Friday, May 22, 2009

Mendorong Diri Sendiri

Hampir setiap hari saya menerima emel daripada para pembaca blog ini yang memerlukan khidmat coaching. InsyaAllah, jika masa mengizinkan saya cuba menjawab emel tuan/puan dalam masa terdekat. Inilah kelebihan khidmat saya iaitu respon cepat dan personalised. Tuan/puan boleh kemukakan apa-apa soalan tentang memula dan mengurus bisnes sendiri. Lebih baik jika soalan itu berkisar isu yang sedang tuan/puan hadapi supaya perbincangan terfokus kepada topik yang spesifik. Peranan saya sebagai coach ialah membantu tuan/puan mencari jawapan yang mungkin sudah pun ada di fikiran tetapi tidak terkeluar lagi kerana masih kabur. Ada masanya tatkala mengurus bisnes, kita menghadapi keadaan buntu dan merasa perlu berbincang dengan seseorang yang sedia mendengar dan memahami situasi. Itulah sebabnya diperlukan khidmat business coach. Oleh itu silalah menulis kepada saya.

Baru-baru ini seorang pembaca mengirim emel meminta saya memberinya semangat kerana dia ditimpa sikap malas berusaha. Maka pada entri kali ini saya menulis tentang isu ini. Mudah-mudahan sedikit sebanyak ia dapat membantu pihak yang bertanya.

Lebih sedekad yang lalu syarikat saya ada menggaji 16 orang pekerja Bangla. Kisah mereka pernah saya ceritakan dalam entri di sini. Beberapa bulan lalu, bekas pekerja Bangla bernama Syafiqul menalipon saya. Tujuannya untuk memberitahu dia sudah 3 tahun kembali semula ke Malaysia dan sedang bekerja di Kelang.

Menurut Syafiqul, syarikat tempat dia bekerja sedang menghadapi masaalah ekoran kegawatan ekonomi dan dia dijangka diberhentikan kerja. Syafiqul memohon bekerja sementara di tempat saya kerana permit kerjanya masih hidup. Kebetulan kami memerlukan khidmat welder tambahan, maka saya mengizinkan dia datang.

Syafiqul datang ke Melaka menaiki bas, kemudian mengambil teksi ke syarikat kami. Pertama kali bertemu semula setelah sekian lama tidak berjumpa, Syafiqul memberi komen spontan seperti berikut : Bos Jaynal, awak sudah tua! Zainal hanya tersenyum sambil itu berbisik kepada saya : Budak Bangla ini mahu kena karate!

Syafiqul bercerita kisah hidupnya setelah kembali ke Bangladesh. Wang simpanannya membolehkan dia membeli sebidang tanah dan menyelesaikan pelbagai hutang yang ditanggung. Dia kembali semula ke Malaysia bukan kerana tiada pekerjaan di kampung halaman. Menurut Syafiqul, entah mengapa sifat malas bekerja mula timbul dalam dirinya apabila di kelilingi ramai kaum keluarga.

Hakikat sebenar Syafiqul seorang yang ringan tulang. Sebelah petang setelah habis waktu bekerja, dia menawarkan diri menuai daun mas cotek di kebun kami. Kata Syafiqul : Saya mesti kerja, Bos. Dua anak sudah besar, mesti sekolah. Sekarang keluarga perlu duit. Isteri tanam padi, boleh makan 1 tahun. Saya hantar isteri RM1000 satu bulan. Ada lebih, beli tanah lagi. Hutang saya sudah tinggal sedikit.

Meski pun Syafiqul hanya seorang pekerja biasa, saya mengambil beberapa iktibar daripadanya. Seperti tertulis dalam buku bertajuk Mendorong Diri Sendiri karya bersama Puan Ainon Mohd. dan Prof. Abdullah Hassan, saya petik kata-kata berikut :-

Kita memerlukan persepsi yang betul tentang siapa dan apa diri kita sebenarnya... Kita mungkin menjadi penyebab mengapa kehidupan kita kacau lalu gagal... Kebanyakan orang gagal bukan disebabkan ancaman-ancaman luaran, sebaliknya kerana mereka enggan berdepan realiti diri mereka sendiri secara jujur...

Saya sarankan, dapatkan buku ini dan bacalah seterusnya. Buku ini sangat berkesan untuk membantu kita mendorong diri sendiri, insyaAllah. Anda perlukan khidmat Business Coaching? Hubungi saya di 019-6562540 atau emel : norlelazubir@yahoo.com

3 comments:

  1. Assalamualaikum Cik Puan Norlela yang dimuliakan.

    Benar sangatlah memang selalu berlaku kita seolah-oleh kehilangan semangat untuk membuat kerja.

    Lebih kerap berkeadaan demikian akan lebih merbahaya terutamanya bagi mereka yang berbusiness sendiri.

    Rencana cik puan ini menyedarkan saya untuk sentiasa memeriksa diri dan memikirkan cara untuk mengatasinya.

    Terima kasih daun keladi.

    ReplyDelete
  2. Alaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh.
    Tuan Md. Hazali yang dihormati,

    Besarnya hati saya menerima kunjungan tuan tauke besar ke blog ini. Semoga bisnes tuan terus menggebu-gebu, insyaAllah.

    Cabaran menjadi bos kepada diri sendiri... jika kita kehilangan semangat, bisnes pasti terjejas. Kita perlukan kawan-kawan di kalangan orang-orang bisnes juga untuk saling dorong-mendorong. Orang bisnes tidak boleh memencilkan diri sendiri.

    ReplyDelete
  3. Salam.

    Rancanglah perjalanan perniagaan kita. Dalam tempoh sebulan, apa yg perlu kita lakukan..dalam tempoh seminggu, apa matlamat kita.
    dalam tempoh 24 jam, apa pulak perancangan kita.

    Perancangan secara detail ni dapat mengurangkan masalah kehilangan semangat sebab kita sentiasa bersedia untuk melakukan sesuatu.

    ReplyDelete