Tuesday, December 30, 2008

Ustaz Ghaus 1

Sekitar tahun 2005 saya mengikuti kelas agama di Kampung Bukit Lintang. Guru yang mengajar bernama Ustaz Ghaus. Rumah beliau diubah suai sebahagiannya menjadi madrasah. Lokasinya agak jauh tersorok daripada jalan besar dan di kelilingi kebun getah. Pada mulanya berat hati saya hendak ke kelas itu tetapi diajak berkali-kali oleh Rosnani dan Sajahan, maka saya pun pergi.

Apabila tiba di perkarangan rumah Ustaz Ghaus saya terkejut melihat ruang parkir besar yang boleh memuat lebih 30 buah kereta, tidak termasuk motorsikal. Begitulah ramainya orang yang datang (sekitar 60 orang) ke kelas beliau pada hari-hari biasa. Di hujung minggu khabarnya lebih ramai lagi yang hadir.

Ustaz Ghaus mengajar ilmu tauhid, tasauf, fekah, tafsir Al Qur’an, tajwid dan hadis sepanjang minggu. Saya memilih untuk hadir pada hari Selasa sahaja, jam 9:00 hingga 11:00 pagi. Mengikut jadual, pada hari Selasa Ustaz Ghaus mengajar tasauf. Setiap kali ke kelas itu saya membawa Mak bersama.

Sepanjang beberapa bulan menghadiri kelas beliau, saya tidak pernah melihat wajah Ustaz Ghaus. Ini kerana kaum lelaki dan kaum wanita duduk berasingan di madrasah itu. Namun saya cukup kenal suara beliau yang lantang di corong pembesar suara. Ustaz Ghaus bercakap stail orang kampong Melaka iaitu seakan menengking. Arwah datuk saya dulu pun bercakap stail begitu. Bunyinya agak garang dan keras.

Pada suatu hari saya dan Mak terlewat datang. Ketika kami sampai kelas sudah bermula. Menariknya pada hari itu sebuah TV sudah terpasang dan tersiar gambar seorang tok guru sedang duduk bersila dan bercakap di depan mikrofon. Seorang hamba Allah bermurah hati membelikan TV dan perakam video untuk siaran ke ruang duduk kaum wanita. Itulah pertama kali saya melihat Ustaz Ghaus. Orangnya berusia sekitar 60an.

Menjelang bulan Ramadhan tahun itu, Ustaz Ghaus menunaikan umrah dan kelas pun diberhentikan buat sementara. Selepas itu beliau kerap jatuh sakit dan kelas ditangguhkan lagi. Pada waktu itu saya sudah mendaftarkan diri dan Mak untuk menghadiri kelas Pengajian Usuluddin anjuran UMCCed di Seremban. Apabila kelas Usuluddin bermula (kami mengikuti 3 modul kesemuanya selama setahun setengah) kelas Ustaz Ghaus tidak kami hadiri lagi.

Sabtu lalu Sajahan mengajak saya pergi ke rumah Ustaz Ghaus. Sajahan juga sudah lama tidak mengikuti kelas kerana sibuk mengurus stesen minyaknya di Bahau. Tujuan kami ke sana untuk bertanya jadual kelas terkini kerana bercadang hendak hadir semula mulai tahun 2009. Isteri Ustaz Ghaus, Kak Faridah, menyambut kami di muka pintu rumahnya. Mendengar hajat kedatangan kami, beliau terdiam seketika. Kemudian menjawab perlahan : Ustaz Ghaus sudah meninggal. Hari ini masuk hari ke 35. Bersambung…

2 comments:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  2. ASSALAMUALAIKUM, SAYA TERBACA KISAH USTAZ GHAUS DLM BLOG ANDA. SILA BUKA BLOG idhamlim.blogspot.com CARI CATATAN LAMA DI BWH SEKALI, SAYA ADA CERITAKAN KISAH USTAS GHAUS MELALUI TAJUK PESAN TOK GURU. ALHAMDULILLAH 2 KALI SAYA KUCUP DAHI ARWAH SEWAKTU DIA MENINGGAL. PESANNYA DAN AMANATNYA DLM MENDIDIK SAYA XKAN DILUPA. SAYA SEKARANG MENGAJAR DI TAIPING PERAK. BOLEH HUBUNGI SAYA MELALUI naninusakun@yahoo.com

    ReplyDelete