Wednesday, September 10, 2008

Lembaga Pengarah Dalam Syarikat Sdn. Bhd.

Semua syarikat Sdn. Bhd. perlu ada lembaga pengarah syarikat. Pengarah-pengarah syarikat dipilih oleh pemegang saham dalam mesyuarat agung tahunan. Perlantikan mereka adalah bagi tempoh satu tahun iaitu sehingga mesyuarat agung tahunan yang berikutnya. Perkhidmatan pengarah syarikat yang sudah tamat boleh disambung semula dengan perlantikan baru. Pengarah syarikat terbahagi kepada 2 :-

1. Pengarah eksekutif
2. Pengarah bukan eksekutif

Pengarah eksekutif terdiri daripada pegawai dan pengurus yang bekerja dalam syarikat sepenuh masa. Mereka ini terlibat dengan hal-ehwal pengurusan secara langsung.

Pengarah bukan eksekutif terdiri daripada orang yang tidak terlibat secara langsung dalam pengurusan syarikat.

Daripada segi undang-undang, kewajipan yang dipikul oleh pengarah eksekutif dan pengarah bukan eksekutif pada syarikat yang mereka wakili adalah sama dan tiada perbezaan.Tugas dan tanggung-jawab utama lembaga pengarah terbahagi kepada 2 :-

1. Berkaitan dengan hal-ehwal syarikat. Contohnya, membantu pihak pengurusan menentukan hala tuju syarikat, menilai prestasi bisnes, memastikan perancangan dilaksanakan dan sumber hasil syarikat digunakan dengan betul serta membuat keputusan bagi kepentingan syarikat.

2. Memastikan syarikat melaksanakan kewajipan dan tanggung-jawabnya seperti dituntut oleh pihak berkuasa daripada segi undang-undang. Antaranya :-

i. Memastikan rekod perakaunan dan rekod kewangan syarikat disimpan dan diselenggara dengan betul.
ii. Memastikan rekod perakaunan diaudit oleh juruaudit bertauliah.
iii. Memastikan laporan tahunan syarikat difailkan kepada Pendaftar Syarikat.
iv. Memastikan segala keperluan dan tuntutan undang-undang pada syarikat dipatuhi. Contohnya, pengambilan pekerja asing secara halal.

Peranan pengarah syarikat adalah sama seperti mana peranan pemegang amanah. Amanah yang dipegang oleh pengarah syarikat adalah pada 3 pihak utama iaitu syarikat, pemiutang dan kakitangan syarikat.

Lembaga pengarah perlu bersikap jujur dan berkata benar bagi kepentingan syarikat. Ahli-ahli lembaga pengarah tidak boleh bertindak mengikut kepentingan peribadi masing-masing atau pun kehendak pihak tertentu di kalangan pemegang saham. Mereka tidak boleh menyalahgunakan kuasa dengan memihak kepada orang yang berkepentingan atau membuat keputusan yang diketahui dapat memudaratkan syarikat.

Seandainya syarikat menjadi insolvent atau tidak mampu membayar hutang-hutang, pengarah-pengarah syarikat memikul tanggung-jawab melunaskan hutang-hutang itu daripada sumber mereka sendiri. Lembaga pengarah juga perlu memastikan hak-hak pekerja seperti ditetapkan dalam undang-undang dilaksanakan oleh pihak syarikat.

Dipetik daripada buku saya, Bagaimana Bisnes Keluarga Berjaya, Bab 7, muka-surat 88-90.

1 comment:

  1. assalam,

    bagaimana nak beli buku bagaiman bisnes keluarga berjaya..email kepada saya shaatie_73@yahoo.com

    ReplyDelete