Wednesday, December 31, 2008

Ustaz Ghaus 2

Ustaz Ghaus pernah bercerita suatu kisah sekembalinya beliau melawat Syria. Kisah itu mengenai sebatang pokok besar yang hidup subur di sebuah padang pasir yang tandus. Menurut beliau pokok berusia lebih seribu tahun itu sangat rimbun dan rendang. Batangnya sebesar pemeluk. Menurut cerita orang-orang tempatan di sana, Nabi Muhammad s.a.w. ketika muda pernah berteduh di bawahnya semasa baginda pergi berniaga di Syria.

Ustaz Ghaus membuat anologi begini : tidaklah mustahil bagi seseorang itu berjaya mengekalkan diri dalam amal kebaikan meski pun terpaksa hidup dalam persekitaran di mana maksiat dan kemungkaran berlaku secara berleluasa. Caranya ialah dengan berusaha keras meneguhkan iman serta menjaga dan meningkatkan amal ibadah setiap masa. Ibarat pokok besar yang diceritakan itu, ia mampu bertahan beratus tahun biar pun di kelilingnya hanya ada batu-batu pejal dan padang pasir yang kering kontang.

Saya teringat kisah pokok besar itu ketika melihat sebuah album yang menyimpan gambar-gambar Ustaz Ghaus. Isteri beliau yang mengeluarkan album itu dan mempelawa kami melihatnya. Ada 6 keping gambar Ustaz Ghaus sedang berteduh di bawah pokok tersebut. Saya meminta izin Kak Faridah bagi meminjam gambar itu untuk di’scan’ tetapi beliau hanya diam. Mungkin beliau belum bersedia berpisah dengan gambar suaminya.

Sebagai balu orang alim Kak Faridah tampak tenang ketika menceritakan kisah Ustaz Ghaus yang berulang alik ke hospital di akhir-akhir hayatnya. Menurut beliau jenazah suaminya selamat dikuburkan di kampung halamannya di Masjid Tanah. Pasangan itu mempunyai 13 orang anak (3 daripadanya sudah berkahwin) dan yang bungsu baru berusia 11 tahun. Katanya lagi : Mungkin saya akan terus tinggal di sini dan mungkin juga akan berpindah ke kampung.

Sejak beberapa hari yang lalu, saya membaca semula buku catitan kelas pengajian tasauf yang dikendalikan Ustaz Ghaus. Buku itu masih tersimpan dengan baik. Suara Ustaz Ghaus rasa terngiang-ngiang di telinga saya. Semoga Allah cucurkan rahmat ke atas rohnya. Semoga rohnya berada dalam sejahtera di alam barzah. Terima kasih buat guruku yang tidak ku kenali secara peribadi tetapi memberiku ilmu yang sangat berharga.

2 comments: