Monday, December 29, 2008

Surat Cik Su 1

Assalamualaikum Puan Norlela.

Nama saya Su. Saya sedang tercari-cari web / forum yang membincang tentang bisnes sendiri, lalu terjumpa blog puan. Saya bekerja sambilan di sebuah syarikat swasta hampir 3 tahun. Kini tiba masanya saya ingin ceburi bidang perniagaan. Saya anak sulong dari 4 beradik dan sudah kehilangan bapa sejak di bangku sekolah. Banyak semangat saya hilang dari suasana dan keadaan keluarga yang melalui bermacam dugaan. Saya ingin berniaga untuk membantu keluarga. Sejak 2 tahun kebelakangan ini, bermacam bisnes saya kaji, tapi satu pun saya tidak mampu laksanakan, mungkin kerana tidak ada pengangkutan, modal, kawan, dll alasan yang mematahkan semangat. Saya terbaca buku Amar Mahmood (petua manjadi jutawan). Saya terkesan dengan kata-kata beliau, antaranya, persepsi diri, gaya pemikiran separa sedar dan beberapa buku yang lain (buku puan akan saya cari, insyaAllah terutama 50 kisah usahawan wanita). Bermacam saya temui peluang bisnes samada di tempat saya sendiri mahupun di tempat lain. Masalah saya sekarang, saya sendiri terasa tidak mampu berbuat sesuatu di luar tabiat. Bila hendak buat sesuatu, terus nampak kepayahan. Betul kata Amar Mahmood, mahu mula yang payah, bila sudah mula seterusnya senang. Cuma hendak teruskan semangat pula payah. Apa yang nampak, saya mahu bantu keluarga. Saya juga tidak mempunyai modal, tiada simpanan. Puan, bisnes apa yang saya boleh buat? Saya sudah daftar syarikat sendiri (syarikat enterprise). Saya buat design, wakil percetakan. Saya amat meminati design satu ketika dahulu tapi kini pasaran di tempat saya tidak begitu mengizinkan. Tidak banyak idea bernas dapat saya keluarkan masa membuat design. Saya mudah bosan bila buat sesuatu yang tiada peningkatan. Saya suka berusaha buat benda yang baru. Dari segi ilmu, saya ada bab bina laman web, tapi kini rasanya saya sudah tidak berapa minat. Saya pernah mengkaji buka kedai dobi, kedai fotostat (printing), pernah juga fikir menjual ikan segar, nursery kanak2, namun tiada kekuatan. Kini, saya berminat berniaga pakaian dan tudung. Saya sedang kaji macam mana buat profit sharing, tapi saya tiada pengetahuan mendalam dalam bidang akaun. Puan, fikiran saya bercelaru. Diharap puan dapat memberikan tips atau motivasi khusus agar saya nampak apa sebenarnya masalah saya dan kebolehan saya yang saya tidak sedar atau saya langsung tiada bakat dalam bidang perniagaan. Terima kasih sudi luangkan masa membaca emel saya.

Cik Su yang dihormati,

Alaikumsalam dan terima kasih menghantar emel. Terdahulu saya ucapkan syabas kepada puan yang terus berusaha menerobos sempadan diri menceburi bidang bisnes meski pun bidang ini masih asing dan baru buat puan. Melalui emel dikirim, saya dapati keinginan puan untuk berniaga sudah ada. Bagi mengorak langkah seterusnya puan sedang menghadapi isu-isu seperti berikut :-

1. Belum jelas hendak menceburi bisnes apa. Bagaimana memilih bisnes paling sesuai?
2. Belum menetapkan matlamat bisnes. Apakah matlamat yang ingin dicapai?
3. Perlukan persediaan yang mantap (ilmu dan asas-asas bisnes). Apa yang perlu disediakan?
4. Mahukan sokongan material (modal). Di mana hendak dapatkan bantuan?
5. Mahukan sokongan moral (dorongan berterusan). Di mana hendak dapatkan bantuan?

Jika benar 5 perkara yang saya rumuskan ini, puan perlu memikirkan semula 5 persoalan di atas. Mula-mula cuba jawab soalan berikut :-

1. Apakah bisnes yang sepadan dengan minat, kebolehan dan personaliti puan?

Tip 1 : Pilih bisnes yang puan suka buat dan boleh lakukan kerana minat yang mendalam, bukan kerana terpaksa. Senarai bisnes yang puan fikirkan sudah ada : web-design, kedai fotostat, pakaian, ikan segar, dobi, nurseri kanak-kanak. Cuba fikir semula berdasarkan minat, kebolehan dan personaliti puan. Senaraikan butir-butir itu tanpa prejudis. Contohnya, jika waktu ini puan kurang pengetahuan dalam sesuatu, jangan risau kerana nanti boleh ditingkatkan dengan kursus dll. Buatlah 1 pilihan. Untuk renungan puan, saya sediakan contoh berikut :-

Contoh 1 : A suka buat sales. Dia pandai menjual. Apabila dia buat promosi, barangannya laku keras. Namun personaliti sebenar A ialah dia sangat pemalu dan tidak suka bertemu orang. Dia juga cepat bosan duduk di kedai menunggu pelanggan datang. Akhirnya A memilih membuat bisnes internet dan sangat berjaya.

Contoh 2 : B sangat minat bidang pertanian lalu menceburi bisnes cacing. B tidak sedar dirinya seorang yang amat penggeli. Meski pun menggaji pekerja, B merasa tertekan kerana loya melihat cacing setiap hari. Kasihan dia! Akhirnya dia tutup bisnes itu. Sehingga bertemu lagi, selamat maju jaya buat puan.

2 comments:

  1. Import China products direct from China manufacturers on one stop China sourcing site.

    ReplyDelete
  2. Salam puan , mcm plak dgn peranan usahawan wanita pda masa skrg?btk2 cbran?pengaruhnya terhadap perkembngan bisness..khusus bisnes mc iks?luar bndar?

    ReplyDelete