetop ini...

Sabtu, 30 Ogos, 2008

Saya mendapat berita kematian ibu biras saya. Anim memberitahu ibunya meninggal di Seremban dan jenazah akan disemadikan di kampung mereka di Sg. Udang, Melaka. Tengahari itu saya dan Zainal ke rumah keluarga Anim. Ketika kami sampai, jenazah sedang dimandikan dan di ruang tamu berlangsung majlis membaca Yasin dan Tahlil. Jenazah yang siap dikafan kelihatan kecil dan leper. Melihat jenazah diusung ke masjid dan kemudian ke perkuburan sungguh menginsafkan hati saya.

Suatu hari kelak kita yang masih bernafas ini juga akan mengalami perkara yang sama. Tubuh kita juga akan terbujur kaku ketika diusung orang ke perkuburan. Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh Allahyarhamha Makcik Aishah Zahari.

Selasa, 2 September, 2008

Makcik Putih berniaga di sebuah warung di Bukit Beruang. Dia dibantu anak terunanya yang dipanggil SiBoy. SiBoy itu bodoh-bodoh alang atau mengikut istilah sesetengah orang, wirenya short satu. Walau pun usia sudah menjangkau lewat 20an, gayanya bercakap macam budak-budak dan tampak lembik. Dengan tubuhnya yang besar, SiBoy kelihatan lucu. Namun begitu dia sangat menghormati pelanggan.

Di Masjid MITC selepas solat tarawikh, ketika orang berpusu-pusu keluar, saya terpandang seorang lelaki berkopiah dan bertubuh besar menunggu di balik tiang. Tiba-tiba pemuda itu memaut tangan seorang wanita bertelekung. Diciumnya tangan wanita itu, kemudian dicium pipi kanan dan kiri. Wanita itu terus memaut tangan sipemuda. Mereka saling berpimpin-pimpin di celah-celah orang ramai.

Wanita itu tidak lain tidak bukan ialah Makcik Putih dan pemuda yang memeluk bahunya bagi melindunginya daripada rempuhan orang ramai ialah SiBoy. Aduhai, hati saya amat tersentuh. Bertuahnya Makcik Putih memiliki seorang anak sesetia SiBoy. Tiba-tiba saya merasakan SiBoy itu sungguh istimewa. Sejuk perut ibumu, Boy!

Rabu, 3 September, 2008

Jam 3:45 pagi saya terjaga ketika mendengar injin kereta dihidupkan. Tanpa berlengah saya bangun dan membersihkan diri, kemudian memanaskan makanan di dapur. Selepas bersahur, kami menghantarnya ke halaman rumah. Dia memasukkan ke bonet kereta sebuah bakul berisi pakaian sudah dicuci, sebuah oven dan sebuah beg berisi 2 biji pinggan, sebiji mangkuk, mug dan sudu garfu. Juga sepeket ketulan-ketulan ayam Farmbest dan sekotak sambal goreng ikan bilis.

Jam 4:30 pagi Alum mula bertolak kerana perlu sampai ke tempat kerjanya di Pasir Gudang sebelum 8:00 pagi. Saya berpesan : Jangan lupa solat subuh. Dia menjawab : Hmmm. Saya berpesan lagi : Sampai sana, buat apa? Terus dijawabnya : Hantar sms pada Mak.

Zainal tersenyum melihat gelagat kami dua-beranak. Sambil keretanya meluncur keluar, saya memanjatkan doa yang tidak putus-putus : Ya Allah, selamat anakku dalam perjalanannya. Selamat anakku daripada malapetaka. Selamatkan anakku di mana jua dia berada. Amin.

2 comments:

  1. Assalammualaikum
    Kak Lela,
    Semalam Juwaidi berbuka di kampus kerana ada kelas sepanjang hari, diikuti dengan kelas malam jam 8-10pm. Saya berpesan melalui sms, 'Jangan lupa solat ya anakku'. Dia jawab, 'Hmm..ok'. What's with boys and jawapan 'hmm..' begini ek?

    ReplyDelete
  2. 'Alaikumsalam Mun,

    Orang lelaki memang begitu. Mereka pantang di'mak-nenek'kan oleh orang perempuan. Apakan daya ibunya sendiri, hihi!

    Itu yang dijawab pendek : Hmmm. Maksud tersirat : Ya, saya tahulah tanggungjawab saya.

    Tapi sebagai ibu kita berhak mengingatkan anak-anak kita, Mun. Biar pun usia mereka sudah tua renta. Betul ek?

    ReplyDelete